BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Jun. -
Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) memaklumkan kepada orang ramai
bersempena dengan Bulan Ramadan Tahun 2016 supaya berwaspada dan
mengambil langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian semasa bulan
tersebut.
Menurut Siaran Akhbar PDB, semasa
meninggalkan rumah untuk pergi bekerja hendaklah memastikan keadaan
rumah selamat dari dimasuki penjenayah dengan memastikan pintu, tingkap
dan pagar dikunci dan ditutup rapat.
Sementara itu, jangan meninggalkan
sebarang harta benda yang boleh menyebabkan penjenayah tertarik untuk
melakukan curi dan pastikan sebarang peralatan elektronik dan dapur gas
di dalam keadaan yang selamat dari berlaku kebakaran.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk maklumkan kepada jiran terdekat jika meninggalkan rumah dalam jangka masa yang lama.
Siaran Akhbar berkenaan juga
mengingatkan semasa berkunjung ke gerai-gerai ramadan dengan memastikan
kereta diletakkan dengan teratur dan mempunyai sifat bertolak ansur bagi
mengelakkan dari sebarang kesesakan lalu lintas.
Orang ramai disarankan supaya jangan
meninggalkan sebarang harta benda yang berharga di dalam kereta yang
boleh dilihat oleh penjenayah dan menyebabkan kereta dipecah dan terjadi
kecurian, di samping memastikan sebelum memandu kereta hendaklah kereta
tersebut di dalam keadaan selamat.
Jangan memandu dengan laju dan
mementingkan diri sendiri hingga menyebabkan kecederaan kepada diri
sendiri, orang lain dan harta benda jika ke satu-satu destinasi
sementara sentiasa memandu dengan menggunakan tali pinggang keselamatan
dan mengingatkan penumpang dan menggunakan kerusi yang dikhaskan bagi
anak-anak damit.
Bagi penunggang-penunggang motosikal, mereka diingatkan untuk memakai topi keledar yang selamat dan diluluskan.
Bagi mereka menunaikan Sembahyang Fardu
dan Sembahyang Sunat Tarawih di masjid, mereka disaran agar meletakkan
di tempat yang dikhaskan dan tidak menghalang jalan dan jangan
meninggalkan barang berharga dan jangan meletakkan kereta di tempat yang
gelap yang boleh menyebabkan kereta dipecah dan harta benda dicuri.
PDB juga mengingatkan pada ibu bapa agar
memantau anak-anak mereka supaya jangan terlibat dengan sebarang
aktiviti yang tidak sihat semasa di bulan Ramadan seperti sebarang
aktiviti jenayah dan kesalahan lalu lintas.
Semasa menghadapi masa bersahur sila
pastikan keadaan luar rumah selamat dan pintu serta tingkap rumah
ditutup dan dikunci rapat bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak
diingini berlaku.
PDB menggesa kepada orang ramai supaya
akan melaporkan dengan segera kepada talian kecemasan 993 atau
menghubungi Balai-balai Polis yang berdekatan jika ternampak sebarang
pergerakan yang mencurigakan.
Maklumat yang diberikan akan membantu pihak Polis dalam menyekat jenayah yang boleh berlaku kepada mereka.
- Pelita Brunei Online. Selasa, 7 Jun 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan