Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Negara Brunei Darussalam dan
Australia mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama yang erat dalam
pelbagai bidang termasuk bidang pertahanan yang sudah terjalin sekian
lama.
Hubungan pertahanan itu sudah terjalin sejak pendaratan tentera
Australia 9th Division di Pantai Muara pada Ahad, 10 Jun 1945 sebagai
salah satu operasi penting untuk mendapatkan kembali Kepulauan Borneo
dan menamatkan pendudukan Jepun di Brunei semasa Perang Dunia Kedua.
Di samping itu, ratusan ribu tentera Australia dan New Zealand (NZ)
telah menunjukkan keberanian mereka dalam pelbagai konflik demi
mempertahankan kebebasan serta memastikan rakyat kedua-dua buah negara
terus menikmati kehidupan yang aman di abad ke-21.
Oleh itu, pengorbanan dan keberanian lelaki dan wanita yang bergelar
anggota tentera Australia dan New Zealand terus diingat dan dihormati
dengan rakyat dan penduduk kedua-dua buah negara memperingati
pengorbanan mereka itu pada Hari ANZAC yang diraikan di seluruh dunia.
Perkara itu dijelaskan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara
Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer semasa berucap pada
Majlis Memperingati Hari ANZAC yang diadakan di Tugu Peringatan
Brunei-Australia, Pantai Muara, hari ini.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi New Zealand
ke Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. John
Subritzky; Duta Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama
Fikret Oguz Ates; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB),
Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri
Mohd Tawih bin Abdullah, perwakilan-perwakilan dari negara-negara
sahabat, para pegawai kanan kerajaan, jemputan lainnya dan rakyat
Australia dan New Zealand yang menetap di Negara Brunei Darussalam.
TYT Todd Mercer menambah bahawa majlis itu merupakan hari untuk
memperingati jasa dan bakti tentera-tentera Australia dan NZ yang
berkhidmat serta gugur di medan peperangan di seluruh dunia.
Majlis seterusnya menyaksikan bacaan puisi bertajuk ‘In Flanders
Fields’ oleh TYT Dr. John Subritzky dan TYT Fikret Oguz Ates membacakan
kata-kata pengasas Turki Moden, Presiden Mustafa Kemal Ataturk yang kini
diukir di Tugu Peringatan, Ari Burnu, Gallipoli, Turki.
Majlis kemudian menyaksikan TYT Todd Mercer, TYT Dr. John Subritzky
dan TYT Fikret Oguz Ates meletakkan jambangan bunga sebagai tanda
penghormatan dan memperingati jasa di tugu peringatan itu.
Majlis peringatan itu juga menyaksikan bendera negara Australia dan
New Zealand dikibarkan di kawasan tugu itu bagi memperingati jasa-jasa
tentera Australia dan New Zealand yang telah dan terus berjuang serta
berkhidmat di seluruh dunia.
- Media Permata. 26 April 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan