Rabu, 24 Januari 2024

2 Pesawat C295MW tiba di NBD

 Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Masri Osman

RIMBA, Rabu, 24 Januari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Upacara Ketibaan dua buah dari empat buah Pesawat-pesawat C295MW baru ditempah bagi Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) yang berlangsung di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba.

 

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd. Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.

 

Turut hadir semasa Upacara Ketibaan Pesawat tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Pegawai-pegawai Kanan ABDB dan delegasi daripada Syarikat Airbus Defence and Space yang diketuai oleh Head of Region Airbus Asia-Pacific and China, Zakir Hamid.

 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung beredar masuk ke Bilik Merpati untuk disembahkan taklimat ringkas dan disusuli dengan tayangan video daripada Syarikat Airbus Defence and Space.

 

Upacara tersebut dimulakan dengan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung beredar ke ruang tempat duduk khas untuk menyaksikan ketibaan Pesawat-pesawat C295MW yang menerima Water Salute sebagai tanda penghormatan setibanya menuju masuk melalui Military Apron.

 

Sebagai tanda syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kru-kru pesawat melaksanakan Sujud Syukur atas selamat kembalinya ke tanah air setelah selesai membuat penerbangan jarak jauh selama enam hari yang telah bermula dari perkilangan pesawat di Seville, Sepanyol pada 18 Januari 2024.



Bagi memohon keberkatan upacara, Doa Selamat dibacakan oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, dari Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

 

DYTM kemudian dijunjung berangkat bagi sesi sembah kenal kepada kru-kru pesawat dan seterusnya beredar untuk membuat tinjauan lebih dekat Pesawat C295MW dan diikuti sesi bergambar bersama kru-kru pesawat dan sesi bergambar ramai.



DYTM seterusnya dijunjung masuk untuk menerima pesambah sebelum beredar ke Bilik Merbuk bagi Majlis Santap Tengah Hari. Sebelum berangkat meninggalkan Pangkalan Tentera Udara Rimba, DYTM berkenan bagi menandatangani Lembaran Kenangan.

 

Perjanjian Projek Air Transport ini iaitu pembelian empat buah pesawat baharu C295MW telah ditandatangani di antara Kementerian Pertahanan bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Airbus Defence and Space pada 2 Disember 2022.

 

Ketibaan dua buah Pesawat-pesawat C295MW ini adalah berikutan dengan Majlis Customer Acceptance Test di Airbus Defence and Space di Seville, Sepanyol yang turut dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Pemerintah ABDB dan Pemerintah TUDB.

 

Upacara Introduction to Service akan dilaksanakan secara berasingan bagi merasmikan Pesawat C295MW untuk diperkenalkan ke dalam keupayaan pesawat angkut TUDB.

 

Pesawat C295MW ini akan meningkatkan lagi keupayaan TUDB bagi melaksanakan pelbagai misi pengangkutan strategik dan taktikal dari tahap serantau dan antarabangsa seperti operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR), MEDEVAC (Medical Evacuations), NEO (Non-combatant Evacuation Operations) dan SAR (Operasi Mencari dan Menyelamat).

 

Pesawat ini juga berupaya melaksanakan pelbagai peranan seperti pengangkutan anggota dan kargo, pengangkutan VIP, Freefall, Airborne Static Jumps, Cargo Drops dan MEDEVAC.


- Pelita Brunei Online.

Ahad, 6 Februari 2022

Air Force retires Bolkow 105 helicopters

 February 5, 2022

The Royal Brunei Air Force (RBAirF) has retired its entire fleet of MBB Bolkow 105 helicopters after 41 years of service in a ceremony at the Air Movement Centre (AMC), Rimba Air Force Base. The retirement ceremony of the fleet, which operated under No 1 Wing, Operations Group, was attended by officers and personnel of RBAirF, most of whom had served with the Bolkow 105.

Commander of RBAirF Brigadier General (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim was the guest of honour.

The ceremony began with a speech from the guest of honour followed by the signing of a replica of BAF 707: Change of Serviceability Log, which marked the official retirement of the fleet. The Commander of RBAirF was then shown a video montage that included a brief history and journey of the Bolkow 105 in RBAirF.

The ceremony continued with the presentation of mementoes from 12 Squadron and 52 Squadron to the RBAirF and the Commander of RBAirF.

The ceremony concluded with a tour that showcased photos of former personnel of 12 Squadron and 52 Squadron and memorial parts of the aircraft, followed by a group photo session with the aircraft and personnel.

The retirement of MBB Bolkow 105 fleet ceremony was hosted by Acting Squadron Commander of 12 Squadron Major (U) Mohd Adi Faiz bin Haji Abu Bakar who has maintained his flying currency since 2014 and has clocked a total of 800 flying hours on the aircraft.

The MBB Bolkow 105 was a German-made aircraft first introduced into No 2 Squadron, Air Wing in 1981 with six helicopters. Before local personnel took over in 1993, the fleet was entirely administered and maintained by REME (Royal Electrical and Mechanical Engineering), British Army Loan Service.

Equipped with the Sura Rocket system, it was intended to boost the nation’s defence and organisation’s overall operational preparedness by launching rocket projectiles at ground targets, providing air to ground support as well as close air support for ground troops. In 2003, the system was replaced with a new rocket system from Belgium known as Forges De Zeebrugge (FZ Rocket) that travels twice the speed of sound with up to 10 kilometres radius.

Royal Brunei Air Force (RBAirF) has retired its entire fleet of MBB Bolkow 105 helicopters after 41 years of service in a ceremony at the Air Movement Centre, Rimba Air Force Base. Commander of RBAirF Brigadier General (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim was the guest of honour at the event. PHOTO: MINDEF


ABOVE & BELOW: Commander of Royal Brunei Air Force Brigadier General (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim signs a replica of BAF 707: Change of Serviceability Log; and tours a photo exhibition during the ceremony. PHOTOS: MINDEF

- Borneo Bulletin Online.

Pesawat Bolkow 105 tamat perkhidmatan

 February 5, 2022

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Kementerian Pertahanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Pesawat helikopter MBB Bolkow 105 milik Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) di bawah kawalan Cawangan Nombor 1, Kumpulan Gerakan telah menamatkan perkhidmatannya hari ini setelah berkhidmat selama 41 tahun bersama TUDB sejak 1981.

Majlis Penamatan Perkidmatan Pesawat Bolkow 105 yang berlangsung di Pusat Pergerakan Udara, Pengkalan Udara Rimba telah dihadiri oleh sebahagian anggota yang pernah berkhidmat bersama pesawat Bolkow 105 itu.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim yang seterusnya menyampaikan ucapan sempena penamatan perkhidmatan pesawat Bolkow 105.

Menurut kenyataan yang diberikan Kementerian Pertahanan, majlis itu dipengerusikan oleh Pemangku Pegawai Memerintah 12 Skuadron, Mejar (U) Mohd Adi Faiz, yang masih mengekalkan currency penerbangan bersama Bolkow 105 sejak 2014 dan mencatatkan hampir 800 jam penerbangan dengan pesawat tersebut.

Kemudian majlis tersebut diteruskan dengan penyampaian cenderahati kenangan kepada TUDB daripada 12 Skuadron dan 52 Skuadron serta cenderahati khas kepada pemerintah TUDB.

                                      Gambar ramai anggota TUDB bersama helikopter MBB Bolkow 105.

Pemerintah TUDB mengisytiharkan penamatan perkhidmatan dengan menandatangani replika dokumen BAF 707: Change of Serviceability Log yang merupakan penandatanganan terakhir dokumen pesawat tersebut.

Pemerintah TUDB turut mengisytiharkan penamatan perkhidmatan dengan menandatangani replika dokumen BAF 707: Change of Serviceability Log yang merupakan penandatanganan terakhir dokumen pesawat tersebut sebelum ia tamat secara rasmi daripada perkhidmatan.

Pemerintah TUDB seterusnya menyaksikan tayangan klip video mengenai perjalanan sejarah Bolkow 105.

Kenyataan menjelaskan, pesawat Bolkow 105 yang didatangkan dari Jerman mula berkhidmat bersama Cawangan Udara di bawah operasi Nombor 2 Skuadron pada 1981 dengan kekuatan enam buah pesawat.

Ia dikendalikan sepenuhnya dari segi pentadbiran dan penyelenggaraan oleh Royal Electrical and Mechanical Engineering (REME), British Army Loan Service, sebelum diambil alih sepenuhnya oleh anggota tempatan mulai 1993.

Helikopter tersebut dilengkapi dengan sistem roket Sura yang bertujuan untuk meningkatkan sistem pertahanan negara yang berkesan dengan kemampuan penembakan udara ke bumi (air to ground) dan sokongan pertahanan jarak dekat (close air support).

Pada 2003, sistem roket tersebut diganti dengan sistem roket baharu dari Belgium iaitu Forges De Zeebrugge (roc-ket FZ) yang boleh mencapai jarak hingga 10 kilometer.

Terdapat 36 orang juruterbang Bolkow 105 sepanjang perkhidmatannya dan jumlah keseluruhan penerbangan telah mencapai 32,000 jam bagi kesemua pesawat Bolkow 105.

Sebelum mengakhiri majlis dengan sesi bergambar ramai bersama pesawat dan anggota-anggota Bolkow 105, pemerintah TUDB dijemput menyaksikan pameran Galeri Kenangan yang memaparkan gambar-gambar serta alat-alat kenangan pesawat dan anggota pernah berkhidmat di dalamnya.

- Media Permata Online.

Selasa, 1 Jun 2021

UAV Integrator TUDB

 

Integrator TUDB semasa pameran statik sempena Sambutan Jubli Intan ABDB
(Gambar: Pelita Brunei)

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI - KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Haji Omarali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan merasmikan pengendalian pesawat tanpa pemandu (Unmanned Aerial Vehicle - UAV).

Pesawat ini akan digunakan oleh ABDB bagi operasi-operasi perisikan, pengawasan sempadan maritim dan peninjauan secara langsung serta menyalurkan maklumat yang relevan ke pusat-pusat gerakan dan juga kepada agensi-agensi relevan yang lain jika diperlukan.

Pesawat ini dilengkapi dengan sistem pautan data perintah dan kawalan yang dienkripsi. Pesawat mempunyai nombor 901 ini adalah merupakan pesawat tanpa pemandu pertama di dalam inventori TUDB.


Sedikit info mengenai pesawat ini.

Jenis: Pesawat tanpa pemandu RQ-21 Integrator (juga dikenali sebagai RQ-21a Blackjack)

Buatan: Insitu, salah sebuah dari Syarikat Boeing

Asal: Amerika Syarikat

Penerbangan Sulong: 28 Julai 2012

Mula diperkenalkan: April 2014

Pengguna: TUDB, ABDB (bermula dari 31 Mei 2021)

Tugasan: Perisikan, pengawasan sempadan maritim, peninjauan secara langsung.

Jangkamasa Had Operasi: 16 ke 24 jam

Jarak Operasi: 58 batu / 93km / 50 batu nautika


RQ-21 Integrator (Gambar: Kedutaan AS di Brunei)

Selasa, 17 Mac 2020

PEMBERITAHUAN (TIDAK PENTING!)

Assalaamu'alaikum, apa khabar semua pengunjung? Semoga sihat sejahtera dan didoakan semoga kita semua akan dilindungi oleh Allah s.w.t. dari segala bala bencana dan wabak penyakit khususnya coronavirus a.k.a. covid19.

Mulai 1 April 2020, WWGZ akan berpindah dari pengkalan sementaranya di Salambigar ke Permanent Ground Base (PGB) Kupang di daerah Tutong manakala pada masa yang sama pengkalan operasi depan (FOB - hehehe ketawa lagi) di Jalan Sungai Tampoi, Sengkurong akan ditutup sepenuhnya. 

Sementara itu, 2 buah unit baru telah ditubuhkan; sebuah unit mengendalikan hal ehwal peperangan eletronik dan medan pertempuran masa depan (future battlefield) dan sebuah unit lagi adalah pasukan daratan (ground troop). Biarlah nama-nama & logo unit ini dirahsiakan but it's just for fun bukan kegiatan subversif ni. Jangan abiskita mandai-mandai membuat cerita.

Insya-Allah, blog ini cuba akan dikemaskini dari masa ke semasa. 

Sekian, terima kasih.

Wassalam.


Dengan Hormat,

Blogger Wizurai World Green Zone (dan Wizurai World)
Rabu, 18 Mac 2020.

Ahad, 30 Jun 2019

Sambutan HUT ABDB Ke-58 penuh gilang-gemilang

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hamzah Mohidin, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid




BERAKAS, Ahad, 30 Jun. - Lebih lima dekad usia penubuhannya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) selaku tonggak pertahanan utama Negara Brunei Darussalam telah mengharungi pelbagai cabaran dan meraih perkembangan besar terutama dalam misinya untuk mempertahankan keamanan, kemakmuran dan menjaga keselamatan negara.

Sesungguhnya nikmat keamanan negara yang di kecapi hari ini bukanlah sesuatu yang mudah dicapai apatah lagi ia merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan para pahlawan tanah air yang sanggup mempertarungkan jiwa raga demi melihat keamanan di bumi tercinta ini.

Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB yang disambut tiap-tiap tahun setentunya merupakan hari istimewa khususnya bagi menghargai pengorbanan para warga ABDB berserta keluarga, sama ada yang masih berkhidmat, mahupun yang telah bersara, di samping memperingati anggota ABDB yang telah tiada.

Sehubungan itu, Kemuncak Sambutan HUT ABDB Ke-58 pada tahun ini berlangsung penuh gilang-gemilang dengan Upacara Perbarisan Raksasa, Persembahan Arena dan Pameran Statik yang mengambil tempat di Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.

Sambutan HUT ABDB itu menjadi satu detik sejarah manis dan bertambah meriah dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja yang lain.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Kapten (Udara) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Mini Stadium, Bolkiah Garison, di sini dijunjung oleh Menteri Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM dijunjung beredar ke Pentas Khas untuk menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa Pasukan-pasukan Perbarisan raksasa yang melibatkan seramai 1,058 anggota terdiri dari Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB); Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB); Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB); Institut Latihan (IL) ABDB; Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB; dan Pasukan Askar Wanita di bawah Pemerintah Perbarisan, 632 Leftenan Kolonel Amirul Adly bin Haji Ali.

Pada sambutan itu, baginda juga berkenan mengurniakan titah.

Sambutan diteruskan dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ketua Jabatan Agama ABDB, Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, TLDB.

Seterusnya, baginda sekali lagi disembahkan Tabik Hormat Diraja dan diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat TUDB.

Baginda kemudian berkenan menyaksikan persembahan arena yang menunjukkan keupayaan demonstrasi 'direct vehicle ambush and interdiction' dari pegawai dan anggota Rejimen Pasukan Khas (RPK).

Persembahan tersebut memperlihatkan taktik dan teknik penyusupan sebelum melaksanakan misi dengan daya keupayaan tinggi dan kebolehan yang sangat profesional di dalam melaksanakan misi yang berprofil tinggi iaitu operasi menggagalkan aktiviti kumpulan pengganas.

Berkenan menyertai persembahan arena ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Kapten (Udara) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Sambutan HUT kali ini turut menjadi catatan sejarah apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan penganugerahan warga kehormat RPK kepada paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Kapten (Udara) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Penganugerahan warga kehormat RPK tersebut adalah berdasarkan peranan dan sifat kepimpinan serta sumbangan DYTM kepada perkembangan dan keupayaan RPK ABDB selain mempunyai semangat juang yang tinggi, memiliki sifat keberanian yang utuh dan tidak mudah menyerah kalah serta memiliki semangat kepahlawanan dengan wawasan yang sangat jauh.

Sebelum meninggalkan Mini Stadium, Kebawah DYMM turut disembah kenalkan kepada anggota RPK yang mewakili ABDB pada 11th Annual Warrior Competition 2019 (AWC) di Amman, Jordan pada bulan April lalu.

Pada acara tersebut, Pasukan RPK 1 muncul Johan Keseluruhan manakala Pasukan RPK 2 berjaya meraih tempat ketiga.

Kebawah DYMM kemudiannya dijunjung berangkat ke Muzium ABDB Bolkiah Garison yang memaparkan sejarah dan ristaan perjalanan ABDB sejak mula penubuhannya termasuk kelengkapan ketenteraan, latihan dan eksesais yang dijalankan selain perkembangan pesat ABDB dalam struktur organisasi, kemajuan teknikal dan tenaga kerja.

Juga menarik perhatian baginda ialah menyaksikan salah sebuah galeri terbaharu Muzium tersebut iaitu 'Pioneer Intake Gallery' yang mempamerkan mengenai tiga orang pegawai Intek Pertama Askar Melayu Brunei iaitu Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud; Yang Dimuliakan Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Sulaiman bin Haji Awang Damit; dan Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong, yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan Pemerintah ABDB yang terdahulu.

Semasa di galeri tersebut, Kebawah DYMM berkenan beramah mesra bersama bekas pegawai intek pertama tersebut dan ahli-ahli keluarga mereka dan seterusnya berkenan bergambar kenangan, sebelum berangkat menyaksikan pameran-pameran statik daripada unit-unit Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Baginda kemudiannya berkenan melawat Bangunan Baharu Pejabat Pengambilan ABDB yang terletak bersebelahan dengan Bangunan Pancaragam, Bolkiah Garison di mana dahulunya Pejabat Pengambilan ABDB terletak di Flat Anggerek Desa.

Baginda kemudiannya dijunjung ke Mes Pegawai Bolkiah Garison di mana baginda berkenan untuk bergambar kenangan bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan; Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera; Ketua Staf ABDB; Ketua Inspektorat ABDB; Mantan-mantan Timbalan Menteri Pertahanan; Mantan-mantan Pemerintah ABDB; Pengarah-pengarah Tentera dan Awam; serta Komandan-komandan.

Di Mes Pegawai, baginda berkenan menerima pesambah daripada para pegawai ABDB yang berupa seni abstrak yang diberi nama Difa' Al-Amni yang bermaksud mempertahankan keamanan, serta menerima dua pesambah daripada Pegawai Tidak Betauliah (PTB) Kanan dan Rendah ABDB yang berupa jam Garmin D2 Delta Px Pilot dan Garmin Foretex 701 Ballistic Edition MilitaryGrade GPS Navigator yang diinspirasikan daripada teknologi operasional yang futuristik.

Baginda juga berkenan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan dan juga memotong kek Hari Ulang Tahun ABDB ke-58, dan seterusnya dijunjung menikmati Majlis Santap Tengah Hari.

Majlis diakhiri dengan junjung ziarah dengan anggota-anggota ABDB yang sedang berkhidmat dan juga mantan pegawai-pegawai dan bekas anggota-anggota ABDB.

Sambutan HUT ABDB kali ini juga menyaksikan pengenalan pakaian seragam operasi yang lebih baik bagi ketiga-tiga unit ABDB. Semua unit-unit ABDB kini akan menggunakan pakaian operasi seragam D2P yang berfungsi untuk menyediakan penyamaran yang sesuai bagi persekitaran operasi masing-masing.

Objektif ini adalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, di samping menonjolkan kemodenan dan dapat membezakan di antara ketiga-tiga unit. Selain itu, pakaian ini juga selari dengan apa yang diadaptasikan oleh negara-negara serantau dan antarabangsa.

Tema sambutan pada tahun ini 'Bersama Menjayakan Wawasan Negara' menggariskan komitmen ABDB yang berterusan, sebagai tonggak pertahanan dan keselamatan negara, dalam mendukung kemajuan dan pembangunan negara secara holistik, dengan memastikan persekitaran yang aman dan damai melalui pertahanan dan sekuriti yang jitu.

Acara ini, yang secara tradisinya diadakan pada setiap 31 Mei, telah ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan.
Menjangkau usianya Ke-58 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1961, setentunya memberi satu kematangan dalam penubuhannya dan sejajar kedewasaannya itu, ABDB kini mampu berkembang dengan lebih maju dan berwawasan.

Sempena upacara sambutan tersebut, orang ramai juga diberi kesempatan menyaksikan Pameran Statik dan Persembahan Arena yang menggabungkan keupayaan unit-unit tentera ABDB.

Ini diharap akan memberi peluang khususnya kepada ahli keluarga ABDB dan warga awam untuk melihat aset-aset serta keupayaan tentera yang telah sedia ada serta menunjukkan pelaksanaan operasi ketenteraan secara lebih dekat.

KEBAWAH DYMM semasa disembah penerangan mengenai pencapaian RPK

KEBAWAH DYMM ketika menyaksikan salah satu demonstrasi pengambilan baharu

KEBAWAH DYMM dan paduka-paduka anakanda ketika berkenan menyertai Majlis Santap Tengah Hari

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan paduka-paduka anakanda berkenan menerima junjung ziarah.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan memotong kek sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-58.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima pesambah.

SEBAHAGIAN daripada anggota ABDB yang menyertai perbarisan lalu tersebut.

SEBAHAGIAN daripada aksi Persembahan Arena

SEBAHAGIAN daripada aksi Persembahan Arena

Pelita Brunei Online