Sabtu, 25 Jun 2016

TUDB lancar arca dan kapsul masa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) mengadakan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 dan Jubli Emas TUDB secara sederhana dengan melancarkan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50 dan Kapsul Masa yang baru yang diadakan di Pusat Gerakan Udara (AMC), TUDB, Rimba, hari ini.

Perasmian pelancaran arca disempurnakan oleh Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah. Ia turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan, pegawai dan jemputan TUDB lainnya.

Komander Skuadron Sekolah Latihan Penerbangan, No.7 Wing, Mejar (U) Pengiran Mohd Zulhusmi bin Pengiran Mohd Roslan dalam kata alu-aluannya menyatakan perasaan bangga dengan pencapaian pasukan berkenaan.

Katanya, pelancaran arca itu bukan sahaja menandakan Sambutan Ulang Tahun ke-50 yang bersejarah bagi TUDB tetapi ia juga menekankan hubungan erat setiap anggota organisasi TUDB iaitu di antara warga tentera dan warga awam.

Beliau berkata, idea bagi pembinaan arca ulang tahun itu dirancang pada awal 2016, bermatlamat untuk menjadi satu tanda kenangan bagi anggota lelaki dan wanita yang telah berkhidmat sepanjang sejarah penubuhan 50 tahun TUDB.

Ia juga sebagai satu komponen penting bagi Pangkalan Udara Rimba bagi tahun-tahun yang akan datang, ujar beliau.

Pembinaan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50, mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan dan dibina sepenuhnya oleh kakitangan Bahagian Kelengkapan Teknikal dan Pemeliharaan (TEMD) serta dibantu oleh pelajar-pelajar dari Universiti Teknologi Brunei yang membuat latihan penempatan kerja mereka di TUDB.

Pembinaan arca berkenaan adalah menggunakan bahan-bahan terpakai yang sedia ada.

 Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar memotong reben melancarkan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50.

Majlis hari ini turut menyaksikan penanaman empat biji kapsul masa baru yang akan dipelihara dan dibuka pada 25 tahun akan datang untuk generasi TUDB masa depan pada 24 Jun 2041.

Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar bergambar ramai dengan pegawai-pegawai kanan TUDB di hadapan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50.



Sementara itu, Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar dalam ucapan ringkasnya di majlis berkenaan menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menghasilkan arca dan menjayakan majlis sambutan ringkas yang penuh bermakna itu.

Beliau juga amat menghargai semua sumbangan dan usaha yang telah diberikan oleh semua pihak terutama dalam pembinaan Arca Ulang Tahun TUDB ke-50 dan komitmen mereka untuk menjayakan projek itu.

Pada majlis itu Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar turut menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan TEMD dan para pelajar dari Universiti Teknologi Brunei.


Brigedier Jeneral (U) Shahril Anwar menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan TEMD dan para pelajar dari Universiti Teknologi Brunei.

Arca sempena Ulang Tahun Ke-50 TUDB

Oleh:  Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman 
Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

RIMBA, Jumaat, Jun 24. - Sempena menyambut Hari Ulang Tahun Ke-50 dan Jubli Emasnya, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) mencatat satu lagi sejarah penting hari ini dengan pelancaran Arca Ulang Tahun TUDB Ke-50 dan kapsul masa baharu.

PEMERINTAH TUDB, Brigadier Jeneral (U) Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah  hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Arca Ulang Tahun TUDB Ke-50.

Dalam majlis sederhana yang telah berlangsung di Pusat Gerakan Udara (AMC) TUDB itu, pelancarannya telah disempurnakan oleh Pemerintah TUDB, Brigadier Jeneral (U) Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah.

Arca Ulang Tahun TUDB Ke-50 itu mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan dan dibina sepenuhnya oleh kakitangan Bahagian Kelengkapan Teknikal dan Pemeliharaan (TEMD) dan para pelajar Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan menggunakan bahan-bahan bekas yang sedia ada.

 PEMERINTAH TUDB, Brigadier Jeneral (U) Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Majlis juga menyaksikan penanaman empat biji kapsul masa baharu yang akan dipelihara dan dibuka pada 25 tahun akan datang untuk generasi TUDB masa depan pada 24 Jun 2041.

Pengerusi Majlis Komander Skuadron Sekolah Latihan Penerbangan, No. 7 Wing, Mejar (U) Pengiran Mohd. Zulhusmi bin Pengiran Md. Roslan menyatakan bahawa beliau amat berbangga dengan apa yang dicapai oleh pasukan itu kerana pelancaran arca itu bukan sahaja menandakan sambutan ulang tahun ke-50 yang bersejarah tetapi juga menekankan hubungan organisasi TUDB di antara warga tentera dan awam.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan penyampaian taklimat ringkas dan penyampaian sijil penghargaan kepada kakitangan TEMD dan para pelajar UTB. Acara diakhiri dengan sesi bergambar dan Doa Selamat.

PEMERINTAH TUDB, Brigadier Jeneral (U) Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada jurutera pembinaan arca berkenaan.

 
Majlis pelancaran turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan, pegawai dan tetamu jemputan TUDB.

 PEMERINTAH TUDB, Brigadier Jeneral (U) Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah semasa melancarkan Arca Ulang Tahun TUDB Ke-50.

 PEMERINTAH TUDB, Brigadier Jeneral (U) Shahril Anwar bin Haji Ma'awiah  bergambar ramai bersama pegawai-pegawai TUDB.

- Pelita Brunei Online. Sabtu, 25 Jun 2016.
 



Selamat Ulang Tahun Ke-50 TUDB



Daripada: Blogger Wizurai World Green Zone & Wizurai World

Sabtu, 18 Jun 2016

Doktor dari Malaysia hina Sultan Kita

Assalaamu'alaikum dan Salam Ramadhan Kareem.

Baru-baru ini ada seorang Dr yang menulis status di dalam facebooknya tentang Sultan kita yang berbaur penghinaan.


Sikap ini mengundang sikap kurang senang dari followers Malaysia sendiri dan sudah tentulah followers dari negara kita.






Terima kasih kepada Nance Fariz yang menegur Dr ini dengan baik namun jawapan dari Dr berkenaan seakan tidak dapat menerima teguran Nance Fariz menunjukkan kedangkalan pengetahuan Dr itu sendiri.


Dari mana ia mendapat fakta bahawa Brunei hanya mempunyai 2 buah universiti? Sekali lagi Dr ini mengatakan "Kalau 4000 student pun x leh bagi pendidikan percuma, baik pi mati." Untuk pengetahuan Dr berkenaan, Brunei mempunyai 4 buah universiti dan sebuah medical college: Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Syarif Ali (UniSSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah (ISK PAPHRSB). Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia memberikan biasiswa pendidikan kepada rakyat dan penduduk tetap negara ini yang hendak menyambung pengajian mereka di institusi-institusi berkenaan selagi mempunyai kelayakan memasukinya. Dan apakah maksud Dr itu, "baik pi mati."?

Pihak Kerajaan KDYMM bukan sahaja memberi pelbagai  manfaat terhadap rakyatnya bahkan juga kepada orang-orang luar yang bekerja secara kontrak dengan kerajaan baginda seperti Mesir, Sudan, Indonesia, Thailand dan juga MALAYSIA. Apakah itu juga menjadikan mereka (orang-orang luar tadi) itu tidak baik?

Berikut adalah ulasan dan kecaman dari followers Brunei (dan juga Indonesia):





Berikutan dengan balasan jawapan dari followersnya, maka beliaupun memperjelaskan status awal dengan status baru pula yang saya rasa beliau buat tanpa rasa sesal atau meminta maaf atas bahasa yang beliau gunakan.


Untuk pengetahuan Dr berkenaan, di sini biarlah saya perjelaskan sedikit tentang perkara "Satu2nya kerajaan dalam dunia yang bagi RM 1 billion duit raya untuk penjawat awamnya." Memang benar Sultan Brunei tidak pernah bagi RM 1 billion duit raya untuk penjawat awamnya SEBAB Brunei guna matawang sendiri dan matawang Singapura untuk urusan harian TAPI saban tahun baginda secara peribadi telah memberi: 

(a) Duit sedekah sebanyak BND 10 (bersamaan dengan RM 30.30 mengikut nilai pertukaran tertinggi semasa blogpost ini ditulis) setiap seorang yang datang bersolat tarawih dan witir serta bertadarus membaca al-Quran pada malam-malam Ramadhan di Istana Nurul Iman setiap tahun. Yang datang bukan 2-3 orang tapi ribuan orang. 

(b) Duit Kurnia sempena Hari Raya yang diberikan sebelum ketibaan Hari Raya. Seramai 8 ribu lebih yang menerima kurnia ini pada tahun lepas. Tentang berapa jumlah yang diterima, saya tidak dapat memastikan tetapi hasil temubual dari orang yang menerima, cukuplah saya katakan duit itu mereka gunakan bukan sahaja untuk persiapan  menyambut hari raya tetapi cukup untuk membeli binatang korban untuk Hari Raya Haji dan ada juga yang menyimpannya untuk membeli peralatan sekolah anak-anak mereka. Para penerimanya juga bukan sahaja orang-orang Islam. 

(c) Duit sedekah (Duit Raya) sebanyak BND 10 setiap seorang pengunjung (tanpa mengira siapa) yang datang ke Istana Nurul Iman bagi menjunjung ziarah (bersalam) dengan KDYMM serta kerabat diraja yang lain. Jumlah yang berkunjung pada tahun lepas sahaja mencecah dekat 40 ribu orang (39,943 orang).

Untuk Ramadhan dan Aidil Fitri sahaja, sumbangan peribadi Sultan sahaja dianggarkan tidak kurang dari BND 28 juta atau lebih kurang RM 86 juta. Ini sudah berlangsung selama bertahun-tahun bahkan puluhan tahun lagi semenjak zaman Al-Marhum Sultan Haji Omarali Saifuddien. Belum lagi dikira wang perbelanjaan bagi tujuan yang lain.  Sebagai contoh, penghantaran pesakit bagi mendapat rawatan di luar negara seperti ke Singapura. Tiket sudah dibayarkan, tempat tinggal disewa dengan bayaran puluhan ribu sebulan bagi sebuah unit, setiap kali pengambilan sampel darah pun mencecah BND 500. Belum lagi dikira kos perubatan yang lain. Ada lagi elaun mingguan berjumlah SGD 210 untuk seminggu. Pada satu masa, saya mengira terdapat 40 orang yang menerima bantuan ini. Bagi kakitangan kerajaan yang menerima rawatan perubatan ini, mereka masih menerima gaji seperti biasa. Bagi yang tidak bekerja lagi, ini merupakan suatu rahmat.

Itu belum lagi dikira elaun kurnia yang lain yang diberikan kepada kakitangan kerajaan di samping gaji seperti:
  1. Elaun Tambang setiap 4 tahun bukan sahaja untuk pemohon tetapi juga untuk pasangan dan anak-anak.
  2. Elaun Kurnia Tambang Haji. Satu pasangan suami isteri akan mendapat BND 10 ribu. Ditambah lagi BND 2 ribu  sebagai perbelanjaan.
  3. Elaun Pelajaran Anak. BND 120 setiap bulan bagi setiap anak.
  4. Elaun Sara Hidup. Sekurang-kurangnya BND 120.
  5. Elaun Kurnia Khas. Sekurang-kurangnya BND 120.
  6. Bonus Tahunan. Ini diberikan mengikut sukatan gaji masing-masing. Sebagai contoh: bagi yang mempunyai gaji di antara BND 750 ke BND 950 akan menerima bonus sebanyak 2 bulan gaji. Bagi yang macam saya, iaitu BND 1 050 hingga BND 2 165 akan menerima bonus 1 bulan setengah. Bagi sukatan gaji di antara BND 2 240 ke BND 7 ribu akan menerima bonus sebulan gaji.
Kami juga tidak dibebankan dengan cukai-cukai tertentu yang kurang menguntungkan kerajaan (tidak usah saya nyatakan apakah cukai-cukai tersebut). Terdapat juga rancangan perumahan negara bagi kakitangan kerajaan yang tidak mempunyai tanah. Maka nikmat Tuhan yang manakah lagi yang kamu dustakan?
 
Doktor ini juga memperlekeh penggunaan perkhidmatan carigali petroleum kepunyaan orang asing dan menyamakan tahap kemajuan Brunei macam Sabah dan Sarawak.
 
 
Untuk pengetahuan doktor berkenaan, Shell di Brunei dikenali sebagai Brunei Shell Petroleum (bukan British Shell Petroleum) adalah saham terbesarnya dipegang oleh Kerajaan KDYMM dan sebahagian saham lagi dipegang oleh Royal Dutch Shell. Dutch dengan British adalah bangsa berbeza walaupun rupa sama. Manakala majoriti tenaga penggeraknya adalah 92% anak tempatan. Dengan saham terbesar, pihak Kerajaan KDYMM telah memberikan subsidi minyak kepada rakyat baginda yang menyebabkan harga minyak jauh lebih murah dari negara lain. Maka nikmat Tuhan yang manakah lagi yang kamu dustakan?

Kemajuan pembangunan Brunei memang perlahan tetapi tetap berterusan membangun dengan pelbagai kemudahan dengan mengambil kira keperluan dan kebajikan rakyat dan pelancong. Ini adalah bagi mengelakkan supaya tidak berlakunya Projek Gajah Putih. Pembangunan ini tidak pernah terhenti. Kami rakyat Brunei tidak pernah menganggap negara kami dan jiran kami Sabah dan Sarawak mundur dari segi pembangunan dan kemajuan. Nampak sangat doktor ini tidak pernah mengunjungi 3 buah wilayah dari Pulau Borneo ini. Doktor ini bukan sahaja mengusik negara kerdil kami tapi turut mengejutkan 2 buah negeri bersaiz gergasi dalam Malaysia dari tidur. Gergasi yang sedang tidur jika diusik maka akan buruk akibatnya. Ingat tu.

Saya difahamkan bahawa setiap penjawat awam di Malaysia akan menerima RM 500 duit raya. Jadinya ada 2 juta penjawat awam di seluruh Malaysia yang akan menerima duit raya tersebut. RM 500 adalah di sekitar BND 165. Selaku jiran yang berugama Islam dan berbangsa Melayu, kami turut menumpang gembira dan bersyukur dengan pemberian duit raya tersebut kepada saudara-saudara kami di Malaysia. Ucapan syabas dan setinggi-tinggi tahniah juga kepada Kerajaan Malaysia pimpinan Dato' Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

"Maka nikmat Tuhan yang manakah lagi yang kamu dustakan?"
(Surah Al-Rahmaan : Ayat 13)
 
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku),maka pasti azab-Ku sangat berat.”
 (Surah Ibrahim: Ayat 7)
 

SEBAB TIDAK BERPUASA DAN ULASAN




PENGENALAN:
Sebetulnya sudah lama artikel ini ditulis tapi belum ada kesempatan untuk mengongsikannya dengan orang lain. Satu-satunya orang yang pernah baca ialah adik saya yang bungsu sebab dia menggunakan komputer yang sama. Seingat saya rencana ini ditulis pada bulan Ramadhan tahun 2000 (tahun hijrahnya tak ingat). Alhamdulillah, dengan adanya blog ini maka dapatlah ianya dikongsikan.

SEBAB-SEBAB TIDAK BERPUASA DAN ALASAN UNTUK MENYANGKALNYA

SEBAB 1: “SAYA TIDAK MENYAMBUT HARI RAYA TAHUN INI”
ULASAN: Hari Raya Aidil Fitri merupakan kurniaan Allah SWT ke atas hambaNya yang berjaya menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa jika hendak menyambut Aidil Fitri maka hendaklah berpuasa penuh di bulan tersebut. Aidil Fitri diraei sebab kejayaan melaksanakan ibadat puasa dan bukannya beranggapan bahawa untuk mendapatkan Aidil Fitri maka seseorang itu hendaklah berpuasa sehingga sebulan. Ertinya, puasa Ramadhan wajib dilaksanakan dan terpulang kepada kita sama ada hendak menyambut Aidil Fitri atau tidak.

SEBAB 2: “MASA MUDA UNTUK ENJOY, SUDAH TUA BARU BERIBADAT”
ULASAN: Alasan yang dicipta oleh golongan muda dan merupakan satu perjanjian mudah yang sebenarnya sukar dan payah apabila sudah berusia tua. Umat Islam ditegaskan supaya merebuti 5 perkara untuk berbuat kebajikan  sebelum datang 5 perkara lain yang akan menghalang keupayaan beribadat kita. Salah satunya ialah waktu muda sebelum datangnya waktu tua. Jika kita perhatikan, berapa ramai golongan muda yang beralasan seperti di atas yang sampai ke usia tua? Sesudah tua serta fizikal menjadi lemah maka mampukah ia menunaikan ibadat-ibadat tersebut? Bagaimana ibadat fardhu yang ditinggalkan semasa berusia muda? Sudahkah diganti (Qadha)? Pada ketika itu apabila ditanya kenapa tidak berpuasa maka jawabnya, “Aku tidak mampu kerana sudah tua.” Satu jawapan penuh penyesalan. Penyesalan yang tidak berguna di akhir hayat.

SEBAB 3: “SAYA LUPA BANGUN SAHUR”
ULASAN: Sahur merupakan perkara sunat yang dilakukan semasa berpuasa namun ianya bukanlah perkara rukun yang wajib dilakukan. Puasa tetap sah tanpa bersahur selagi kita sudah berniat puasa pada malam tersebut. Mungkin ada yang berkata, “Pengsan nanti kalau berpuasa tanpa bersahur.” Secara logiknya, ada golongan bukan Islam yang mampu berpuasa lebih dari 12 jam. Ada yang berpuasa 3 hari berterusan tanpa berbuka dan ada yang mampu mencapai 7 hari berterusan. Bukankah kita patut merasa malu kepada Allah kerana gagal menunaikan perintahNya untuk berpuasa selama lebih kurang 12 jam (bukan sehari atau berhari-hari)?


SEBAB 4: “SAYA ADA GASTRIK”
ULASAN: Golongan yang sengaja untuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Sebab? Jika mereka benar-benar ada penyakit ini maka mereka akan berusaha merawat penyakit ini supaya sembuh sebelum ketibaan bulan Ramadhan dan dapat menunaikan ibadat puasa di dalam bulan tersebut. Bukannya apabila telah masuk bulan Ramadhan barulah sibuk berubat dan mengemukakan alasan seperti di atas. Sebab itulah terdapat beberapa puasa sunat yang digalakkan untuk kita membuatnya sebelum ketibaan Ramadhan. Bukan sahaja untuk meraih pahala sunat tetapi juga untuk melihat tahap persediaan kita terutama dari aspek kesihatan bagi menghadapi Ramadhan.

SEBAB 5: “SAYA DATANG BULAN”
ULASAN: Alasan ini untuk golongan wanita sahaja. Apa yang mereka tahu ialah wanita yang kedatangan darah haid atau datang bulan adalah tidak wajib berpuasa. Maka mereka akan makan dan minum sebebasnya di siang hari bulan Ramadhan. Fahaman ini adalah salah. Sebenarnya walaupun mereka tidak wajib berpuasa, mereka tetap wajib menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa sama seperti orang-orang yang berpuasa lainnya. Bezanya, mereka tidak berniat untuk berpuasa. Sebab itu golongan ini juga diajak untuk berbuka bersama-sama semasa zaman Rasulullah yang dirujuk sebagai golongan yang tidak berpuasa tetapi diajak berbuka bersama-sama. Adakah mereka mendapat pahala? Mereka tidak beroleh pahala puasa sebab mereka tidak berpuasa tetapi mereka tetap beroleh pahala walaupun tidak sebanding pahala orang yang berpuasa kerana Allah SWT tidak akan mensia-siakan perbuatan orang yang melakukan kebajikan.

Mungkin ada jutaan sebab untuk orang Islam tidak berpuasa dan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui akan kebenarannya. Renungkanlah dan semoga ia mendatangkan keberkatan kepada kita semua. Selamat berpuasa & Salam Raamadhan Kareem.

Khamis, 9 Jun 2016

Tingkatkan kewaspadaan keselamatan sepanjang bulan Ramadan

Oleh:  Siaran Akhbar Pasukan Polis Diraja Brunei



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Jun. - Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) memaklumkan kepada orang ramai bersempena dengan Bulan Ramadan Tahun 2016 supaya berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian semasa bulan tersebut.

Menurut Siaran Akhbar PDB, semasa meninggalkan rumah untuk pergi bekerja hendaklah memastikan keadaan rumah selamat dari dimasuki penjenayah dengan memastikan pintu, tingkap dan pagar dikunci dan ditutup rapat.

Sementara itu, jangan meninggalkan sebarang harta benda yang boleh menyebabkan penjenayah tertarik untuk melakukan curi dan pastikan sebarang peralatan elektronik dan dapur gas di dalam keadaan yang selamat dari berlaku kebakaran.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk maklumkan kepada jiran terdekat jika meninggalkan rumah dalam jangka masa yang lama.

Siaran Akhbar berkenaan juga mengingatkan semasa berkunjung ke gerai-gerai ramadan dengan memastikan kereta diletakkan dengan teratur dan mempunyai sifat bertolak ansur bagi mengelakkan dari sebarang kesesakan lalu lintas.

Orang ramai disarankan supaya jangan meninggalkan sebarang harta benda yang berharga di dalam kereta yang boleh dilihat oleh penjenayah dan menyebabkan kereta dipecah dan terjadi kecurian, di samping memastikan sebelum memandu kereta hendaklah kereta tersebut di dalam keadaan selamat.

Jangan memandu dengan laju dan mementingkan diri sendiri hingga menyebabkan kecederaan kepada diri sendiri, orang lain dan harta benda jika ke satu-satu destinasi sementara sentiasa memandu dengan menggunakan tali pinggang keselamatan dan mengingatkan penumpang dan menggunakan kerusi yang dikhaskan bagi anak-anak damit.

Bagi penunggang-penunggang motosikal, mereka diingatkan untuk memakai topi keledar yang selamat dan diluluskan.

Bagi mereka menunaikan Sembahyang Fardu dan Sembahyang Sunat Tarawih di masjid, mereka disaran agar meletakkan di tempat yang dikhaskan dan tidak menghalang jalan dan jangan meninggalkan barang berharga dan jangan meletakkan kereta di tempat yang gelap yang boleh menyebabkan kereta dipecah dan harta benda dicuri.

PDB juga mengingatkan pada ibu bapa agar memantau anak-anak mereka supaya jangan terlibat dengan sebarang aktiviti yang tidak sihat semasa di bulan Ramadan seperti sebarang aktiviti jenayah dan kesalahan lalu lintas.

Semasa menghadapi masa bersahur sila pastikan keadaan luar rumah selamat dan pintu serta tingkap rumah ditutup dan dikunci rapat bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

PDB menggesa kepada orang ramai supaya akan melaporkan dengan segera kepada talian kecemasan 993 atau menghubungi Balai-balai Polis yang berdekatan jika ternampak sebarang pergerakan yang mencurigakan.


 Maklumat yang diberikan akan membantu pihak Polis dalam menyekat jenayah yang boleh berlaku kepada mereka.

- Pelita Brunei Online. Selasa, 7 Jun 2016.

12 das tembakan meriam tanda bermula puasa Ramadan

Oleh:  Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Jun. - Sebanyak 12 das tembakan meriam dilepaskan bagi menandakan bermulanya umat Islam menunaikan ibadah puasa yang jatuh pada hari Selasa, 1 Ramadan 1437 Hijrah bersamaan 7 Jun 2016 Masihi.

Pelepasan tembakan meriam di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara itu melibatkan 30 anggota polis tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan diketuai oleh Pegawai Memerintah Cawangan Pengawal, Polis Tentera, ABDB, Mejar Mohd. Edham bin Harlip.

Pengumuman mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadan telah disiarkan ke seluruh negara melalui Radio dan Televisyen Brunei semalam yang mana hasil daripada merukyah anak bulan yang dilakukan di beberapa lokasi yang telah ditetapkan di negara ini pada lewat petang kelmarin adalah tidak sabit kelihatan.

SEBAHAGIAN anggota polis tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) melepaskan tembakan meriam.




- Pelita Brunei Online. Selasa, 7 Jun 2016M. 

Jumaat, 3 Jun 2016

Persembahan Arena meriahkan Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-55

Oleh Syahmi Hassan
Gambar Oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-55 Tahun di Padang Kawad, Akademi Pertahanan ABDB, Kampung Tanah Jambu, hari ini, telah dimeriahkan dengan Persembahan Arena yang memukau penonton dengan pelbagai persembahan dan aksi lasak.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi ABDB, berkenan berangkat menyaksikan persembahan tersebut.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral ABDB, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi ABDB berserta kerabat diraja yang lain.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi ABDB berserta kerabat diraja yang lain.

Sebagai pembuka tirai, Rejimen Pasukan Khas dengan dibantu Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Pasukan Gurkha dan Platun Gerak Khas telah mempersembahkan operasi menyelamat tawanan.

Dalam persembahan tersebut, Rejiman Pasukan Khas memasuki kawasan operasi melalui udara dengan menggunakan helikopter jenis Blackhawk S70i daripada No 1 Skuadron TUDB.

Persembahan Rejimen Pasukan Khas dengan dibantu Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Pasukan Gurkha dan Platun Gerak Khas dalam operasi menyelamat tawanan.
Persembahan Rejimen Pasukan Khas dengan dibantu Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Pasukan Gurkha dan Platun Gerak Khas dalam operasi menyelamat tawanan.

pg12_160601_o

Kemudian, Kompeni D Batalion Pertama dan Anggota Lanjutan Infantri Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) mempersembahkan pertunjukan seni mempertahankan diri yang bertujuan untuk memperlengkapkan dan mempersiapkan anggota-anggota tentera dalam operasi dan rutin kecergasan harian angkatan tentera.

pg12_160601_l

Kompeni D Batalion Pertama dan Anggota Lanjutan Infantri Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) mempersembahkan pertunjukan seni mempertahankan diri.

 Kompeni D Batalion Pertama dan Anggota Lanjutan Infantri Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) mempersembahkan pertunjukan seni mempertahankan diri.

Acara diteruskan lagi dengan persembahan pasukan Kawad Senyap dan Tepat, melibatkan 55 orang anggota yang membuat pergerakan pembentukan Kawad Senyap dan Tepat yang melambangkan arah hala tentera sentiasa mara ke hadapan sesuai dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Generasi ABDB Berwawasan’.

Persembahan pasukan Kawad Senyap dan Tepat.
pg12_160601_i

pg12_160601_j
Persembahan pasukan Kawad Senyap dan Tepat.

Dalam persembahan tersebut telah menunjukkan pengendalian senjata dengan putaran dan lambungan serta mempamerkan disiplin individu tentera sebagai satu pasukan.

Kemudian, ianya diteruskan dengan Persembahan Mini Tatu oleh gabungan pancaragam-pancaragam ABDB, dan persembahan oleh ahli-ahli Kelab Menunggang Kuda dari ABDB serta Unit K9 Pasukan Simpanan Gurkha.

Persembahan Mini Tatu.
pg12_160601_f 
pg12_160601_g 
Persembahan Mini Tatu

pg12_160601_e 
Persembahan Kelab Menunggang Kuda ABDB

pg12_160601_m 
pg12_160601_n 
Persembahan Unit K9, Pasukan Simpanan Gurkha
 

Acara kemuncak bagi persembahan acara arena menyaksikan seluruh anggota yang terlibat, dengan diiringi oleh gabungan pancaragam-pancaragam ABDB, membawakan lagu ‘Pahlawan Bangsaku’.

Sambil itu, anggota yang terlibat juga telah membuat pergerakan pembentukan logo-logo ABDB, terdiri dari anggota TDDB, TUDB dan juga TLDB, diteruskan dengan pembentukan angka 55 sebagai tanda genap 55 tahun penubuhan ABDB.

Logo berkenaan juga menjelaskan bahawa ABDB menaruh harapan kepada pemimpin-pemimpin serta generasi pada masa ini untuk menjadi tulang belakang institusi pertahanan demi mendukung aspirasi Negara Brunei Darussalam.

pg12_160601_b

- Media Permata Online. 1 Jun 2016M.