Selasa, 23 Januari 2018

PESEBAR akan lancarkan buku 'Kegemilangan Pemerintahan'

Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman


TUNGKU LINK, Selasa, 23 Januari. - Majlis Pelancaran Buku 'Kegemilangan Pemerintahan : Kumpulan Artikel sempena Jubli Emas Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (1967 - 2017) yang diterbitkan oleh Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) dengan kerjasama Yayasan Sultan Haji Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) akan diadakan pada Ahad, 28 Januari di Bangunan Pusat Sejarah Brunei (PSB), di ibu negara.

Pelancaran akan disempurnakan oleh tetamu kehormat, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Pensyarah Program Pengajian Sejarah dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD) juga Setiausaha Kehormat PESEBAR, Profesor Madya Dr. Haji Awang Asbol bin Haji Mail pada sidang media yang berlangsung di Akademi Pengajian Brunei, UBD.

Menurut beliau, tetamu kehormat juga akan merasmikan Mesyuarat Agung PESEBAR Kali Ketujuh dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang Peraduan Menulis Esei Sejarah.

Oleh itu, beliau menyeru Ahli-ahli PESEBAR dan peminat-peminat sejarah untuk menghadiri majlis itu dan sebolehnya menyertai persatuan berkenaan agar dapat sama-sama mengangkat martabat sejarah negara kita.

"PESEBAR sentiasa bekerjasama dengan PSB, Jabatan Muzium-Muzium dan Jabatan Adat Istiadat Negara bagi beganding bahu dalam mengungkayahkan kajian-kajian tentang sejarah negara kitani," ujar beliau.

Beliau berkata, sejarah adalah salah satu aspek penting kepada kita terutama generasi muda bagi menyuburkan rasa cinta pada negara, raja dan agama.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Penolong Setiausaha Kehormat PESEBAR, Dr. Muhammad Hadi bin Md. Melayong dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PESEBAR.

PESEBAR ditubuhkan pada tahun 1983 dan pada masa ini mempunyai seramai lebih kurang 270 ahli.

Antara matlamat utama pertubuhan bukan kerajaan ini adalah untuk menimbulkan minat lebih luas terhadap sejarah, budaya dan adat resam rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam juga negara-negara jiran.

Selain itu, ia juga ditubuhkan untuk menggalakkan pemeliharaan bahan-bahan atau artifak-artifak berkaitan dengan sejarah negara ini.

Menjangkau 35 tahun penubuhannya, PESEBAR mmbuat beberapa pencapaian temasuk penerbitan jurnal persatuan, penerbitan enam buah buku sejarah hasil kerjasama YSHHB; menganjurkan seminar serantau dan buat julung kalinya menganjurkan peraduan menulis esei sejarah, di mana pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak BND2,500.


- Pelita Brunei Online. 20 Januari 2018.

Kunjungan PESEBAR ke Banda Aceh

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 15 Januari. - Seramai 15 ahli dan para ibu dari Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) bertolak ke Banda Aceh yang terkenal dengan nama 'Serambi Mekah'. 

Lawatan selama lima hari bermula 16 hingga 20 Januari itu diketuai oleh Setiausaha Kehormat PESEBAR, Profesor Madya Dr. Haji Asbol bin Haji Mail. 

Rombongan akan menjadi tetamu kepada Ketua Balai Palestarian Nilai Budaya (BPNB), Aceh, yang mana akan membincangkan dan bertukartukar pendapat dalam bidang sejarah, budaya, bahasa, agama serta sistem kesultanan yang diamalkan kedua-dua negara. 

Menerusi lawatan tersebut akan dapat meningkatkan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam usaha untuk merapatkan lagi kerjasama dalam bidang akademik, ekonomi seperti pelancongan, selain meningkatkan keimanan dan ketakwaan melalui kunjungan ke tempat-tempat yang dilanda Tsunami pada bulan Disember 2004 yang lalu. 

Pada lawatan itu, para rombongan juga akan melawat ke tempat-tempat menarik, iaitu Pulau Sabang, Muzium Negara, Rumah Aceh, Makam Sultan Iskandar Muda, Taman Putro Phang / Gunongan, Masjid Raya Baiturrahman, PLTD Apung, Muzium Tsunami, Kapal Di Atas Bumbung Rumah, Syekh Kuala dan lain-lain.













SEBAHAGIAN daripada Ahli Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) yang menyertai rombongan muhibah ke Banda Aceh menadah tangan ketika doa dibacakan. Rombongan diketuai oleh Setiausaha Kehormat PESEBAR, Profesor Madya Dr. Haji Asbol bin Haji Mail (dua, kanan).

- Pelita Brunei Online. 17 Januari 2018.

PESEBAR bertolak ke Aceh

Oleh Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Seramai lebih kurang 15 orang ahli dari Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) telah bertolak ke Bandar Aceh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hari ini.
Rombongan diketuai oleh Setiausaha Kehormat PESEBAR, Profesor Madya Dr. Haji Asbol bin Haji Mail.
Lawatan tersebut, yang berlangsung selama lima hari bermula esok hingga 20 Januari 2018, akan menyaksikan ahli-ahli rombongan menjadi tetamu kepada Ketua Balai Palestarian Nilai Budaya (BPNB) Aceh dan Gabenor Aceh serta Ketua Persatuan Wanita Aceh (IKABOGA), Hajah Ismaniar.
Dalam pertemuan dengan BPNB Aceh, rombongan akan mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar pendapat dalam bidang sejarah, budaya, bahasa, agama serta sistem kesultanan yang diamalkan di kedua-dua buah negara.
Sebahagian ahli PESEBAR membaca doa sebelum berlepas ke Aceh kelmarin.
Matlamat utama kunjungan muhibah ini adalah untuk mengadakan kerjasama dalam bidang sejarah melalui muzakarah dan perbincangan di meja akademik, di samping membuat lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Bandar Aceh.
Di samping itu, lawatan ini juga dijangkakan akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang akademik dan ekonomi seperti pelancongan.
Rombongan PESEBAR juga dijangka membuat kunjungan ke tempat-tempat yang telah dilanda bencana tsunami pada bulan Disember 2004.
Sementara itu, rombongan juga akan dibawa melawat ke tempat-tempat menarik seperti Pulau Sabang, Muzium Negara, Rumah Aceh, Makam Sultan Iskandar Muda, Taman Putroe Phang, Masjid Raya Baiturrahman, PLTD Apung, Muzium Tsunami, Kapal Di Atas Bumbung Rumah, Syeikh Kuala dan lain-lain lagi.
- Media Permata Online. 16 Januari 2018.