Oleh
Syahmi Hassan
Gambar
Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Angkatan tentera laut Brunei
Darussalam dan Amerika Syarikat (AS), hari ini, telah memulakan Eksesais
Kerjasama Latihan dan Kesediaan Apungan (CARAT) yang kini memasuki tahun ke-22.
Majlis perasmian eksesais yang akan berlangsung sehingga 18
November ini telah diadakan di Dewan Nakhoda, Pusat Latihan Tentera Laut Diraja
Brunei (TLDB), Muara.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemerintah Angkatan
Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Brigedier Jeneral (U) Dato
Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat dan Komander Pasukan Petugas 73 (Task
Force 73) COMLOGWESPAC, Laksamana Muda Don Gabrielson serta Duta Besar AS ke
Negara Brunei Darussalam, Craig Allen.
Dalam ucapan alu-aluannya, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan
Haji Hamzah antara lain menyentuh mengenai peranan penting yang dimainkan oleh
CARAT dalam pembangunan keupayaan di rantau ini terutama melalui perkongsian
amalan terbaik.
Menurut beliau lagi, CARAT telah dapat meningkatkan keupayaan
antara operasi dan seterusnya menjalin hubungan rapat antara kedua-dua angkatan
tentera laut.
Kapten Erwin Lao ketika
memberikan beberapa penjelasan mengenai Kapal USNS Millinocket semasa lawatan
media sempena perasmian CARAT ke-22, kelmarin.
Dalam lima hari eksais itu,
latihan-latihan di laut dan darat akan dilaksanakan yang direka untuk
mengukuhkan kerjasama maritim dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua
tentera laut.
Laksamana Muda Don Gabrielson ketika ditemu bual Media Permata
telah menjelaskan eksesais-eksesais yang akan mereka laksanakan sepanjang acara
berkenaan.
Menurut beliau, beberapa kemahiran akan dilaksanakan termasuk
pergi ke laut bagi memastikan keselamatan laut Brunei yang boleh berguna bagi
tentera dan penerapan penguatkuasaan.
Sementara itu, terdahulu dalam ucapannya, Laksamana Muda Don
Gabrielson berkata, “Amerika Syarikat amat menghargai hubungan bersama Brunei,
menumpukan ke atas perkongsian pertahanan yang memantapkan lagi komitmen
bersama kepada keamanan dan keselamatan di rantau Indo-Asia-Pasifik.
“CARAT yang telah berlangsung selama 22 tahun telah mengukuhkan
hubungan kami dengan angkatan bersenjata Brunei, membangunkan persahabatan
tulen dan perkongsian kukuh berdasarkan kepentingan bersama,” tambahnya lagi.
CARAT merupakan latihan fleksibel dan boleh suai, yang mana
senarionya direka khusus dengan input daripada AS dan negara-negara rakan
kongsi bagi memenuhi keutamaan keselamatan maritim bersama, seperti menentang
lanun, menentang penyeludupan, operasi-operasi pemintasan maritim dan
keselamatan pelabuhan.
Siri latihan CARAT juga merupakan tempat bagi berkongsi
amalan-amalan terbaik terkini dalam mencari dan menyelamat, undang-undang
tentera dan perubatan, peperangan amfibia, operasi-operasi menyelam dan
penyelamatan, dan bantuan kemanusiaan/tindak balas bencana.
Timbalan Komodor Destroyer Squadron 7, Kapten Lex Walker, pula
menjelaskan bahawa latihan-latihan yang sangat pelbagai telah dirancang bagi
tahun ini, yang termasuk latihan dan operasi-operasi di pelbagai kawasan perang
tentera laut.
“Ini adalah tahun ke-22 tentera laut kita telah berlatih
bersama-sama dalam CARAT, dan setiap tahun kita telah meningkatkan kerumitan
dalam usaha untuk mengukuhkan ‘interoperability’ antara kedua-dua pasukan
tentera.”
Dalam fasa laut, kapal-kapal laut dari Brunei dan AS akan
menjalankan kelayakan pendaratan dek dan latihan pembentukan formasi kapal.
Kakitangan penyelam dan penyelamatan bergerak juga akan
beroperasi bersama-sama ketika menaiki kapal penyelamatan USNS Salvor (T-ARS 52).
Sementara itu, di darat, angkatan tentera laut AS dari Batalion
ke-3, Rejimen Marin ke-2 akan bekerjasama dengan angkatan Tentera Darat Diraja
Brunei (TDDB) semasa latihan peperangan hutan.
Pertukaran komuniti dan kemahiran simposium tambahan juga akan
diadakan sepanjang latihan bagi meningkatkan perkembangan profesional semua
angkatan tentera yang mengambil bahagian.
Angkatan tentera AS yang menyertai CARAT Brunei termasuk
kakitangan yang ditugaskan bagi USS McCampbell (DDG 85), USNS Millinocket
(T-EPF 3), USNS Salvor, sebuah pesawat peronda maritim P-8A Poseidon,
kakitangan dari Komander, Task Force (CTF) 73 dan Destroyer Squadron (DESRON)
7, Fleet Band ke-7 Amerika AS, Orient Express, dan angkatan tentera laut AS
dari Batalion ke-3, Rejimen Marin ke-2.
Kakitangan CTF 73 dan DESRON 7 mengendalikan perancangan lanjut,
menguruskan sumber-sumber dan secara langsung menyokong pelaksanaan latihan
maritim seperti siri CARAT dua hala, Naval Engagement Activity (NEA) dengan
Vietnam, dan Kerjasama dan Latihan pelbagai hala Asia Tenggara (SEACAT) dengan
Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.
Dalam tahun ke-22, CARAT merupakan satu siri latihan dua hala
antara Tentera Laut AS, Kor Marin AS dan angkatan tentera dari sembilan buah
negara rakan kongsi di Asia Selatan dan Asia Tenggara, termasuk Bangladesh,
Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan
Timor-Leste.
- Media Permata - Selasa, 15 November 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan