BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Februari. - Kerajaan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa berusaha secara berterusan
bagi memastikan Negara Brunei Darussalam (NBD) bebas daripada sebarang
ancaman anasir-anasir jahat termasuklah ancaman pengganasan yang cuba
untuk mengganggu gugat keamanan, keharmonian dan keselamatan negara.
Sehubungan itu, Jabatan Keselamatan
Dalam Negeri (JKDN) telah menahan Daniel@Awaluddin Sitorus, 44 tahun,
seorang warga asing yang bermastautin di negara ini di bawah Bab 3(1)(a)
Akta Keselamatan Dalam Negeri yang mula berkuat kuasa pada 21 Februari
2014 kerana penglibatan beliau dalam kegiatan yang berkaitan dengan
elemen pengganasan di negara ini.
Semasa menjalani proses siasatan JKDN,
Daniel@Awaluddin Sitorus mengaku menganggotai Kumpulan Jemaah Islamiyah
(JI) dan pernah mengikuti latihan militan ketenteraan di Afghanistan
pada awal tahun 1990-an.
Beliau pernah ditahan atas dakwaan
terlibat dalam pengeboman di Medan, Indonesia pada tahun 2000 dan juga
mengaku pernah menggunakan beberapa nama lain seperti Ustaz Yasin Abu
Yasar, Dani dan Daniardanalin dan melibatkan diri dalam perniagaan
perubatan herba di negara ini, yang mana tindakan beliau ini adalah
untuk mengaburi mata pihak berkuasa dari terus dikesan.
Hasil siasatan juga mendapati bahawa
Daniel@Awaluddin Sitorus terus berhubung dengan ketua utama Kumpulan
Mujahidin Indonesia (KMI) dan pernah menguruskan kemasukan individu yang
mencurigakan keselamatan ke NBD pada tahun 2013.
JKDN menilai kegiatan Daniel@Awaluddin
Sitorus adalah menjadi perancang kepada perancangan masa depan anggota
atau bekas anggota kumpulan pengganas untuk memasuki dan bertapak di
negara ini dan seterusnya menjadikan NBD sebagai tempat persembunyian
atau 'safe heaven' serta tempat penyaluran dana kepada kumpulan
pengganas di luar negara.
Tindakan menahan Daniel@Awaluddin
Sitorus ini diambil sebagai langkah pencegahan dan atas dasar tidak
toleransi Kerajaan Kebawah DYMM ke atas sebarang elemen yang berhubung
kait dengan aktiviti pengganasan di negara ini.
Di waktu yang sama, penahanan
Daniel@Awaluddin Sitorus ini juga menunjukkan tahap komitmen dan
kerjasama yang tinggi di antara agensi perisikan dan penguatkuasaan
dalam dan luar negara dalam memerangi sebarang aktiviti-aktiviti yang
boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Sehubungan ini juga, JKDN mengingatkan
orang ramai untuk sentiasa berwaspada akan muslihat dan dakyah palsu
golongan-golongan yang mengaku turut mendukung hasrat suci NBD untuk
melaksanakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah tetapi kemudiannya
memesongkan dukungan kepada kepentingan-kepentingan lain seperti
kegiatan ekstremisme dan pengganasan.
Ke arah ini, JKDN juga mengingatkan
orang ramai supaya sentiasa bersedia menjadi 'mata dan telinga' kerajaan
dengan menyalurkan apa jua maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan
dan ketenteraman orang awam di negara ini khususnya mengenai individu
atau kumpulan yang terlibat dengan aktiviti militan dan pengganasan
kepada Hotline JKDN 133 atau mana-mana cawangan JKDN di negara ini.
- Siaran Akhbar JKDN via Pelita Brunei Online. Khamis, 27 Febuari 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan