Sabtu, 18 Jun 2016

Doktor dari Malaysia hina Sultan Kita

Assalaamu'alaikum dan Salam Ramadhan Kareem.

Baru-baru ini ada seorang Dr yang menulis status di dalam facebooknya tentang Sultan kita yang berbaur penghinaan.


Sikap ini mengundang sikap kurang senang dari followers Malaysia sendiri dan sudah tentulah followers dari negara kita.






Terima kasih kepada Nance Fariz yang menegur Dr ini dengan baik namun jawapan dari Dr berkenaan seakan tidak dapat menerima teguran Nance Fariz menunjukkan kedangkalan pengetahuan Dr itu sendiri.


Dari mana ia mendapat fakta bahawa Brunei hanya mempunyai 2 buah universiti? Sekali lagi Dr ini mengatakan "Kalau 4000 student pun x leh bagi pendidikan percuma, baik pi mati." Untuk pengetahuan Dr berkenaan, Brunei mempunyai 4 buah universiti dan sebuah medical college: Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Syarif Ali (UniSSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah (ISK PAPHRSB). Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia memberikan biasiswa pendidikan kepada rakyat dan penduduk tetap negara ini yang hendak menyambung pengajian mereka di institusi-institusi berkenaan selagi mempunyai kelayakan memasukinya. Dan apakah maksud Dr itu, "baik pi mati."?

Pihak Kerajaan KDYMM bukan sahaja memberi pelbagai  manfaat terhadap rakyatnya bahkan juga kepada orang-orang luar yang bekerja secara kontrak dengan kerajaan baginda seperti Mesir, Sudan, Indonesia, Thailand dan juga MALAYSIA. Apakah itu juga menjadikan mereka (orang-orang luar tadi) itu tidak baik?

Berikut adalah ulasan dan kecaman dari followers Brunei (dan juga Indonesia):





Berikutan dengan balasan jawapan dari followersnya, maka beliaupun memperjelaskan status awal dengan status baru pula yang saya rasa beliau buat tanpa rasa sesal atau meminta maaf atas bahasa yang beliau gunakan.


Untuk pengetahuan Dr berkenaan, di sini biarlah saya perjelaskan sedikit tentang perkara "Satu2nya kerajaan dalam dunia yang bagi RM 1 billion duit raya untuk penjawat awamnya." Memang benar Sultan Brunei tidak pernah bagi RM 1 billion duit raya untuk penjawat awamnya SEBAB Brunei guna matawang sendiri dan matawang Singapura untuk urusan harian TAPI saban tahun baginda secara peribadi telah memberi: 

(a) Duit sedekah sebanyak BND 10 (bersamaan dengan RM 30.30 mengikut nilai pertukaran tertinggi semasa blogpost ini ditulis) setiap seorang yang datang bersolat tarawih dan witir serta bertadarus membaca al-Quran pada malam-malam Ramadhan di Istana Nurul Iman setiap tahun. Yang datang bukan 2-3 orang tapi ribuan orang. 

(b) Duit Kurnia sempena Hari Raya yang diberikan sebelum ketibaan Hari Raya. Seramai 8 ribu lebih yang menerima kurnia ini pada tahun lepas. Tentang berapa jumlah yang diterima, saya tidak dapat memastikan tetapi hasil temubual dari orang yang menerima, cukuplah saya katakan duit itu mereka gunakan bukan sahaja untuk persiapan  menyambut hari raya tetapi cukup untuk membeli binatang korban untuk Hari Raya Haji dan ada juga yang menyimpannya untuk membeli peralatan sekolah anak-anak mereka. Para penerimanya juga bukan sahaja orang-orang Islam. 

(c) Duit sedekah (Duit Raya) sebanyak BND 10 setiap seorang pengunjung (tanpa mengira siapa) yang datang ke Istana Nurul Iman bagi menjunjung ziarah (bersalam) dengan KDYMM serta kerabat diraja yang lain. Jumlah yang berkunjung pada tahun lepas sahaja mencecah dekat 40 ribu orang (39,943 orang).

Untuk Ramadhan dan Aidil Fitri sahaja, sumbangan peribadi Sultan sahaja dianggarkan tidak kurang dari BND 28 juta atau lebih kurang RM 86 juta. Ini sudah berlangsung selama bertahun-tahun bahkan puluhan tahun lagi semenjak zaman Al-Marhum Sultan Haji Omarali Saifuddien. Belum lagi dikira wang perbelanjaan bagi tujuan yang lain.  Sebagai contoh, penghantaran pesakit bagi mendapat rawatan di luar negara seperti ke Singapura. Tiket sudah dibayarkan, tempat tinggal disewa dengan bayaran puluhan ribu sebulan bagi sebuah unit, setiap kali pengambilan sampel darah pun mencecah BND 500. Belum lagi dikira kos perubatan yang lain. Ada lagi elaun mingguan berjumlah SGD 210 untuk seminggu. Pada satu masa, saya mengira terdapat 40 orang yang menerima bantuan ini. Bagi kakitangan kerajaan yang menerima rawatan perubatan ini, mereka masih menerima gaji seperti biasa. Bagi yang tidak bekerja lagi, ini merupakan suatu rahmat.

Itu belum lagi dikira elaun kurnia yang lain yang diberikan kepada kakitangan kerajaan di samping gaji seperti:
  1. Elaun Tambang setiap 4 tahun bukan sahaja untuk pemohon tetapi juga untuk pasangan dan anak-anak.
  2. Elaun Kurnia Tambang Haji. Satu pasangan suami isteri akan mendapat BND 10 ribu. Ditambah lagi BND 2 ribu  sebagai perbelanjaan.
  3. Elaun Pelajaran Anak. BND 120 setiap bulan bagi setiap anak.
  4. Elaun Sara Hidup. Sekurang-kurangnya BND 120.
  5. Elaun Kurnia Khas. Sekurang-kurangnya BND 120.
  6. Bonus Tahunan. Ini diberikan mengikut sukatan gaji masing-masing. Sebagai contoh: bagi yang mempunyai gaji di antara BND 750 ke BND 950 akan menerima bonus sebanyak 2 bulan gaji. Bagi yang macam saya, iaitu BND 1 050 hingga BND 2 165 akan menerima bonus 1 bulan setengah. Bagi sukatan gaji di antara BND 2 240 ke BND 7 ribu akan menerima bonus sebulan gaji.
Kami juga tidak dibebankan dengan cukai-cukai tertentu yang kurang menguntungkan kerajaan (tidak usah saya nyatakan apakah cukai-cukai tersebut). Terdapat juga rancangan perumahan negara bagi kakitangan kerajaan yang tidak mempunyai tanah. Maka nikmat Tuhan yang manakah lagi yang kamu dustakan?
 
Doktor ini juga memperlekeh penggunaan perkhidmatan carigali petroleum kepunyaan orang asing dan menyamakan tahap kemajuan Brunei macam Sabah dan Sarawak.
 
 
Untuk pengetahuan doktor berkenaan, Shell di Brunei dikenali sebagai Brunei Shell Petroleum (bukan British Shell Petroleum) adalah saham terbesarnya dipegang oleh Kerajaan KDYMM dan sebahagian saham lagi dipegang oleh Royal Dutch Shell. Dutch dengan British adalah bangsa berbeza walaupun rupa sama. Manakala majoriti tenaga penggeraknya adalah 92% anak tempatan. Dengan saham terbesar, pihak Kerajaan KDYMM telah memberikan subsidi minyak kepada rakyat baginda yang menyebabkan harga minyak jauh lebih murah dari negara lain. Maka nikmat Tuhan yang manakah lagi yang kamu dustakan?

Kemajuan pembangunan Brunei memang perlahan tetapi tetap berterusan membangun dengan pelbagai kemudahan dengan mengambil kira keperluan dan kebajikan rakyat dan pelancong. Ini adalah bagi mengelakkan supaya tidak berlakunya Projek Gajah Putih. Pembangunan ini tidak pernah terhenti. Kami rakyat Brunei tidak pernah menganggap negara kami dan jiran kami Sabah dan Sarawak mundur dari segi pembangunan dan kemajuan. Nampak sangat doktor ini tidak pernah mengunjungi 3 buah wilayah dari Pulau Borneo ini. Doktor ini bukan sahaja mengusik negara kerdil kami tapi turut mengejutkan 2 buah negeri bersaiz gergasi dalam Malaysia dari tidur. Gergasi yang sedang tidur jika diusik maka akan buruk akibatnya. Ingat tu.

Saya difahamkan bahawa setiap penjawat awam di Malaysia akan menerima RM 500 duit raya. Jadinya ada 2 juta penjawat awam di seluruh Malaysia yang akan menerima duit raya tersebut. RM 500 adalah di sekitar BND 165. Selaku jiran yang berugama Islam dan berbangsa Melayu, kami turut menumpang gembira dan bersyukur dengan pemberian duit raya tersebut kepada saudara-saudara kami di Malaysia. Ucapan syabas dan setinggi-tinggi tahniah juga kepada Kerajaan Malaysia pimpinan Dato' Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

"Maka nikmat Tuhan yang manakah lagi yang kamu dustakan?"
(Surah Al-Rahmaan : Ayat 13)
 
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku),maka pasti azab-Ku sangat berat.”
 (Surah Ibrahim: Ayat 7)
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan