Selasa, 12 November 2013

DPMM menerima Beret Merun, Sayap Penerjunan dan Sijil Kehormat 10 Briged Para

Oleh:  Samle Haji Jait dari Kuala Lumpur, Malaysia.

NEGERI MELAKA, MALAYSIA, Isnin, 11 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berkenan menerima Beret Merun, Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para serta Sijil 10 Briged Para di Kem Terendak, di sini.

Terdahulu, sebaik keberangkatan tiba di Balai Pengawal 8, Rejimen Renjer Diraja di Kem Terendak, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Panglima Tentera Darat, Yang Berbahagia Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor dan Panglima 10 Briged Para, Yang Berbahagia Brigedier Jeneral Jalaluddin bin Haji Md. Yusof dan dijunjung naik ke dais bagi menerima Hormat Panglima dan seterusnya memeriksa perbarisan ‘Quarter Guard’.


DYTM  semasa berkenan menerima Hormat Panglima dan seterusnya memeriksa perbarisan 'Quarter Guard'. (Foto : Masri Osman)

Duli Yang Teramat Mulia kemudian berangkat beredar ke Mes Pegawai yang mana DYTM telah dialu-alukan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli bin Mohd Zin dan seterusnya dijunjung ke Dataran Parawood bagi menyaksikan demonstrasi ‘PARA Dynamic’ yang mempamerkan pelbagai kemahiran tempur.

DYTM  semasa berkenan berangkat menyaksikan Demonstrasi 'PARA Dynamic'. (Foto : Masri Osman)

Persembahan lapan penerjun Payung Tempur, Tempur Tanpa Senjata, Kawad Tempur Platun dan Renang Tempur serta Demonstrasi Kepelbagaian Kemahiran Para telah dipersembahkan oleh gabungan seramai 100 orang pegawai dan 2,100 orang anggota tentera Para.

SEBAHAGIAN daripada aksi Demonstrasi 'PARA Dynamic'. (Foto : Masri Osman)


Selesai sahaja demonstrasi ‘PARA Dynamic’, DYTM berkenan menerima Beret Merun, Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para serta Sijil 10 Briged Para yang disembahkan oleh Panglima Tentera Darat, Yang Berbahagia Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) semasa berkenan menerima Penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (PARA) yang disembahkan oleh Panglima Tentera Darat, Yang Berbahagia Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor. (Foto: Masri Osman)

DYTM seterusnya berkenan menerima plak yang disembahkan oleh Panglima 10 Briged Para, Yang Berbahagia Brigedier Jeneral Jalaluddin bin Haji Md. Yusof.

Pada upacara tersebut, DYTM kemudiannya mengurniakan plak kepada Yang Berbahagia dan seterusnya berkenan menyaksikan Tarian Pahlawan Para (Para Warrior Dance) yang dipersembahkan oleh seramai 200 orang pegawai dan anggota tentera dan diakhiri dengan Jeritan Gempur Para.

Selepas itu, Doa Selamat dibacakan dan disusuli dengan DYTM berkenan menerima Hormat Panglima.
DYTM kemudiannya berkenan menandatangani Buku Lawatan dan sebelum berangkat meninggalkan Kem Terendak, Negeri Melaka, DYTM berkenan berangkat ke Mes Pegawai bagi Majlis Santap Tengah Hari.

Kem Terendak terletak di pesisiran Selat Melaka kira-kira 22.5 kilometer dari Ibu Negeri Melaka yang mana kem tersebut mengambil nama daripada bukit tertinggi iaitu Bukit Terendak dan menempatkan Divisen Ketiga ATM dan Briged Para Ke-10.

  DYTM  semasa berkenan menerima sembah taklimat mengenai 'Higher Defence Organisation". (Foto : Masri Osman)

Mengiringi keberangkatan DYTM ialah Menteri Pertahanan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, selaku Menteri Pengiring.

Juga mengiringi keberangkatan DYTM ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Kewangan II (Kedua) di JPM, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong; Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Awang Haji Ishaaq bin Haji Abdullah dan Timbalan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Mohd. Tawih bin Abdullah.

- Pelita Brunei Online - Selasa, 12 November 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan