Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri bin Haji Awang Abas
RIMBA, Rabu, 14 Februari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Upacara Perasmian Perkhidmatan bagi dua daripada empat buah Pesawat C295MW baharu bagi Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) di Pangkalan Tentera Udara Rimba, hari ini.
Perasmian perkhidmatan dua buah Pesawat C295MW ini adalah berikutan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkian Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Upacara Ketibaan Pesawat tersebut di Pangkalan Tentera Udara Rimba pada 24 Januari yang lalu.
Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan negara Brunei Darussalam ke Upacara Perasmian Perkhidmatan tersebut ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd. Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.
Turut hadir semasa Upacara Perasmian Perkhidmatan tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Pemerintah Angkatan Tentera, Pemangku Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera dan Angkatan Bersama ABDB, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai kanan ABDB dan delegasi daripada Syarikat Airbus Defence and Space yang diketuai oleh Head of Sales Air Power, Oscar Alonso.
Upacara berkenaan bermula dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung ke apron Hangar B, untuk menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 103 anggota TUDB dan Pancaragam ABDB yang diketuai oleh Ketua Kawalan Kehormatan, Mejar (U) Muhammad Izdihar bin Haji Imran.
Kebawah DYMM kemudian berkenan mengurniakan titah Perasmian Perkhidmatan Pesawat-pesawat C295MW. Ini diikuti dengan bacaan selawat dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Pengarah Jabatan Agama ABDB (JAMA'AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim. Sejurus itu, Kebawah DYMM berkenan menandatangani plak sebagai tanda perasmian perkhidmatan pesawat-pesawat tersebut.
Kebawah DYMM kemudian dijunjung melihat secara dekat kedua-dua Pesawat C295MW, yang diberi designasi 'TUDB 502' dan 'TUDB 503', dan diikuti dengan sesi junjung ziarah dan sembah kenal anggota-anggota 'team' projek yang terlibat dalam pengurusan projek perolehan pesawat yang terdiri daripada juruterbang dan kru-kru pesawat serta jurutera-jurutera TUDB. Baginda seterusnya dijunjung bagi sesi bergambar kenangan dan menerima pesambah sebelum dijunjung berangkat ke Pusat Pergerakan Udara.
Sebaik sahaja tiba di Pusat Pergerakan Udara, baginda berkenan mendengarkan sembah taklimat ringkas mengenai penerbangan dan keselamatan oleh Pegawai Memerintah Skuadron 15, Mejar (U) Mohammad Adieb bin Abdul Rahman sebelum baginda berkenan menaiki dan menerbangkan Pesawat C295MW TUDB 502. Setelah mendarat, Kebawah DYMM seterusnya dijunjung bagi Majlis Santap Tengah Hari.
Sebelum berangkat meninggalkan Pangkalan Tentera Udara Rimba, baginda dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan. Upacara Perasmian Perkhidmatan Pesawat-pesawat C295MW ini diadakan bagi merasmikan keupayaan pesawat angkut TUDB yang tiba pada 24 Januari 2024.
Juruterbang dan kru-kru pesawat akan memulakan latihan di rantau Asia Tenggara sebagai persediaan sebelum ditugaskan dalam pelbagai misi strategik dan taktikal pada peringkat serantau dan antarabangsa termasuk menjalankan Operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Alam (HADR), Medical Evacuations (MEDEVAC), Aeromedical Evacuations (AE) serta Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).
Pesawat-pesawat berkenaan jua berupaya untuk melaksanakan pelbagai peranan seperti Pengangkutan Anggota dan Kargo, Pengangkutan VIP, Freefall, Airborne Static Jumps dan Cargo Drop.
Perolehan dan seterusnya perkhidmatan Pesawat-pesawat C295MW di TUDB merupakan satu lembaran sejarah penting bagi perkembangan TUDB khususnya dan ABDB amnya, dalam usaha memperkasa keupayaan TUDB untuk melaksanakan misinya terhadap keperluan penting di dalam negara, serantau dan antarabangsa.
- Pelita Brunei Online.