BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Oktober. - Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKN), Jabatan Perdana Menteri telah melaksanakan Latihan Kebangsaan, iaitu Eksesais Perisai Kebangsaan 04/2015 (EPK 04/2015) selama tiga hari bermula 5 Oktober 2015 dan berakhir pada 7 Oktober 2015.
Eksesais kali ini merupakan latihan kebangsaan keempat yang diadakan di Negara Brunei Darussalam yang mana sebelum ini pernah diadakan pada 2009, 2010 dan 2011.
Eksesais ini bertujuan untuk memastikan Negara Brunei Darussalam bersiap siaga dalam menangani sebarang kecemasan. Ini termasuk mendedahkan semua agensi kepada pelan kontigensi kebangsaan dan prosedur, meningkatkan keupayaan dalam membuat keputusan sewaktu krisis dan menilai keberkesanan struktur kebangsaan, pelan, prosedur dan keupayaan.
Eksesais ini memberikan peluang untuk meningkatkan dan memperbaiki kesiapsiagaan, ketahanan dan meningkatkan koordinasi dalam menangani sebarang ancaman keselamatan dan bencana. Antara matlamat utama Eksesais ini adalah menimba pengalaman, perkongsian amalan baik dan bertukar-tukar pandangan selain meningkatkan kerjasama di kalangan agensi berkenaan dan sektor swasta tempatan.
Rangkaian yang mantap memberi landasan ke arah memupuk koordinasi dan kerjasama yang lebih berkesan terutama dalam mengendalikan tanggungjawab yang memerlukan kesepaduan yang berkesan. Eksesais ini melibatkan lebih dari 5,000 kakitangan.
JKN mengambil peluang menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas keberangkatan baginda pada hari Selasa, 6 Oktober 2015.
Menurut Siaran Akhbar Jabatan Perdana Menteri, JKN turut memberi penghargaan terhadap semua kementerian, jabatan, agensi dan badan-badan swasta yang telah membuat sumbangan dan menyertai Eksesais dalam memastikan ia berjalan dengan lancar dan seterusnya merakamkan terima kasih kepada pihak media di atas liputan profesional sewaktu Eksesais diadakan.
JKN juga merakamkan penghargaan kepada orang ramai di atas kesabaran dan pengertian mereka terhadap kesulitan yang dialami semasa Eksesais diungkayahkan. Eksesais melibatkan kawasan-kawasan perumahan dan komersial serta jalan-jalan raya utama di beberapa buah tempat di negara ini terutama sekali di kawasan Daerah Brunei dan Muara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan