DULI
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji
Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri
Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja
Brunei berkenan mengurniakan Sabda Penghargaan.
(Foto: Masri Osman)
BANDUNG, REPUBLIK INDONESIA, Selasa 6 Mei. - Duli
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran
Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri
Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja
Brunei (ABDB) berkenan berangkat ke Majlis Penganugerahan Warga
Kehormatan Korps PASKHAS dari Angkatan Tentera Udara Republik Indonesia. Majlis berlangsung di Markas Komando (Mako) KOPASKHAS, di sini.
Upacara penganugerahan tersebut berlangsung dengan penuh gemilang ketenteraan dan ianya merupakan penghormatan ketiga dalam bidang ketenteraan yang diterima Duli Yang Teramat Mulia sejak mengadakan Keberangkatan Rasmi bermula 2 Mei lepas ke Republik Indonesia.
Ketika bersabda, selepas menerima Penganugerahan
Warga Kehormat PASKHAS itu, DYTM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada Marshal Harpin Ondeh dan KORPASKHAS.
Penganugerahan ini, sabda DYTM, adalah satu
penghormatan memandangkan pada tahun 2008, Ayahanda DYTM, Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam juga telah menerima penghormatan yang sama.
Terdahulu sebelum itu, keberangkatan tiba DYTM telah dijunjung oleh Komandan KORPASKHAS, Marshal M. Harpin Ondeh dan Kepala Staff Angkatan Udara, Marsekal TNI Iputu Dunia.
DYTM seterusnya menerima Tabik Hormat oleh Pengawal Pos Mako KORPASKHAS dan Kawalan Suku.
Di lobi Markas, DYTM dijunjung menandatangani Buku Pelawat. Sementara di bilik Rapat Nanggala Yudha, DYTM berkenan mendengar sembah alu-aluan daripada Komandan KORPASKHAS
Marshal M. Harpin Ondeh dan seterusnya taklimat mengenai latar belakang
dan perkembangan Markas Komando (Mako) KOPASKHAS.
Ketika bersabda dalam majlis itu, DYTM menjelaskan
bahawa kedua-dua negara mempunyai hubungan dua hala yang sangat baik
termasuk di bidang pertahanan melalui pertukaran dan latihan ketenteraan
bersama yang sering diadakan.
Bagi hasrat tersebut DYTM berharap hubungan baik yang sedia ada akan dapat diteruskan.
DYTM seterusnya berkenan menyaksikan tayangan video dokumentari KORPASKHAS dan berkenan menerima Plak yang disembahkan oleh Komandan KORPASKHAS, Marshall M. Harpin Ondeh. Sementara itu, DYTM juga kemudiannya berkenan mengurniakan Plak kepada Marshal M. Harpin Ondeh.
DYTM seterusnya dijunjung berangkat ke Dewan Heritage KORPASKHAS dan berkenan menyaksikan pameran statik.
DYTM kemudiannya dijunjung berangkat ke padang
upacara bagi menyaksikan pertunjukan statik daripada Pasukan Bravo dan
seterusnya dijunjung ke pentas khas bagi Majlis Penganugerahan Warga
Kehormatan PASKHAS dan seterusnya menerima Hormat Senjata.
Komandan KORPASKHAS kemudian menyembahkan Beret Jingga dan seterusnya menyematkan Lencana Kehormat KORPASKHAS diikuti dengan pemasangan Bayonet.
Setelah selesai Majlis Penganugerahan, DYTM
dijunjung bagi Sesi Bergambar dan seterusnya dijunjung berangkat bagi
Santap Tengah hari.
Sebaik selesai Majlis Santap, DYTM dijunjung
berangkat ke Monumen Kusuma Bangsa bagi Majlis Perletakan Karangan Bunga
diiringi oleh Komandan KORPASKHAS Marshall M. Harpin Ondeh.
Pembangunan monumen ini merupakan persembahan
generasi penerus bangsa khususnya Tentera Nasional Indonesia (TNI)
kepada para pahlawan kusuma bangsa yang telah menggadaikan jiwa dan raga
mereka kepada bangsa dan negara.
Sebelum meninggalkan Markas Komando KORPASKHAS,
DYTM berkenan sekali lagi menerima penghormatan daripada kawalan Suku
dan Tabik Hormat daripada Pengawal Pos Markas Komando KORPASKHAS.
Mengiringi Keberangkatan DYTM di majlis itu ialah
Timbalan Menteri Pertahanan Republik Indonesia,Tuan Yang Terutama
Sjafrie Sjamsoeddin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Yang
Mulia Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong; Duta Besar dan Mutlak
Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama
Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Awang Haji Mahmud bin Haji Saidin dan
Pemangku Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan
Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigadier Jeneral Dato Seri
Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abd. Rahman.
- Pelita Brunei Online. 14 May 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan