Ahad, 30 Jun 2019

Sambutan HUT ABDB Ke-58 penuh gilang-gemilang

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hamzah Mohidin, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid




BERAKAS, Ahad, 30 Jun. - Lebih lima dekad usia penubuhannya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) selaku tonggak pertahanan utama Negara Brunei Darussalam telah mengharungi pelbagai cabaran dan meraih perkembangan besar terutama dalam misinya untuk mempertahankan keamanan, kemakmuran dan menjaga keselamatan negara.

Sesungguhnya nikmat keamanan negara yang di kecapi hari ini bukanlah sesuatu yang mudah dicapai apatah lagi ia merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan para pahlawan tanah air yang sanggup mempertarungkan jiwa raga demi melihat keamanan di bumi tercinta ini.

Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB yang disambut tiap-tiap tahun setentunya merupakan hari istimewa khususnya bagi menghargai pengorbanan para warga ABDB berserta keluarga, sama ada yang masih berkhidmat, mahupun yang telah bersara, di samping memperingati anggota ABDB yang telah tiada.

Sehubungan itu, Kemuncak Sambutan HUT ABDB Ke-58 pada tahun ini berlangsung penuh gilang-gemilang dengan Upacara Perbarisan Raksasa, Persembahan Arena dan Pameran Statik yang mengambil tempat di Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.

Sambutan HUT ABDB itu menjadi satu detik sejarah manis dan bertambah meriah dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja yang lain.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Kapten (Udara) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Mini Stadium, Bolkiah Garison, di sini dijunjung oleh Menteri Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM dijunjung beredar ke Pentas Khas untuk menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa Pasukan-pasukan Perbarisan raksasa yang melibatkan seramai 1,058 anggota terdiri dari Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB); Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB); Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB); Institut Latihan (IL) ABDB; Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB; dan Pasukan Askar Wanita di bawah Pemerintah Perbarisan, 632 Leftenan Kolonel Amirul Adly bin Haji Ali.

Pada sambutan itu, baginda juga berkenan mengurniakan titah.

Sambutan diteruskan dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ketua Jabatan Agama ABDB, Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, TLDB.

Seterusnya, baginda sekali lagi disembahkan Tabik Hormat Diraja dan diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat TUDB.

Baginda kemudian berkenan menyaksikan persembahan arena yang menunjukkan keupayaan demonstrasi 'direct vehicle ambush and interdiction' dari pegawai dan anggota Rejimen Pasukan Khas (RPK).

Persembahan tersebut memperlihatkan taktik dan teknik penyusupan sebelum melaksanakan misi dengan daya keupayaan tinggi dan kebolehan yang sangat profesional di dalam melaksanakan misi yang berprofil tinggi iaitu operasi menggagalkan aktiviti kumpulan pengganas.

Berkenan menyertai persembahan arena ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Kapten (Udara) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Sambutan HUT kali ini turut menjadi catatan sejarah apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan penganugerahan warga kehormat RPK kepada paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Kapten (Udara) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Penganugerahan warga kehormat RPK tersebut adalah berdasarkan peranan dan sifat kepimpinan serta sumbangan DYTM kepada perkembangan dan keupayaan RPK ABDB selain mempunyai semangat juang yang tinggi, memiliki sifat keberanian yang utuh dan tidak mudah menyerah kalah serta memiliki semangat kepahlawanan dengan wawasan yang sangat jauh.

Sebelum meninggalkan Mini Stadium, Kebawah DYMM turut disembah kenalkan kepada anggota RPK yang mewakili ABDB pada 11th Annual Warrior Competition 2019 (AWC) di Amman, Jordan pada bulan April lalu.

Pada acara tersebut, Pasukan RPK 1 muncul Johan Keseluruhan manakala Pasukan RPK 2 berjaya meraih tempat ketiga.

Kebawah DYMM kemudiannya dijunjung berangkat ke Muzium ABDB Bolkiah Garison yang memaparkan sejarah dan ristaan perjalanan ABDB sejak mula penubuhannya termasuk kelengkapan ketenteraan, latihan dan eksesais yang dijalankan selain perkembangan pesat ABDB dalam struktur organisasi, kemajuan teknikal dan tenaga kerja.

Juga menarik perhatian baginda ialah menyaksikan salah sebuah galeri terbaharu Muzium tersebut iaitu 'Pioneer Intake Gallery' yang mempamerkan mengenai tiga orang pegawai Intek Pertama Askar Melayu Brunei iaitu Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud; Yang Dimuliakan Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Sulaiman bin Haji Awang Damit; dan Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong, yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan Pemerintah ABDB yang terdahulu.

Semasa di galeri tersebut, Kebawah DYMM berkenan beramah mesra bersama bekas pegawai intek pertama tersebut dan ahli-ahli keluarga mereka dan seterusnya berkenan bergambar kenangan, sebelum berangkat menyaksikan pameran-pameran statik daripada unit-unit Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Baginda kemudiannya berkenan melawat Bangunan Baharu Pejabat Pengambilan ABDB yang terletak bersebelahan dengan Bangunan Pancaragam, Bolkiah Garison di mana dahulunya Pejabat Pengambilan ABDB terletak di Flat Anggerek Desa.

Baginda kemudiannya dijunjung ke Mes Pegawai Bolkiah Garison di mana baginda berkenan untuk bergambar kenangan bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan; Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera; Ketua Staf ABDB; Ketua Inspektorat ABDB; Mantan-mantan Timbalan Menteri Pertahanan; Mantan-mantan Pemerintah ABDB; Pengarah-pengarah Tentera dan Awam; serta Komandan-komandan.

Di Mes Pegawai, baginda berkenan menerima pesambah daripada para pegawai ABDB yang berupa seni abstrak yang diberi nama Difa' Al-Amni yang bermaksud mempertahankan keamanan, serta menerima dua pesambah daripada Pegawai Tidak Betauliah (PTB) Kanan dan Rendah ABDB yang berupa jam Garmin D2 Delta Px Pilot dan Garmin Foretex 701 Ballistic Edition MilitaryGrade GPS Navigator yang diinspirasikan daripada teknologi operasional yang futuristik.

Baginda juga berkenan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan dan juga memotong kek Hari Ulang Tahun ABDB ke-58, dan seterusnya dijunjung menikmati Majlis Santap Tengah Hari.

Majlis diakhiri dengan junjung ziarah dengan anggota-anggota ABDB yang sedang berkhidmat dan juga mantan pegawai-pegawai dan bekas anggota-anggota ABDB.

Sambutan HUT ABDB kali ini juga menyaksikan pengenalan pakaian seragam operasi yang lebih baik bagi ketiga-tiga unit ABDB. Semua unit-unit ABDB kini akan menggunakan pakaian operasi seragam D2P yang berfungsi untuk menyediakan penyamaran yang sesuai bagi persekitaran operasi masing-masing.

Objektif ini adalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, di samping menonjolkan kemodenan dan dapat membezakan di antara ketiga-tiga unit. Selain itu, pakaian ini juga selari dengan apa yang diadaptasikan oleh negara-negara serantau dan antarabangsa.

Tema sambutan pada tahun ini 'Bersama Menjayakan Wawasan Negara' menggariskan komitmen ABDB yang berterusan, sebagai tonggak pertahanan dan keselamatan negara, dalam mendukung kemajuan dan pembangunan negara secara holistik, dengan memastikan persekitaran yang aman dan damai melalui pertahanan dan sekuriti yang jitu.

Acara ini, yang secara tradisinya diadakan pada setiap 31 Mei, telah ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan.
Menjangkau usianya Ke-58 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1961, setentunya memberi satu kematangan dalam penubuhannya dan sejajar kedewasaannya itu, ABDB kini mampu berkembang dengan lebih maju dan berwawasan.

Sempena upacara sambutan tersebut, orang ramai juga diberi kesempatan menyaksikan Pameran Statik dan Persembahan Arena yang menggabungkan keupayaan unit-unit tentera ABDB.

Ini diharap akan memberi peluang khususnya kepada ahli keluarga ABDB dan warga awam untuk melihat aset-aset serta keupayaan tentera yang telah sedia ada serta menunjukkan pelaksanaan operasi ketenteraan secara lebih dekat.

KEBAWAH DYMM semasa disembah penerangan mengenai pencapaian RPK

KEBAWAH DYMM ketika menyaksikan salah satu demonstrasi pengambilan baharu

KEBAWAH DYMM dan paduka-paduka anakanda ketika berkenan menyertai Majlis Santap Tengah Hari

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan paduka-paduka anakanda berkenan menerima junjung ziarah.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan memotong kek sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-58.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima pesambah.

SEBAHAGIAN daripada anggota ABDB yang menyertai perbarisan lalu tersebut.

SEBAHAGIAN daripada aksi Persembahan Arena

SEBAHAGIAN daripada aksi Persembahan Arena

Pelita Brunei Online

Selasa, 25 Jun 2019

Hubungan TLDB, JMSDF terus berkembang

Siaran Akhbar dan Foto: Kementerian Pertahanan

BOLKIAH GARISON, Selasa, 25 Jun. – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof telah menerima kunjungan hormat daripada Commander of Escort Flotilla I, Japan Maritime Self-Defense Force (JMSDF), Rear Admiral Hiroshi Egawa pada 24 Jun 2019.

Semasa kunjungan hormat, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) mengalu-alukan kedatangan Rear Admiral Hiroshi Egawa dan delegasi ke Negara Brunei Darussalam dan mengucapkan terima kasih atas lawatan muhibah daripada JS IZUMO, JS MURUSAME dan JS AKEBONO ke negara ini bermula dari 23 hingga 30 Jun 2019.

Rear Admiral Hiroshi Egawa juga telah membuat kunjungan hormat kepada Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Kedua belah pihak berpuas hati atas hubungan dua hala di antara Tentera Laut Diraja Brunei dan JMSDF yang mana terus berkembang dari tahun ke tahun melalui pertukaran lawatan, latihan eksesais pelbagai hala dan kursus. Pemerintah ABDB mengalu-alukan peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan kerjasama ketenteraan di antara kedua buah angkatan laut pada masa akan datang.

- Pelita Brunei Online.