Sabtu, 2 Mac 2024

2 jet pejuang F-35 mendarat di Pangkalan Tentera Udara Rimba

 Oleh: Pg. Siti Redzaimi Pg. Hj. Ahmad / Foto: Hernie Suliana Haji Othman

RIMBA, Jumaat, 1 Mac. - Dua buah pesawat jet pejuang F-35 daripada Skuadron Pejuang Ekspedisi Ke-356, Pangkalan Tentera Udara Eielson, Alaska telah mendarat di Pangkalan Tentera Udara Rimba, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), petang tadi.

    Unit Tentera Udara Pasifik berada di negara ini untuk membiasakan diri dengan pesawat dan membina hubungan kerjasama bersama TUDB.

    Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd. Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim hadir bagi mengalu-alukan ketibaan pasukan kru dan penyelenggaraan F-35 selain berpeluang membuat lawatan ke pesawat dan pengenalan kepada keupayaan pesawat.

    Pendaratan pesawat itu bertepatan dengan lawatan rasmi Timbalan Ketua Penolong Setiausaha Pertahanan, Jedidiah P. Royal dan Air National Guard Assistant to Commander, Pacific Air Forces, Mejar Jeneral Mark Weber.

    Keberadaan mereka di negara ini juga adalah untuk bersua muka bersama pegawai-pegawai kanan sebagai inisiatif keselamatan bagi Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik Amerika Syarikat (AS) - Brunei. 

    Brunei dan AS mempunyai hubungan yang sudah sekian lama dan berkongsi matlamat dalam memastikan kawasan Pasifik yang bebas dan terbuka.

    Pelita Brunei juga berpeluang menemubual juruterbang jet pejuang F-35 iaitu Leftenan Kolonel Erik Gonsalves dan Kapten Max Childs.

    Menurut Leftenan Kolonel Erik Gonsalves, ini adalah kali pertama mereka ke Brunei Darussalam yang mana penerbangan mengambil masa kira-kira empat jam dari Okinawa.

    Sebelum mendarat di Jepun katanya, penerbangan dari Pangkalan Tentera Udara Eielson, Alaska menuju ke Okinawa mengambil masa lebih kurang 10 jam.

    "Keadaan cuaca sangat baik semasa kami memasuki Brunei dan kami disambut dengan mesra oleh pengawal trafik juga semua yang hadir pada hari ini," tambahnya.

    Sementara itu, Kapten Max Childs menjelaskan tujuan mereka ke Brunei antara lain adalah sebahagian daripada untuk mempromosikan latihan free and open Indo-Pacific yang telah dijalankan bersama beberapa buah negara sejak empat tahun lalu.





- Pelita Brunei Online