Rabu, 1 Oktober 2014

PESEBAR membariga dan memperkenalkan sejarah

  • Oleh:  Saerah Haji Abdul Ghani   
  • Monday, 29 September 2014

    PEMANGKU Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman semasa hadir pada Mesyuarat Agung Kali Ke 6-Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR).
    PEMANGKU Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman semasa hadir pada Mesyuarat Agung Kali Ke 6-Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR). (Foto: Hamzah Mohiddin)
    BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 28 September. - Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Ke-6 bagi memilih jawatankuasa yang baru sesi 2014-2016.
    Hadir selaku tetamu kehormat pada mesyuarat yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei (PSB), di sini ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman.
    Yang Di-Pertua PESEBAR, Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim semasa berucap menjelaskan, hari ini genaplah usia PESEBAR menjangkau 30 tahun 21 hari berdasarkan tarikh kebenaran pendaftarannya pada 8 Februari 1984 selepas ditubuhkan pada 24 April 1983 dengan keramaian ahli-ahli yang berdaftar sebanyak 120 orang.
    Menurut Yang Berhormat, Mesyuarat Agung pertamanya telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien (Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien) yang berlangsung pada 27 Mei 1984 bagi memilih Ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi yang pertama di mana jawatan Yang Di-Pertua PESEBAR ketika itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran Haji Mohd. Yusof bin Pengiran Haji Abdul Rahim.
    HAMZAH-003 280914
    YANG Di-Pertua PESEBAR, Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim semasa berucap di majlis ini. (Foto : Hamzah Mohiddin)
    Yang Berhormat berkata, matlamat penubuhan PESEBAR adalah untuk membarigakan dan memperkenalkan sejarah dan keagungan negara kita yang dicintai yang bertunjangkan Kesultanan Melayu Brunei.
    "Apabila membincangkan tentang kesultanan ini, maka dengan sendirinya kita tidak boleh lari dari memperkatakan Melayu Islam Beraja. Di dalamnya banyak serpihan yang boleh dikaji dari sejarahnya yang menjurus bukan saja kepada hal-hal politik tetapi juga sosiobudayanya. Melayu Islam Berajalah yang banyak mencorak dan mengangkat tamadun negara kita dari dulu hingga sekarang," ujar Yang Berhormat.
    Yang Berhormat berharap, dengan kemunculan PESEBAR akan menjadi wadah dan pendorong kepada sejarawan tempatan dan peminat sejarah untuk sama-sama menggali dan menyelidik tentang sejarah agung Negara Brunei Darussalam.
    Jelas Yang Berhormat, kajian-kajiannya boleh melahirkan satu kajian yang baru kerana sumber-sumber penulisan sejarah sudah semakin banyak dan mudah diperolehi, yang  telah dikumpul oleh PSB, Jabatan Muzium-Muzium Brunei (JMB) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan harga yang mahal.
    "Sumber-sumber ini tidak akan mendatangkan apa-apa jika ia tidak ditelaah dan ditulis sebagai satu kajian sejarah oleh sejarawan tempatan. Adalah lebih malang lagi sumber ini kemudiannya dimanfaatkan oleh penulis luar yang melihat sejarah negara kitani dengan kaca mata yang berbeza lantaran kurangnya pengalaman dan pemahaman tentang budaya masyarakat dalam Kesultanan Melayu Brunei. Saya merasakan adalah lebih tepat dan bermakna jika sejarah negara kita ditulis oleh anak-anak tempatan yang lebih tahu tentang budaya dan adat resam masyarakat Brunei," ujar Yang Berhormat lagi.
    Menurut Yang Berhormat, dalam masa yang sama ia dapat menangkis dan menghadapi tulisan-tulisan yang kelihatannya bertentang fakta dan tafsiran yang tidak selaras dan selari dengan nilai-nilai kebruneian.
    Yang Berhormat menambah, oleh itu tugas dan tanggungjawab untuk menyelidiki, menulis, menerokai dan menyebarkan pensejarahan Negara Brunei Darussalam khususnya dalam era globalisasi penuh dengan kecanggihan media baru belum lagi selesai dan ia akan berterusan dan menjadi cabaran kepada penyelidikan sejarah tempatan.
    Dalam kesempatan ini, Yang Berhormat turut menyeru peminat-peminat sejarah khususnya, pegawai-pegawai dan kakitangan PSB, JMB, pelajar-pelajar dan kaki tangan akademik di pusat-pusat pengajian tinggi supaya akan terus menjadi ahli PESEBAR dalam sama-sama menanai atau mendukung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tentang kepentingan sejarah sebagai ‘guru’ dan sumber ‘rujukan’ yang tidak pernah berbohong.
    - PELITA BRUNEI ONLINE.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan