Oleh Haniq Rafael
ANGKATAN Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) mula ditubuhkan pada 31 Mei, 1961.
Pada awalnya ia dikenali dengan nama Askar Melayu Brunei sebelum dianugerahkan dengan gelaran Diraja pada 31 Mei, 1965. Ia kemudian dikenali sebagai Askar Melayu Diraja Brunei. Setelah mencapai kemerdekaan pada 1 Januari, 1984, Askar Melayu Diraja Brunei dinamakan semula sebagai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Sejak mula ditubuhkan dan kini telah mencapai usia ke-58 tahun, ABDB telah melalui pelbagai pengalaman dan perkembangan sejak penubuhannya pada tahun 1961. Benteng pertahanan negara perlu diperkukuhkan dengan penerapan ilmu akademik dan tidak hanya boleh diserahkan ‘bulau-bulat’ kepada ketenteraan semata-mata.
Kepentingan ilmu dalam melahirkan perajurit berkepimpinan tinggi sangat mustahak kepada agenda mempertahankan negara.
Selaku rakyat dan penduduk di negara ini kita mengharapkan semua pihak memberikan apresiasi lebih bermakna terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang membolehkan keamanan dicapai dan kemakmuran negara dinikmati.
Justeru,ABDB juga telah membentuk sebuah Akademi Pertahanan di mana ia bertujuan untuk membentuk pemimpin tentera yang bukan hanya mahir mengendalikan aset ketenteraan, malah meningkatkan kemahiran berfikir dan rasionalisasi apabila berhadapan senario peperangan.
Melalui Akademi Pertahanan ini ianya telah melahirkan anggota dan pegawai tentera yang berkemahiran di samping bagi melengkapkan mereka dengan ilmu akademik tinggi selain pengetahuan ketenteraan kerana ilmu akademik dan ketenteraan adalah mustahak bagi anggota serta pegawai tentera bagi memastikan mereka mampu menghadapi sebarang cabaran mendatang ini kerana peperangan berkemungkinan tidak lagi menjurus kepada penggunaan persenjataan konvensional semata-mata tetapi membabitkan sistem yang canggih dan moden ketika ini.
Jika dahulu, para tentera dilatih menggunakan alat-alat ketenteraan, tetapi sekarang para tentera dilatih mempertingkatkan minda berfikir dan rasionalisasi sesuai dengan persediaan bagi anggota untuk menghadapi senario peperangan baru.
Kewujudan Akademi Pertahanan ABDB jelas menunjukkan ia bukan sekadar untuk melahirkan para pegawai yang bertauliah bahkan untuk melahirkan pemimpin intelektual bahkan akademi ini juga merupakan akademik yang unik kerana ia menggabungkan antara pengajian akademik dan latihan ketenteraan.
Daripada segi keselamatan pula, ABDB juga telah mengadakan Majlis Pelancaran Menaiktarafkan Kad Pengenalan ABDB yang merupakan salah satu inisiatif ke arah meningkatkan sistem sekuriti ABDB. Dilancarkan oleh Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah ABDB.
Selain dari berkhidmat dalam negara, ABDB juga terlibat dalam misi-misi pengamatan luar negara seperti penyertaan dalam Misi IMT di Filipina dan UNIFIL di Lubnan, dan terkini yang mana pada 22 Mac 2019 Brunei Darussalam menghantar dua anggota ABDB ke The Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) di Mindanao, Republik Filipina, ini adalah merupakan satu pencapaian penting bagi Negara Brunei Darussalam ke arah proses keamanan di Mindanao sejak penglibatan ABDB sebagai ahli Pasukan Pemantauan Antarabangsa pada tahun 2004.
Saranan
Sesungguhnya nikmat keamanan negara yang kita kecapi hari ini bukanlah sesuatu yang mudah dicapai dan diperoleh. Ia merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan para pahlawan tanah air yang sanggup menggadaikan jiwa raga mereka demi melihat keamanan di bumi tercinta ini. ABDB wajar meneruskan usaha memelihara keamanan dan kesejahteraan negara supaya dinikmati anak muda pada masa hadapan.
ABDB juga bukan setakat memberi tumpuan terhadap keselamatan negara semata-mata, sebaliknya perlu memastikan kestabilan politik di negara ini terus terjamin bagi meneruskan kesinambungan pemerintahan.
Selaku rakyat yang cintakan negara, sama-samalah kita menanam semangat kenegaraan dan perjuangan yang tinggi dalam diri masing-masing dan jangan sesekali hanya menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada anggota tentera saja kerana kita selaku rakyat di negara bumi bertuah ini juga berperanan sebagai ‘mata, telinga dan tangan’ kerajaan sebagai benteng pertahanan kedua negara seterusnya menjamin kehidupan yang aman dan tenteram.
Ramai anggota tentera terkorban atas nama negara, disemadikan di pusara yang tidak bernama. Amat menyedihkan apabila pengorbanan mereka begitu cepat luput daripada minda warga, selepas jasad selesai disemadikan di perut bumi.
Demikianlah harga satu nyawa yang ditamatkan oleh sebutir peluru, apabila warga tidak disuntikkan dengan semangat menghargai pengorbanan, demikian cepat dilupakan pengorbanan wira bangsa dan perwira negara.
Untuk itu kita sangat berterima kasih kepada ABDB telah dapat melaksanakan amanah dan menjalankan tugas dalam menjaga dan mengekalkan keamanan di negara kita ini. Selamat Menyambut Ulang Tahun ABDB Ke-58 Tahun.
- Media Permata Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan