BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada masa ini sedang melaksanakan latihan dua hala tahunan iaitu Eksesais Hornbill 25/2015 yang berlangsung selama tujuh hari bermula 13 hingga 20 November.
Perasmian latihan berkenaan telah diadakan pada 13 November lalu di Pusat Penyelarasan Berbilang Negara, Muara, dan disempurnakan oleh Pemerintah Tentera Laut Kawasan 2, Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar bin Yahya.
Turut hadir ialah Pemerintah Armada TLDB, Komander Pengiran Mohammad bin Pengiran Haji Damit dan para pegawai kanan dari TLDB dan TLDM.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, latihan dua hala siri ke-25 ini memfokuskan ke atas operasi-operasi perang dan halangan maritim di samping isu-isu keselamatan maritim yang berterusan serta evolusi-evolusi kepelautan.
Empat buah kapal laut terlibat dalam latihan berkenaan, dua dari TLDB iaitu KDB DARUTTAQWA dan KDB SYAFAAT serta dua dari TLDM, iaitu KD KELANTAN dan KD JERONG.
Pegawai-pegawai dari kedua-dua pasukan TLDB dan TLDM.
Antara kapal TLDM yang menyertai eksesais itu. (KD Kelantan 175 dan KD Jerong 3505)
Latihan ini merangkumi tiga fasa iaitu Fasa Pelabuhan yang berlangsung dari 13 hingga 16 November di Brunei, Fasa Laut pada 16 hingga 19 November di kawasan laluan air di antara Brunei dan Sabah, Malaysia, serta Fasa Pasca pada 19 dan 20 November yang akan diadakan di Pangkalan TLDM di Sepanggar Kota Kinabalu, Sabah. Kumpulan petugas bagi latihan tahun ini diketuai oleh Komander Nor Ariffin bin Haji Mohd Ali dari TLDB dan Komander Kamarulzaman bin Zainul Akhmar dari TLDM selaku timbalannya.
Delegasi TLDM yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah KD TUNKU ABDUL RAHMAN, Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar; Pegawai Pemerintah KD TUNKU ABDUL RAHMAN, Komander Kamarulzaman bin Zainul Akhmar; Pegawai Pemerintah KD Kelantan, CDR Jamallul Shafri bin Mohd Shukor; dan Pegawai Pemerintah KD JERONG, LT CDR Yusman bin Darmawan turut mengadakan kunjungan hormat kepada Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad di Ibu Pejabat TLDB sebaik ketibaan mereka di Brunei.
Bagi mengeratkan lagi persahabatan yang telah terjalin, peserta kedua-dua belah pihak juga berpeluang untuk berinteraksi secara tidak formal menerusi pelbagai acara sukan dan sosial.
Menurut kenyataan itu, latihan ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehan pertukaran maklumat di antara kedua-dua tentera laut serta memupuk hubungan kerjasama baik menerusi amalan prosedur-prosedur operasi standard bersama.
- Media Permata Online. 17 November 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan