Selasa, 23 April 2019

Rejimen Pasukan Khas ABDB tampil juara


JORDAN, 21 April – Pasukan 1 dari Rejimen Pasukan Khas (RPK) yang mewakili Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Negara Brunei Darussalam semalam muncul juara keseluruhan dalam perlawanan 11th Annual Warrior Competition (AWC) 2019 yang dikendalikan oleh King Abdullah II Special Operation Training Center (KASOTC) di Amman, Jordan.
Manakala Pasukan RPK 2 telah berjaya meraih tempat ketiga dalam perlawanan tersebut. Dua orang pegawai dan 12 anggota tentera RPK mewakili unit elit RPK, ABDB dalam perlawanan tersebut.
AWC merupakan pertandingan tahunan yang dikendalikan oleh Angkatan Bersenjata Jordan yang mana telah menyatukan pasukan-pasukan khas elit, unit angkatan tentera dan unit penguatkuasaan undang-undang dari seluruh dunia. Pertandingan ini secara khususnya adalah bagi menghadapi apa jua bentuk cabaran, ke arah meningkatkan dan mempertajamkan kemampuan di kalangan pasukan yang bersaing.
Ia menonjolkan kemahiran individu serta kemampuan mereka untuk bekerjasama secara berpasukan dalam merancang dan melaksanakan tugas yang paling sukar, realistik dan mencabar serta berasaskan senario yang akan dihadapi oleh unit-unit yang terlibat. Pertandingan ini juga merupakan landasan bagi semua pasukan untuk bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan tentang taktik terkini. Ia juga dihasratkan untuk memupuk semangat kerjasama antarabangsa, di samping itu bagi mengekalkan hubungan persaudaraan serta meningkatkan kefahaman dalam bidang operasi khas dan menentang pengganasan.
Pertandingan tahun ini telah dijalankan selama lima hari merangkumi lapan acara persaingan yang menguji tahap kemahiran menembak, keupayaan fizikal dan ketahanan dalam situasi yang sebenar. AWC 2019 telah disertai oleh sejumlah 37 pasukan dari 24 buah negara, kemuncak pertandingan adalah pada acara King’s Challenge di mana hanya 15 pasukan teratas sahaja yang berkelayakan dan dibenarkan menyertainya.
Keputusan akhir pertandingan telah diumumkan di dalam upacara penutup perlawanan semalam di mana Pasukan RPK 1 telah menjadi juara keseluruhan, Pasukan Jordan’s Royal Guards mendapat tempat kedua manakala Pasukan RPK 2 telah mendapat tempat ketiga sekali gus Pasukan RPK 1 telah diisytiharkan sebagai juara King’s Challenge 2019.
Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Pasukan RPK adalah satu-satunya peserta dari rantau Asia Pasifik dalam pertandingan tahun ini. Ini merupakan penyertaan keenam RPK, ABDB sejak ia diperkenalkan. Dengan kejuaraan Pasukan RPK dalam pertandingan kali ini, setentunya telah menunjukkan keupayaan sebenar unit elit ABDB ini. Walaupun sebuah unit yang kecil, namun mempunyai kebolehan dan keupayaan yang setanding dengan unit elit pasukan khas di seluruh dunia.
- Media Permata Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan