TUNGKU LINK, Selasa, 26 Januari. -
Peraduan Menulis Esei Sejarah Negara Brunei Darussalam (1906-2015)
anjuran Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) bagi memperingati sempena 50
tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar
'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam menaiki tahkta kerajaan Negara Brunei
Darussalam.
Menurut Setiausaha Kehormat PESEBAR,
Profesor Madya Dr. Haji Awang Asbol bin Haji Mail, peraduan itu juga
bertujuan sebagai salah satu kegiatan persatuan berkenaan bagi
membarigakan sejarah negara ini, sepertimana yang tercatat dalam
perlembagaan PESEBAR.
SETIAUSAHA Kehormat
PESEBAR, Profesor Madya Dr. Haji Awang Asbol bin Haji Mail memberi
penerangan pada sidang media mengenai Peraduan Menulis Esei Sejarah
Negara Brunei Darussalam (1906-2015) anjuran Persatuan Sejarah Brunei
(PESEBAR)
Menjelaskan perkara tersebut pada Sidang
Media yang berlangsung di Bangunan Akademi Pengajian Brunei, Universiti
Brunei Darussalam (UBD), Profesor Madya Dr. Haji Awang Asbol seterusnya
berkata, peraduan berkenaan adalah untuk memperkayakan penulisan
sejarah negara yang boleh dijadikan rujukan dan landasan dalam
mengenali arus perjalanan sejarah dan identiti bernegara dan berbangsa
bagi masyarakat Negara Brunei Darussalam.
Sementara itu katanya, skop penulisan
merangkumi skop sejarah politik, sosial dan ekonomi Negara Brunei
Darussalam dalam tempoh 1906 hingga 2015.
Jelasnya, dalam sejarah politik bolehlah
dilihat sejarah pentadbiran Kesultanan Brunei, Residen British,
Majlis-Majlis Mesyuarat, pendudukan Jepun, Perlembagaan Negeri Brunei
1959, hubungan Brunei dengan British, Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Tambahnya, sejarah sosial pula boleh
dikaji tentang sejarah pendidikan, agama, undang-undang, adat istiadat,
wanita, perhiasan, pakaian, pertukangan tangan, perhubungan dan media
massa.
PENOLONG Setiausaha Kehormat PESEBAR, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong
juga menerangkan serba sedikit mengenai peraduan esei tersebut.
juga menerangkan serba sedikit mengenai peraduan esei tersebut.
Beliau seterusnya menjelaskan, manakala
itu dalam sejarah ekonomi boleh melihat sejarah industri minyak,
pertanian, perikanan dan perdagangan; dan bidang-bidang lain yang
bersesuaian boleh juga ditulis selain daripada yang disarankan di atas.
“Para peserta juga dibenarkan utuk
menulis perkembangan historiografi, sumber-sumber penulisan sejarah
Negara Brunei Darussalam, pengajaran dan kepentingan sejarah,” ujarnya.
Di samping itu, beliau seterusnya menerangkan mengenai syarat-syarat dan peraturan peraduan berkenaan.
Terangnya, peraduan terbuka kepada
warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam kecuali Ahli
Jawatankuasa Kerja PESEBAR.
Jelasnya, esei mestilah karya asli yang
belum pernah diterbitkan dalam mana-mana media dan ia bukan terjemahan,
saduran, adaptasi, kajian ilmiah sebagai tugasan di institusi pengajian
tinggi atau apa jua pengertian yang menyebabkan esei itu tidak lagi
bersifat asli.
Kandungan esei katanya, mestilah tidak
bertentangan dengan dasar-dasar kerajaan dan panjang esei antara 4,000
hingga 5,000 patah perkataan, ini tidak termasuk petikan, nota kaki,
lampiran, peta, gambar mahupun rajah.
Beliau seterusnya menjelaskan, peserta
tidak dibenarkan membubuh nama atau sebarang pengenalan pada esei yang
dikemukakan. Maklumat berkenaan jelasnya, hanya boleh dibuat pada borang
penyertaan khas yang disediakan oleh pihak penganjur.
Selain itu jelasnya, pemenang hadiah
pertama akan menerima wang sebanyak BND2,500; hadiah kedua sebanyak
BND2,000; dan ketiga sebanyak BND1,000 serta empat hadiah penghargaan
masing-masing bernilai BND500 akan juga diberikan.
Tarikh akhir menghantar makalah ialah 31
Ogos 2016 dan ia hendaklah dihantar bersama empat salinan esei (hard
copy), soft copy (CD) dan borang penyertaan kepada Setiausaha Kehormat
PESEBAR, Program Pengajian Sejarah dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan
Sains Sosial, UBD, Tungku Link, BE1410, Brunei Darussalam.
Atau menghubungi terus Setiausaha
Kehormat PESEBAR melalui talian +6738888531 dan Penolong Setiausaha
Kehormat PESEBAR +6737171539; atau e-mel ke ‘asbol.mail@ubd.edu.bn’ atau ‘asbolm@gmail.com’.
Juga hadir pada sidang tersebut ialah Penolong Setiausaha Kehormat PESEBAR, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.
- Pelita Brunei Online. Rabu, 27 Januari 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan