Selasa, 12 November 2013

DYTM dianugerahkan Warga Kehormat Rejimen Pasukan Khas ABDB

Oleh:  Abu Bakar Haji Abdul Rahman, Aryentty Haji Ariffin

PENANJONG, Isnin, 4 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berkenan menganugerahkan Warga Kehormat Rejimen Pasukan Khas ABDB kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral ABDB berlangsung di Kompleks Padang Tembak Binturan, Penanjong Garison, di sini.

Terdahulu keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Upacara penganugerahan bermula dengan bacaan Surah Al Faatihah yang dipimpin oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB, Kapten Ariffin bin Amit dan diikuti dengan pembacaan warkah penganugerahan.

Kebawah DYMM kemudian menganugerahkan Warga Kehormat Rejimen Pasukan Khas ABDB kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berkenan menganugerahkan Lencana Rejimen Pasukan Khas ABDB kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. (Foto: Masri Osman)
 
Anugerah Warga Kehormat Rejimen Pasukan Khas ABDB yang diperkenankan ke atas Duli Yang Teramat Mulia merupakan penganugerahan di atas peranan, kepimpinan serta sumbangan DYTM kepada perkembangan ABDB semenjak DYTM dikurniakan pangkat Jeneral ABDB pada 25 Mac 2004 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan menganugerahkan Beret Marun kepada Duli Yang Teramat Mulia. (Foto : Masri Osman)  
Sebagai Jeneral ABDB, DYTM sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan hal-hal kebajikan anggota-anggota ABDB selain memainkan peranan penting dalam meningkatkan imej serta profil ABDB melalui keberangkatan DYTM ke institusi-institusi tentera dan pertahanan di luar negara dan juga menerima kunjungan hormat pegawai-pegawai kanan tentera serta pertahanan dari luar negara ke Negara Brunei Darussalam.

Peranan ini telah mendukung usaha-usaha Diplomasi Pertahanan di antara Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara sahabat dari seluruh dunia.

DYTM adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan komited dalam mendukung kepimpinan bijaksana lagi berdaulat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya dalam bidang pertahanan.

Lencana Rejimen Pasukan Khas melambangkan kedaulatan dan ketaatan unit khas ini kepada agama, raja, bangsa dan negara manakala ‘Tangkas Berani’ pula adalah sebagai moto yang ditanam dalam hati setiap anggota unit sebagai kata semangat dan pegangan individu.

Beret marun dikenali di seluruh dunia sebagai unit khas dan perbezaan ini menjadi satu lambang kebanggaan dan keberanian bagi ahli-ahli unit tersebut.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia  dan Duli Yang Teramat Mulia ketika berkenan bagi sesi bergambar ramai.  (Foto : Masri Osman)
Rejimen Pasukan Khas telah menerima penganugerahan beret marun pada 19 Ogos 2004 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sementara sejarah penggunaan 'Commando Dagger' bermula dari Perang Dunia Kedua dan ianya digunakan sebagai senjata tempur rapat yang mana Rejimen Pasukan Khas mengambil tradisi ini dan mengadaptasikan dagger sebagai sebahagian daripada seragam unit elit ABDB.

- Pelita Brunei Online - Selasa, 5 November 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan