JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, Sabtu, 3 Mei. -
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral
Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah,
Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Jeneral Angkatan Bersenjata
Diraja Brunei (ABDB) berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Markas
Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) di Cijantung, Jakarta Timur bagi
Majlis Penganugerahan Warga Kehormatan Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS)
ke hadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia.
Keberangkatan tiba, DYTM di markas tersebut dijunjung oleh Komandan Jenderal KOPASSUS, Mejar Jeneral Agus Sutomo.
Di Pentas Khas Markas tersebut, DYTM
berkenan menerima tabik hormat senjata dan seterusnya Komandan Jenderal
KOPASSUS menyematkan lencana KOPASSUS dan memasangkan Bayonet. DYTM
seterusnya dijunjung menanggalkan cap dan berkenan memasang Beret
KOPASSUS.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri,Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ketika berkenan menerima Beret KOPASSUS. (Foto: Masri Osman)
DULI Yang Teramat Mulia semasa berkenan disematkan lencana KOPASSUS yang disempurnakan oleh Komandan Jenderal KOPASSUS, Mejar Jeneral Agus Sutomo.
(Foto : Masri Osman)
Dalam sabda balas DYTM sempena penganugerahan tersebut, DYTM
melahirkan penghargaan dan gembira kerana berada di kalangan Parajurit
Beret Merah dan mengenali secara dekat peranan penting yang mereka
mainkan dalam menjaga keamanan dan kestabilan negara.
DYTM juga merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada Mejar Jeneral Agus Sutomo dan KOPASSUS, di atas
penganugerahan Warga Kehormatan KOPASSUS. Penganugerahan ini, sabda
DYTM, adalah satu penghormatan bagi DYTM, memandangkan Paduka Ayahanda
Duli Yang Teramat Mulia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, juga telah
menerima penghormatan yang sama pada tahun 2003.
KOPASSUS dan Rejimen Pasukan Khas
Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, sabda DYTM, menikmati persahabatan
yang sangat erat dan sering mengadakan pertukaran. DYTM yakin kedua-dua
pasukan khas akan terus memupuk hubungan kerjasama erat pada tahun-tahun
akan datang.
Komandan Jenderal KOPASSUS, Mejar
Jeneral Agus ketika menyampaikan sembah ucapan memberikan tahniah ke
hadapan majlis DYTM kerana telah menjadi Warga Beret Merah KOPASSUS.
Penganugerahan ini mengakrabkan lagi hubungan dua hala dalam bidang
ketenteraan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia yang
telah terjalin sejak sekian lama.
Sebelum ini, Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin
Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi
Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah
diberikan penghormatan daripada Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS)
dengan dianugerahkan 'Honorary Member of the Indonesia Special Forces
Command ' pada April 2003.
Kerjasama Pertahanan di antara Negara
Brunei Darussalam dan Republik Indonesia adalah juga sangat rapat dan
kukuh melalui pertukaran lawatan tertinggi, latihan ketenteraan bersama
dan kursus-kursus. Kedua-dua negara telah menandatangani Memorandum
Persefahaman dalam bidang Pertahanan pada 10 April 2003.
Republik Indonesia sendiri telah
menyertai Pameran Pertahanan BRIDEX di Negara Brunei Darussalam pada
tahun 2007, 2009, 2011 dan 2013. Manakala Brunei sendiri sering
menyertai Dialog Pertahanan Antarabangsa Jakarta (JIDD) dan yang terbaru
ialah pada bulan Mac 2014 lepas.
(Foto : Masri Osman)
Terdahulu sebelum Majlis Penganugerahan,
DYTM berkenan menerima Tabik Hormat daripada Pengawal Pos KOPASSUS dan
seterusnya menerima penghormatan daripada Kawalan Suku dan
disembahkenalkan kepada pegawai-pegawai KOPASSUS.
DYTM kemudiannya dijunjung ke kawasan
depan bangunan Sarwo Edhie Wibowo bagi sesi bergambar dan kemudian
berangkat masuk ke pejabat Komandan Jenderal KOPASSUS. Di sana, DYTM
berkenan menerima mengadap Komandan Jenderal KOPASSUS, Mejar Jeneral
Agus Sutomo.
(Foto : Masri Osman)
Semasa Majlis Mengadap itu, DYTM
bersabda, mengucapkan terima kasih di atas undangan KOPASSUS dan
bersabda bahawa hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan
Republik Indonesia adalah amat baik terutamanya dalam Kerjasama
Pertahanan.
DYTM kemudiannya dijunjung ke Bilik
Mesyuarat bagi mendengar sembah alu-aluan daripada Komandan Jenderal
KOPASSUS dan seterusnya berkenan mendengar taklimat yang diikuti dengan
menyaksikan video profil KOPASSUS.
DYTM kemudian berkenan menandatangani
Buku Pelawat dan seterusnya dijunjung menyaksikan demontrasi melawan
keganasan yang mengandungi segmen demontrasi Statik; Serbuan Bangunan;
Serbuan Bas; Kemampuan Parajurit dan Serangan Regu Komando.
DYTM kemudian berkenan menaiki kenderaan
khas menuju ke Lapangan Bulat dan Alfa bagi menyaksikan demonstrasi
Tembak Reaksi dan dijunjung berangkat ke Majlis Penganugerahan Warga
Kehormatan KOPASSUS.
(Foto : Masri Osman)
Sepanjang lawatan itu, DYTM gembira
menyaksikan pertunjukan-pertunjukan yang telah diadakan sepanjang
keberangkatan DYTM. Majlis Penganugerahan berakhir dengan DYTM berkenan
bagi Sesi Bergambar.
Seterusnya DYTM berkenan berangkat ke
Majlis Santap Tengah Hari dihoskan oleh Komandan Jenderal KOPASSUS.
Selepas Santap, DYTM berkenan menerima Plak yang disembahkan oleh Mejar
Jeneral Agus Sutomo dan kemudiannya, DYTM mengurniakan Plak kepada Mejar
Jeneral Agus Sutomo.
(Foto : Masri Osman)
Semasa berangkat meninggalkan Markas Komando KOPASSUS, DYTM berkenan menerima penghormatan daripada Kawalan Suku.
Mengiringi Keberangkatan DYTM sepanjang
lawatan itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Republik Indonesia,Tuan
Yang Terutama Sjafrie Sjamsoeddin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri; Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong, Duta
Besar dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan
Yang Terutama Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Awang Haji Mahmud bin
Haji Saidin dan Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei
dan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigadier Jeneral Dato Seri
Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abd. Rahman.