PENGENALAN:
Sebetulnya sudah lama artikel ini
ditulis tapi belum ada kesempatan untuk mengongsikannya dengan orang lain.
Satu-satunya orang yang pernah baca ialah adik saya yang bungsu sebab dia
menggunakan komputer yang sama. Seingat saya rencana ini ditulis pada bulan
Ramadhan tahun 2000 (tahun hijrahnya tak ingat). Alhamdulillah, dengan adanya
blog ini maka dapatlah ianya dikongsikan.
SEBAB-SEBAB TIDAK BERPUASA DAN
ALASAN UNTUK MENYANGKALNYA
SEBAB 1: “SAYA TIDAK MENYAMBUT
HARI RAYA TAHUN INI”
ULASAN: Hari Raya Aidil Fitri
merupakan kurniaan Allah SWT ke atas hambaNya yang berjaya menyempurnakan ibadah
puasa di bulan Ramadhan. Tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa jika hendak
menyambut Aidil Fitri maka hendaklah berpuasa penuh di bulan tersebut. Aidil
Fitri diraei sebab kejayaan melaksanakan ibadat puasa dan bukannya beranggapan
bahawa untuk mendapatkan Aidil Fitri maka seseorang itu hendaklah berpuasa
sehingga sebulan. Ertinya, puasa Ramadhan wajib dilaksanakan dan terpulang
kepada kita sama ada hendak menyambut Aidil Fitri atau tidak.
SEBAB 2: “MASA MUDA UNTUK ENJOY,
SUDAH TUA BARU BERIBADAT”
ULASAN: Alasan yang dicipta oleh
golongan muda dan merupakan satu perjanjian mudah yang sebenarnya sukar dan
payah apabila sudah berusia tua. Umat Islam ditegaskan supaya merebuti 5
perkara untuk berbuat kebajikan sebelum
datang 5 perkara lain yang akan menghalang keupayaan beribadat kita. Salah
satunya ialah waktu muda sebelum datangnya waktu tua. Jika kita perhatikan,
berapa ramai golongan muda yang beralasan seperti di atas yang sampai ke usia
tua? Sesudah tua serta fizikal menjadi lemah maka mampukah ia menunaikan
ibadat-ibadat tersebut? Bagaimana ibadat fardhu yang ditinggalkan semasa
berusia muda? Sudahkah diganti (Qadha)? Pada ketika itu apabila ditanya kenapa
tidak berpuasa maka jawabnya, “Aku tidak mampu kerana sudah tua.” Satu jawapan
penuh penyesalan. Penyesalan yang tidak berguna di akhir hayat.
SEBAB 3: “SAYA LUPA BANGUN SAHUR”
ULASAN: Sahur merupakan perkara
sunat yang dilakukan semasa berpuasa namun ianya bukanlah perkara rukun yang
wajib dilakukan. Puasa tetap sah tanpa bersahur selagi kita sudah berniat puasa
pada malam tersebut. Mungkin ada yang berkata, “Pengsan nanti kalau berpuasa
tanpa bersahur.” Secara logiknya, ada golongan bukan Islam yang mampu berpuasa
lebih dari 12 jam. Ada yang berpuasa 3 hari berterusan tanpa berbuka dan ada
yang mampu mencapai 7 hari berterusan. Bukankah kita patut merasa malu kepada
Allah kerana gagal menunaikan perintahNya untuk berpuasa selama lebih kurang 12
jam (bukan sehari atau berhari-hari)?
SEBAB 4: “SAYA ADA GASTRIK”
ULASAN: Golongan yang sengaja
untuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Sebab? Jika mereka benar-benar ada
penyakit ini maka mereka akan berusaha merawat penyakit ini supaya sembuh
sebelum ketibaan bulan Ramadhan dan dapat menunaikan ibadat puasa di dalam
bulan tersebut. Bukannya apabila telah masuk bulan Ramadhan barulah sibuk
berubat dan mengemukakan alasan seperti di atas. Sebab itulah terdapat beberapa
puasa sunat yang digalakkan untuk kita membuatnya sebelum ketibaan Ramadhan.
Bukan sahaja untuk meraih pahala sunat tetapi juga untuk melihat tahap
persediaan kita terutama dari aspek kesihatan bagi menghadapi Ramadhan.
SEBAB 5: “SAYA DATANG BULAN”
ULASAN: Alasan ini untuk golongan
wanita sahaja. Apa yang mereka tahu ialah wanita yang kedatangan darah haid
atau datang bulan adalah tidak wajib berpuasa. Maka mereka akan makan dan minum
sebebasnya di siang hari bulan Ramadhan. Fahaman ini adalah salah. Sebenarnya
walaupun mereka tidak wajib berpuasa, mereka tetap wajib menahan diri dari
melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa sama seperti orang-orang yang
berpuasa lainnya. Bezanya, mereka tidak berniat untuk berpuasa. Sebab itu
golongan ini juga diajak untuk berbuka bersama-sama semasa zaman Rasulullah
yang dirujuk sebagai golongan yang tidak berpuasa tetapi diajak berbuka
bersama-sama. Adakah mereka mendapat pahala? Mereka tidak beroleh pahala puasa
sebab mereka tidak berpuasa tetapi mereka tetap beroleh pahala walaupun tidak
sebanding pahala orang yang berpuasa kerana Allah SWT tidak akan mensia-siakan
perbuatan orang yang melakukan kebajikan.
Mungkin ada jutaan sebab untuk
orang Islam tidak berpuasa dan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui akan
kebenarannya. Renungkanlah dan semoga ia mendatangkan keberkatan kepada kita
semua. Selamat berpuasa & Salam Raamadhan Kareem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan