Selasa, 23 Januari 2018

PESEBAR bertolak ke Aceh

Oleh Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Seramai lebih kurang 15 orang ahli dari Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) telah bertolak ke Bandar Aceh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hari ini.
Rombongan diketuai oleh Setiausaha Kehormat PESEBAR, Profesor Madya Dr. Haji Asbol bin Haji Mail.
Lawatan tersebut, yang berlangsung selama lima hari bermula esok hingga 20 Januari 2018, akan menyaksikan ahli-ahli rombongan menjadi tetamu kepada Ketua Balai Palestarian Nilai Budaya (BPNB) Aceh dan Gabenor Aceh serta Ketua Persatuan Wanita Aceh (IKABOGA), Hajah Ismaniar.
Dalam pertemuan dengan BPNB Aceh, rombongan akan mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar pendapat dalam bidang sejarah, budaya, bahasa, agama serta sistem kesultanan yang diamalkan di kedua-dua buah negara.
Sebahagian ahli PESEBAR membaca doa sebelum berlepas ke Aceh kelmarin.
Matlamat utama kunjungan muhibah ini adalah untuk mengadakan kerjasama dalam bidang sejarah melalui muzakarah dan perbincangan di meja akademik, di samping membuat lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Bandar Aceh.
Di samping itu, lawatan ini juga dijangkakan akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang akademik dan ekonomi seperti pelancongan.
Rombongan PESEBAR juga dijangka membuat kunjungan ke tempat-tempat yang telah dilanda bencana tsunami pada bulan Disember 2004.
Sementara itu, rombongan juga akan dibawa melawat ke tempat-tempat menarik seperti Pulau Sabang, Muzium Negara, Rumah Aceh, Makam Sultan Iskandar Muda, Taman Putroe Phang, Masjid Raya Baiturrahman, PLTD Apung, Muzium Tsunami, Kapal Di Atas Bumbung Rumah, Syeikh Kuala dan lain-lain lagi.
- Media Permata Online. 16 Januari 2018.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan