Sabtu, 2 Mac 2024

2 jet pejuang F-35 mendarat di Pangkalan Tentera Udara Rimba

 Oleh: Pg. Siti Redzaimi Pg. Hj. Ahmad / Foto: Hernie Suliana Haji Othman

RIMBA, Jumaat, 1 Mac. - Dua buah pesawat jet pejuang F-35 daripada Skuadron Pejuang Ekspedisi Ke-356, Pangkalan Tentera Udara Eielson, Alaska telah mendarat di Pangkalan Tentera Udara Rimba, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), petang tadi.

    Unit Tentera Udara Pasifik berada di negara ini untuk membiasakan diri dengan pesawat dan membina hubungan kerjasama bersama TUDB.

    Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd. Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim hadir bagi mengalu-alukan ketibaan pasukan kru dan penyelenggaraan F-35 selain berpeluang membuat lawatan ke pesawat dan pengenalan kepada keupayaan pesawat.

    Pendaratan pesawat itu bertepatan dengan lawatan rasmi Timbalan Ketua Penolong Setiausaha Pertahanan, Jedidiah P. Royal dan Air National Guard Assistant to Commander, Pacific Air Forces, Mejar Jeneral Mark Weber.

    Keberadaan mereka di negara ini juga adalah untuk bersua muka bersama pegawai-pegawai kanan sebagai inisiatif keselamatan bagi Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik Amerika Syarikat (AS) - Brunei. 

    Brunei dan AS mempunyai hubungan yang sudah sekian lama dan berkongsi matlamat dalam memastikan kawasan Pasifik yang bebas dan terbuka.

    Pelita Brunei juga berpeluang menemubual juruterbang jet pejuang F-35 iaitu Leftenan Kolonel Erik Gonsalves dan Kapten Max Childs.

    Menurut Leftenan Kolonel Erik Gonsalves, ini adalah kali pertama mereka ke Brunei Darussalam yang mana penerbangan mengambil masa kira-kira empat jam dari Okinawa.

    Sebelum mendarat di Jepun katanya, penerbangan dari Pangkalan Tentera Udara Eielson, Alaska menuju ke Okinawa mengambil masa lebih kurang 10 jam.

    "Keadaan cuaca sangat baik semasa kami memasuki Brunei dan kami disambut dengan mesra oleh pengawal trafik juga semua yang hadir pada hari ini," tambahnya.

    Sementara itu, Kapten Max Childs menjelaskan tujuan mereka ke Brunei antara lain adalah sebahagian daripada untuk mempromosikan latihan free and open Indo-Pacific yang telah dijalankan bersama beberapa buah negara sejak empat tahun lalu.





- Pelita Brunei Online

Khamis, 15 Februari 2024

Berkenan berangkat ke Upacara Perasmian Perkhidmatan

Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri bin Haji Awang Abas

RIMBA, Rabu, 14 Februari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Upacara Perasmian Perkhidmatan bagi dua daripada empat buah Pesawat C295MW baharu bagi Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) di Pangkalan Tentera Udara Rimba, hari ini. 

Perasmian perkhidmatan dua buah Pesawat C295MW ini adalah berikutan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkian Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Upacara Ketibaan Pesawat tersebut di Pangkalan Tentera Udara Rimba pada 24 Januari yang lalu.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan negara Brunei Darussalam ke Upacara Perasmian Perkhidmatan tersebut ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd. Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.

Turut hadir semasa Upacara Perasmian Perkhidmatan tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Pemerintah Angkatan Tentera, Pemangku Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera dan Angkatan Bersama ABDB, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai kanan ABDB dan delegasi daripada Syarikat Airbus Defence and Space yang diketuai oleh Head of Sales Air Power, Oscar Alonso. 

Upacara berkenaan bermula dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung ke apron Hangar B, untuk menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 103 anggota TUDB dan Pancaragam ABDB yang diketuai oleh Ketua Kawalan Kehormatan, Mejar (U) Muhammad Izdihar bin Haji Imran. 

Kebawah DYMM kemudian berkenan mengurniakan titah Perasmian Perkhidmatan Pesawat-pesawat C295MW. Ini diikuti dengan bacaan selawat dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Pengarah Jabatan Agama ABDB (JAMA'AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim. Sejurus itu, Kebawah DYMM berkenan menandatangani plak sebagai tanda perasmian perkhidmatan pesawat-pesawat tersebut.

Kebawah DYMM kemudian dijunjung melihat secara dekat kedua-dua Pesawat C295MW, yang diberi designasi 'TUDB 502' dan 'TUDB 503', dan diikuti dengan sesi junjung ziarah dan sembah kenal anggota-anggota 'team' projek yang terlibat dalam pengurusan projek perolehan pesawat yang terdiri daripada juruterbang dan kru-kru pesawat serta jurutera-jurutera TUDB. Baginda seterusnya dijunjung bagi sesi bergambar kenangan dan menerima pesambah sebelum dijunjung berangkat ke Pusat Pergerakan Udara.


Sebaik sahaja tiba di Pusat Pergerakan Udara, baginda berkenan mendengarkan sembah taklimat ringkas mengenai penerbangan dan keselamatan oleh Pegawai Memerintah Skuadron 15, Mejar (U) Mohammad Adieb bin Abdul Rahman sebelum baginda berkenan menaiki dan menerbangkan Pesawat C295MW TUDB 502.  Setelah mendarat, Kebawah DYMM seterusnya dijunjung bagi Majlis Santap Tengah Hari. 


Sebelum berangkat meninggalkan Pangkalan Tentera Udara Rimba, baginda dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan. Upacara Perasmian Perkhidmatan Pesawat-pesawat C295MW ini diadakan bagi merasmikan keupayaan pesawat angkut TUDB yang tiba pada 24 Januari 2024.

Juruterbang dan kru-kru pesawat akan memulakan latihan di rantau Asia Tenggara sebagai persediaan sebelum ditugaskan dalam pelbagai misi strategik dan taktikal pada peringkat serantau dan antarabangsa termasuk menjalankan Operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Alam (HADR), Medical Evacuations (MEDEVAC), Aeromedical Evacuations (AE) serta Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

Pesawat-pesawat berkenaan jua berupaya untuk melaksanakan pelbagai peranan seperti Pengangkutan Anggota dan Kargo, Pengangkutan VIP, Freefall, Airborne Static Jumps dan Cargo Drop.

Perolehan dan seterusnya perkhidmatan Pesawat-pesawat C295MW di TUDB merupakan satu lembaran sejarah penting bagi perkembangan TUDB khususnya dan ABDB amnya, dalam usaha memperkasa keupayaan TUDB untuk melaksanakan misinya terhadap keperluan penting di dalam negara, serantau dan antarabangsa.

- Pelita Brunei Online.

Rabu, 24 Januari 2024

2 Pesawat C295MW tiba di NBD

 Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Masri Osman

RIMBA, Rabu, 24 Januari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Upacara Ketibaan dua buah dari empat buah Pesawat-pesawat C295MW baru ditempah bagi Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) yang berlangsung di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba.

 

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd. Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.

 

Turut hadir semasa Upacara Ketibaan Pesawat tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Pegawai-pegawai Kanan ABDB dan delegasi daripada Syarikat Airbus Defence and Space yang diketuai oleh Head of Region Airbus Asia-Pacific and China, Zakir Hamid.

 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung beredar masuk ke Bilik Merpati untuk disembahkan taklimat ringkas dan disusuli dengan tayangan video daripada Syarikat Airbus Defence and Space.

 

Upacara tersebut dimulakan dengan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung beredar ke ruang tempat duduk khas untuk menyaksikan ketibaan Pesawat-pesawat C295MW yang menerima Water Salute sebagai tanda penghormatan setibanya menuju masuk melalui Military Apron.

 

Sebagai tanda syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kru-kru pesawat melaksanakan Sujud Syukur atas selamat kembalinya ke tanah air setelah selesai membuat penerbangan jarak jauh selama enam hari yang telah bermula dari perkilangan pesawat di Seville, Sepanyol pada 18 Januari 2024.



Bagi memohon keberkatan upacara, Doa Selamat dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

 

DYTM kemudian dijunjung berangkat bagi sesi sembah kenal kepada kru-kru pesawat dan seterusnya beredar untuk membuat tinjauan lebih dekat Pesawat C295MW dan diikuti sesi bergambar bersama kru-kru pesawat dan sesi bergambar ramai.



DYTM seterusnya dijunjung masuk untuk menerima pesambah sebelum beredar ke Bilik Merbuk bagi Majlis Santap Tengah Hari. Sebelum berangkat meninggalkan Pangkalan Tentera Udara Rimba, DYTM berkenan bagi menandatangani Lembaran Kenangan.

 

Perjanjian Projek Air Transport ini iaitu pembelian empat buah pesawat baharu C295MW telah ditandatangani di antara Kementerian Pertahanan bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Airbus Defence and Space pada 2 Disember 2022.

 

Ketibaan dua buah Pesawat-pesawat C295MW ini adalah berikutan dengan Majlis Customer Acceptance Test di Airbus Defence and Space di Seville, Sepanyol yang turut dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Pemerintah ABDB dan Pemerintah TUDB.

 

Upacara Introduction to Service akan dilaksanakan secara berasingan bagi merasmikan Pesawat C295MW untuk diperkenalkan ke dalam keupayaan pesawat angkut TUDB.

 

Pesawat C295MW ini akan meningkatkan lagi keupayaan TUDB bagi melaksanakan pelbagai misi pengangkutan strategik dan taktikal dari tahap serantau dan antarabangsa seperti operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR), MEDEVAC (Medical Evacuations), NEO (Non-combatant Evacuation Operations) dan SAR (Operasi Mencari dan Menyelamat).

 

Pesawat ini juga berupaya melaksanakan pelbagai peranan seperti pengangkutan anggota dan kargo, pengangkutan VIP, Freefall, Airborne Static Jumps, Cargo Drops dan MEDEVAC.


- Pelita Brunei Online.