YANG
Teramat Mulia Paduka Seri Duli Leftenan Pengiran Muda ’Abdul Mateen
ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan melancarkan dan
Penamaan Kapal Terbaru Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kapal Peronda
DARUTTAQWA, di limbungan Syarikat Pembinaan Kapal Luerssen, Berne,
Niedersachsen, Republik Persekutuan Jerman.
(Foto: Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah)
BERNE, BREMEN, JERMAN, Khamis, 22 Ogos. -
Dalam menjana keselamatan perairan negara dan teluk rantau, kemampuan
untuk terus memantau dan bertindak bagi sebarang ancaman ke atas laluan
dan aset ekonomi di perairan bukan sahaja memerlukan perkapalan dan
sistem persenjataan yang canggih, malahan kewibawaan dan semangat waja
anggota-anggota yang diberikan amanah.
Sehubungan itu, Yang Teramat Mulia
Paduka Seri Duli Leftenan Pengiran Muda ’Abdul Mateen ibni Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran dan
Penamaan Kapal Terbaru Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kapal Peronda
DARUTTAQWA, di limbungan Syarikat Pembinaan Kapal Luerssen, Berne,
Niedersachsen, Republik Persekutuan Jerman di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia
Paduka Seri Duli Leftenan Pengiran Muda ’Abdul Mateen di limbungan kapal
tersebut dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Dato
Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat, Duta Besar Negara Brunei Darussalam
ke Republik Persekutuan Jerman, Tuan Yang Terutama Pehin Datu Panglima
Kolonel (Bersara) Dato Paduka Haji Abdul Jalil bin Haji Ahmad,
Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, Laksamana Pertama Dato Seri
Pahlawan Haji Abdul Halim bin Haji Mohd. Hanifah, dan Pengarah Urusan
Syarikat Pembina Kapal Luerssen, Tuan Peter Luerssen.
Sejurus keberangkatan tiba, YTM
dijunjung melawat ke atas kapal Peronda DARUTTAQWA untuk meninjau
perkembangan pembinaan kapal tersebut dan seterusnya bergambar ramai di
kawasan geladak pelantar kapal tersebut.
Majlis
kemudiannya diteruskan dengan Majlis Pelancaran dan Penamaan Kapal
Peronda DARUTTAQWA yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Faatihah
dipimpin oleh Penolong Ketua Jabatan Agama, Angkatan Bersenjata Diraja
Brunei (ABDB), Kapten Ariffin bin Amit dan diikuti dengan sembah
alu-aluan oleh Pengarah Urusan Syarikat Pembina Kapal Luerssen, Tuan
Peter Luerssen.
Pada
majlis tersebut, YTM berkenan mengurniakan sabda pelancaran dan penamaan
Kapal Peronda DARUTTAQWA diikuti dengan laungan azan.
Sejurus kapal Peronda DARUTTAQWA
diturunkan hingga ke paras air buat pertama kalinya, doa selamat
dibacakan oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB bagi memohon keberkatan
dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, YTM berkenan menerima Pesambah dan menandatangani Lembaran Kenangan.
Kapal Peronda DARUTTAQWA akan
ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Diraja Brunei sebagai kapal peronda
luar pantai dan juga berfungsi sebagai kapal logistik dan latihan bagi
anggota TLDB.
Kapal
ini mula dibina pada bulan Mei 2012 dan dijangka siap pada bulan Mei
2014 dan merupakan kapal peronda Kelas Darussalam yang berukuran 80
meter dengan berat 1,600 tan dan dilengkapi dengan landasan pendaratan
helikopter.
DARUTTAQWA
bermakna bahtera yang sentiasa dalam naungan perlindungan kesejahteraan
daripada sebarang ancaman dengan benteng dan pemeliharaan dari Allah
Subhanahu Wata’ala di mana anak kapal dan penumpangnya sentiasa
menjunjung dan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan larangan
agama dengan penuh ketaqwaan kepada Allah ‘Azza Wa Jalla.
Dengan adanya lagi Kapal Peronda
DARUTTAQWA terbaru ini, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) kini menambah
lagi bilangan kapal peronda barunya selain memiliki Kapal Peronda Luar
Pantai daripada Kelas Darussalam yang dinamakan KDB Darussalam, KDB
Darulehsan dan KDB Darulaman yang merupakan pengganti kepada kapal-kapal
peluru berpandu lama daripada Kelas Waspada yang sudah berkhidmat lebih
dari 30 tahun.
Selain daripada kapal peronda yang
dimiliki, TLDB juga turut memiliki empat buah Kapal Peronda Laju dari
Kelas Ijtihad sepanjang 41 meter iaitu KDB Ijtihad, KDB Berkat, KDB
Syafaat dan KDB Afiat yang menggantikan Kapal Peronda Laju dari Kelas
Perwira.
Dengan adanya penambahan kapal-kapal
baru ini diharap anggota-anggota TLDB akan dapat mempertingkatkan lagi
keupayaan mereka dengan ilmu pengetahuan dan aset moden serta canggih di
samping sentiasa berusaha untuk berkembang maju selaras dengan
perkembangan Kertas Putih Pertahanan.
Maka anggota TLDB perlu terus memanfaatkan kelebihan dan cabaran peranan yang bakal dan seterusnya akan sentiasa dipikul.
Dengan perolehan peningkatan permodenan
kapal yang selaras dengan kehendak dan keperluan membanteras
gejala-gejala dan aktiviti menjurus ke arah ancaman ke atas kepentingan
negara ini, aset-aset baru tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin
serta penghalang dan benteng pertahanan yang kukuh seterusnya
peningkatan perkhidmatan dan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa
maritim dan agensi yang lainnya.
Dengan adanya aset-aset ini, TLDB akan
terus bersiapsiaga menabur baktinya kepada raja, bangsa, agama dan
Negara Brunei Darussalam yang tercinta.
- Pelita Brunei Online - Friday, 23 August 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan