Jumaat, 23 September 2016

TUDB sambut Jubli Emas

Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), hari ini meraikan Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 dalam upacara perbarisan yang membawa tema ‘Generasi TUDB Berwawasan’ di Pusat Gerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah.
Seramai 50 orang mantan pemerintah TUDB, sarjan-sarjan mejar yang bersara dan para pegawai kanan TUDB yang telah berkhidmat dan menyumbang kepada penubuhan TUDB sejak 50 tahun lalu hadir pada majlis berkenaan.
Upacara perbarisan yang merupakan kemuncak sambutan berkenaan melibatkan seramai 157 orang anggota yang terdiri daripada lapan orang pegawai dan 149 orang lain-lain peringkat.
Pemerintah TUDB bersama jemputan-jemputan yang lain.
Pemerintah TUDB ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Majlis kemudian diikuti dengan ucapan Pemerintah TUDB, yang antara lain menasihatkan pegawai-pegawai dan anggota TUDB agar mempunyai sikap yang betul dan sifat yang diperlukan dengan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kecerdasan, kemahiran serta sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental agar mereka dapat diberi peluang dan dihantar untuk bertugas di bawah organisasi antarabangsa lain yang diiktiraf negara.
Beliau juga menegaskan bahawa saluran komunikasi dua hala sentiasa terbuka daripada peringkat bawahan hingga ke peringkat atasan TUDB. Saluran komunikasi tersebut, menurut beliau, hendaklah dimanfaatkan dengan sewajarnya.
Sesi bergambar ramai antara Pemerintah TUDB, mantan-mantan pemerintah TUDB dan pegawai serta anggota TUDB yang lain.
Upacara perbarisan selaku kemuncak sambutan Jubli Emas TUDB.
“Kita hendaklah lebih bertanggungjawab di atas tindak-tanduk yang diambil, bijak dan berkredibiliti dalam menyampaikan maklumat dengan pihak luar seperti media dan orang awam,” tambah beliau sambil menasihatkan agar pegawai-pegawai dan anggota TUDB meningkatkan kelayakan profesionalisme, membudayakan tabiat suka membaca dan menjaga kesihatan dengan cara mengamalkan budaya hidup sihat.
Majlis disudahi dengan bacaan Doa Selamat, upacara memotong kek ulang tahun dan sesi beramah mesra bersama anggota-anggota TUDB.
Aspirasi tema ‘Generasi TUDB Berwawasan’ berkenaan adalah untuk melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan yang berkaliber untuk memenuhi visi dan misi TUDB.
- Media Permata Online. 27 Ogos 2016.

Keluarga diraja meriahkan sambutan Jubli Emas TUDB

Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) telah mengadakan acara Hari Terbuka di Kompleks Sukan Pangkalan TUDB, Rimba, di sini, hari ini.
Berkenan berangkat memeriahkan acara berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Khairul Khalil serta anakanda-anakanda Yang Teramat Mulia iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah.
Hari Terbuka yang bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang itu dimeriahkan dengan persembahan arena, pameran statik, permainan bagi dewasa dan kanak-kanak, seperti permainan keluarga, bouncer, Flying Fox, ATV, Pony Ride dan bermacam-macam lagi. Selain itu, gerai-gerai jualan dan jualan car booth turut diadakan.
Sempena sambutan berkenaan, TUDB juga mengadakan kutipan derma bagi anak-anak yatim.


Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan YAM Pengiran Anak Khairul Khalil serta anakanda-anakanda berkenan berangkat memeriahkan Hari Terbuka Sempena Sambutan Ulang Tahun TUDB.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez (gambar atas) dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah (gambar bawah) ketika berkenan menyertai salah satu permainan di kolam renang sempena Sambutan Jubli Emas TUDB di Kompleks Sukan Pangkalan TUDB, Rimba.

Konsep sambutan Hari Terbuka ini memfokuskan tentang penerapan perkembangan dan kemajuan semenjak penubuhannya sehingga kini yang diharapkan dapat menarik minat orang awam terutama para pelajar untuk menceburi bidang kerjaya sebagai tentera dalam TUDB.
Di samping meningkatkan imej TUDB, ia juga bertujuan memberikan peluang kepada para pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat kerjaya-kerjaya yang terdapat dalam TUDB melalui pertunjukan arena dan pameran-pameran statik.
- Media Permata Online. 5 September 2016.

Hari Terbuka pamerkan kemajuan TUDB sejak 50 tahun lalu

  • Oleh:  Rohani Haji Abdul Hamid Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor


YANG Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan bergambar bersama pengunjung Hari Terbuka sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Ke-50 Tahun, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).
RIMBA, Ahad, 4 September. - Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Ke-50 Tahun, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) telah mengadakan acara Hari Terbuka bertempat di Kompleks Sukan Pangkalan Tentera Udara (PTU), Rimba, di sini.
Konsep Hari Terbuka Sempena Sambutan HUT TUDB Ke-50 memfokuskan kepada penerapan tentang perkembangan dan kemajuan sejak penubuhan sehingga usia TUDB mencapai genap 50 tahun.


CUCUNDA Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah semasa berangkat ke Hari Terbuka TUDB yang diadakan di Pangkalan Tentera Udara (PTU), Rimba.
Perasmiannya disempurnakan oleh Pemerintah TUBD, Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Awang Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah dan Datin.
Acara turut menyaksikan penyampaian sumbangan ke tabung dana anak-anak yatim dan diselajurkan dengan menyaksikan Pameran Statik dan Petak, aktiviti-aktiviti hiburan serta gerai jualan.


PEMERINTAH TUDB, Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Awang Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah semasa merasmikan Sambutan Hari Terbuka Sempena Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) Ke-50 yang diadakan di Pangkalan Tentera Udara (PTU), Rimba.
Antara yang berangkat pada Hari Terbuka TUDB itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah serta anakanda-anakanda Yang Teramat Mulia iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah.

PEMERINTAH TUDB (dua, kanan) semasa melawat dan bergambar bersama para petugas sempena Hari Terbuka TUDB. 
Pelbagai aktiviti dan permainan turut diadakan bagi memeriahkan lagi Hari Terbuka TUDB seperti Gerai Jualan Bazar, Flying Fox, Car Boot Sale, Paintball dari RBTS, Pony Ride dari Saddle Club ABDB, All Terrain Vehicle Ride, Tamiya Tournament, 4WD RC, Pet Show, Tri-Dive dari Poni Divers, Bubble Ball, Face Painting, Colouring Contest, TUDB Amazing Race, Bouncers dan banyak lagi.

PEMERINTAH TUDB semasa melawat dan menyaksikan pameran sempena Hari Terbuka TUDB.
Aktiviti-aktiviti ini diharap akan dapat memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan anggota TUDB dan juga membantu memberi peluang keemasan bagi perniagaan kecil dan sederhana kepada orang ramai untuk memajukan produk serta perniagaan mereka.
Di samping itu, acara ini juga diharap akan dapat menarik minat orang awam terutama pelajar-pelajar untuk menceburi bidang kerjaya sebagai seorang tentera dalam TUDB, sekali gus untuk menaikkan imej TUDB.

 
PEMERINTAH TUDB (tengah) semasa melawat dan menyaksikan pameran sempena Hari Terbuka TUDB.
Ia turut memberi peluang kepada anggota keluarga dan orang awam untuk melihat dengan lebih dekat kerjaya-kerjaya yang terdapat dalam TUDB melalui Pertunjukan Arena TUDB dan Pameran-pameran Statik serta Petak TUDB.
Ketika ditemu bual oleh Pelita Brunei semasa acara tersebut, Awang Azirul Khan bin Nordin dari Poni Divers menjelaskan bahawa syarikat Poni Divers menyertai pameran ini untuk memeriahkan lagi sambutan agar orang ramai berminat untuk menyertai dan mencuba aktiviti menyelam.

PEMERINTAH TUDB (kanan) semasa melawat dan menyaksikan pameran sempena Hari Terbuka TUDB.
Menurutnya lagi, ini adalah kali pertama Syarikat Poni Divers menyertai Hari Terbuka TUDB ini dan berharap untuk dapat menarik pengunjung untuk menyertai aktiviti menyelam.
Manakala bagi Awangku Md. Asri bin Pengiran Haji Abdul Aziz berkata, Sambutan Hari Terbuka TUDB begitu menarik sekali walaupun cuaca begitu panas namun kehadiran para pengunjung amat memberangsangkan.

PEMERINTAH TUDB (dua, kiri) dan Datin (kiri) semasa melawat dan menyaksikan pameran sempena Hari Terbuka TUDB.
Katanya, pengunjung berpeluang melihat dan mencuba pameran-pameran yang dipamerkan terutama sekali Pameran Poni Divers kerana dapat mencuba untuk mendapatkan pengalaman sebagai penyelam.

DAYANG Qaisara Al-Zhra binti Haji Idris, 7 tahun, dari Sekolah Chung Hwa Tutong mengabadikan gambar semasa pada Pameran Statik sempena Hari Terbuka TUDB.

- Pelita Brunei Online.