Selasa, 23 Januari 2018

PESEBAR akan lancarkan buku 'Kegemilangan Pemerintahan'

Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman


TUNGKU LINK, Selasa, 23 Januari. - Majlis Pelancaran Buku 'Kegemilangan Pemerintahan : Kumpulan Artikel sempena Jubli Emas Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (1967 - 2017) yang diterbitkan oleh Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) dengan kerjasama Yayasan Sultan Haji Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) akan diadakan pada Ahad, 28 Januari di Bangunan Pusat Sejarah Brunei (PSB), di ibu negara.

Pelancaran akan disempurnakan oleh tetamu kehormat, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Pensyarah Program Pengajian Sejarah dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD) juga Setiausaha Kehormat PESEBAR, Profesor Madya Dr. Haji Awang Asbol bin Haji Mail pada sidang media yang berlangsung di Akademi Pengajian Brunei, UBD.

Menurut beliau, tetamu kehormat juga akan merasmikan Mesyuarat Agung PESEBAR Kali Ketujuh dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang Peraduan Menulis Esei Sejarah.

Oleh itu, beliau menyeru Ahli-ahli PESEBAR dan peminat-peminat sejarah untuk menghadiri majlis itu dan sebolehnya menyertai persatuan berkenaan agar dapat sama-sama mengangkat martabat sejarah negara kita.

"PESEBAR sentiasa bekerjasama dengan PSB, Jabatan Muzium-Muzium dan Jabatan Adat Istiadat Negara bagi beganding bahu dalam mengungkayahkan kajian-kajian tentang sejarah negara kitani," ujar beliau.

Beliau berkata, sejarah adalah salah satu aspek penting kepada kita terutama generasi muda bagi menyuburkan rasa cinta pada negara, raja dan agama.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Penolong Setiausaha Kehormat PESEBAR, Dr. Muhammad Hadi bin Md. Melayong dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PESEBAR.

PESEBAR ditubuhkan pada tahun 1983 dan pada masa ini mempunyai seramai lebih kurang 270 ahli.

Antara matlamat utama pertubuhan bukan kerajaan ini adalah untuk menimbulkan minat lebih luas terhadap sejarah, budaya dan adat resam rakyat serta penduduk Negara Brunei Darussalam juga negara-negara jiran.

Selain itu, ia juga ditubuhkan untuk menggalakkan pemeliharaan bahan-bahan atau artifak-artifak berkaitan dengan sejarah negara ini.

Menjangkau 35 tahun penubuhannya, PESEBAR mmbuat beberapa pencapaian temasuk penerbitan jurnal persatuan, penerbitan enam buah buku sejarah hasil kerjasama YSHHB; menganjurkan seminar serantau dan buat julung kalinya menganjurkan peraduan menulis esei sejarah, di mana pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak BND2,500.


- Pelita Brunei Online. 20 Januari 2018.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan