Jumaat, 29 April 2016

Mantapkan keupayaan

Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bertitah mengingatkan bahawa pertahanan bukan setakat bergantung kepada peralatan dan kesenjataan semata-mata malah turut penting ialah keupayaan para anggota dalam memainkan peranan masing-masing.
“Jika peranan itu berjaya dilaksanakan dengan baik maka tidak syak lagi ia akan menjadi nilai tambah kepada peralatan dan persenjataan,” titah Baginda lagi dalam Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai Kadet Pengambilan ke-14 yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Tanah Jambu, hari ini.
Baginda bertitah bahawa hari ini adalah detik bersejarah bagi pegawai-pegawai kadet pengambilan ke-14 dan sekali gus bagi Akademi Pertahanan khasnya Sekolah Pegawai Kadet kerana perbarisan pada pagi itu, merupakan perbarisan tamat latihan bagi pegawai kadet yang pertama kali diadakan di tapak baru Akademi Pertahanan.
“Sekolah Pegawai Kadet mempunyai peranan besar dalam melatih, mendidik dan membimbing pegawai-pegawai kadet. Latihan adalah dihasratkan untuk melahirkan pemimpin-pemimpin tentera yang berkebolehan dan berilmu yang dapat menangani tugas dengan baik dan malah yang lebih daripada itu, mampu untuk menghadapi cabaran-cabaran mendatang.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Sword of Honour kepada Pegawai Kadet Muhammad Farasul Wa’ie bin Wadi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Sword of Honour kepada Pegawai Kadet Muhammad Farasul Wa’ie bin Wadi.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Upacara Sovereign’s Parade di Akademi Pertahanan ABDB.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Upacara Sovereign’s Parade di Akademi Pertahanan ABDB.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai.
“Beta yakin pegawai-pegawai kadet yang menamatkan latihan pada hari ini adalah mampu untuk melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang lebih besar daripada apa yang pernah dilalui oleh mereka sebelum ini.”
Baginda bertitah menyarankan agar para pegawai-pegawai kadet perlu sentiasa peka dengan perkembangan geostrategi dan geoekonomik yang melibatkan bidang pertahanan negara.
“Keupayaan dan keprihatinan mereka di sini tidak syak lagi dapat membantu pihak atasan dalam membuat keputusan-keputusan dasar secara efektif dan cekap bagi pertahanan dan keselamatan negara.
“Selain itu, Beta juga percaya semua pegawai kadet dapat mempamerkan disiplin yang tinggi dan keulahan yang terpuji dalam masa menjalankan amanah dan tanggungjawab untuk negara. Beta yakin mereka layak untuk jadi rol model yang memiliki ciri-ciri lead by example kepada sekalian anggota bawahan yang akan dipimpin.”
Baginda seterusnya bertitah, “Akademi Pertahanan ABDB kini telah pun berpindah ke tapak baru yang lebih moden dan kondusif untuk latihan-latihan ketenteraan.”
“Infrastruktur yang luas dan baru ini adalah merupakan satu pelaburan besar yang diikhtiarkan oleh kerajaan Beta bagi menjana pembangunan kapasiti sumber manusia Angkatan Bersenjata kita.
“Ia turut berperanan untuk menaikkan imej dan profil Akademi Pertahanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Beta berharap dengan adanya tapak ini, akan membolehkan Akademi Pertahanan menjadi sebuah pusat pendidikan dan latihan ketenteraan yang benar-benar berjaya sama ada secara dalaman mahupun di mata luar.”
-Media Permata. Jumaat. 29 April 2016.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan