Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Masri Osman
RIMBA, Rabu, 24 Januari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Upacara Ketibaan dua buah dari empat buah Pesawat-pesawat C295MW baru ditempah bagi Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) yang berlangsung di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd. Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.
Turut hadir semasa Upacara Ketibaan Pesawat tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Pegawai-pegawai Kanan ABDB dan delegasi daripada Syarikat Airbus Defence and Space yang diketuai oleh Head of Region Airbus Asia-Pacific and China, Zakir Hamid.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung beredar masuk ke Bilik Merpati untuk disembahkan taklimat ringkas dan disusuli dengan tayangan video daripada Syarikat Airbus Defence and Space.
Upacara tersebut dimulakan dengan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung beredar ke ruang tempat duduk khas untuk menyaksikan ketibaan Pesawat-pesawat C295MW yang menerima Water Salute sebagai tanda penghormatan setibanya menuju masuk melalui Military Apron.
Sebagai tanda syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kru-kru pesawat melaksanakan Sujud Syukur atas selamat kembalinya ke tanah air setelah selesai membuat penerbangan jarak jauh selama enam hari yang telah bermula dari perkilangan pesawat di Seville, Sepanyol pada 18 Januari 2024.
Bagi memohon keberkatan upacara, Doa Selamat dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).
DYTM kemudian dijunjung berangkat bagi sesi sembah kenal kepada kru-kru pesawat dan seterusnya beredar untuk membuat tinjauan lebih dekat Pesawat C295MW dan diikuti sesi bergambar bersama kru-kru pesawat dan sesi bergambar ramai.
DYTM seterusnya dijunjung masuk untuk menerima pesambah sebelum beredar ke Bilik Merbuk bagi Majlis Santap Tengah Hari. Sebelum berangkat meninggalkan Pangkalan Tentera Udara Rimba, DYTM berkenan bagi menandatangani Lembaran Kenangan.
Perjanjian Projek Air Transport ini iaitu pembelian empat buah pesawat baharu C295MW telah ditandatangani di antara Kementerian Pertahanan bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Airbus Defence and Space pada 2 Disember 2022.
Ketibaan dua buah Pesawat-pesawat C295MW ini adalah berikutan dengan Majlis Customer Acceptance Test di Airbus Defence and Space di Seville, Sepanyol yang turut dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Pemerintah ABDB dan Pemerintah TUDB.
Upacara Introduction to Service akan dilaksanakan secara berasingan bagi merasmikan Pesawat C295MW untuk diperkenalkan ke dalam keupayaan pesawat angkut TUDB.
Pesawat C295MW ini akan meningkatkan lagi keupayaan TUDB bagi melaksanakan pelbagai misi pengangkutan strategik dan taktikal dari tahap serantau dan antarabangsa seperti operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR), MEDEVAC (Medical Evacuations), NEO (Non-combatant Evacuation Operations) dan SAR (Operasi Mencari dan Menyelamat).
Pesawat ini juga berupaya melaksanakan pelbagai peranan seperti pengangkutan anggota dan kargo, pengangkutan VIP, Freefall, Airborne Static Jumps, Cargo Drops dan MEDEVAC.
- Pelita Brunei Online.