MUARA, Jumaat, 20 November. - KDB DARULEHSAN Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) menamatkan latihan 'Passage Exercise' (PASSEX) dengan kapal perang Tentera Laut Perancis, FNS VENDÉMIAIRE semalam, 19 November.
Semasa latihan PASSEX ini, KDB DARULEHSAN dan FNS VENDÉMIAIRE menjalankan latihan Maritime Interdiction Operations (MIO) di mana kedua-dua tentera laut bergilir-ganti membuat prosedur soal siasat dan menaiki kapal sekali gus sebagai saluran untuk penambahbaikan dalam menjalankan operasi menaiki kapal di laut.
Menurut Siaran Akhbar Kementerian Pertahanan, latihan itu termasuk latihan angkat bendera, gerakan asas kapal, operasi bot kecil yang melibatkan pertukaran anggota, lawatan, latihan carian dan penyitaan serta susunan kapal-kapal layar.
Kapal perang FNS VENDÉMIAIRE yang berukuran 93.5m di bawah perintah Komander Damien Lopez dan membawa kira-kira 99 pegawai serta anggota anak-anak kapal, bertujuan untuk meningkatkan persahabatan dua hala, persefahaman dan kepercayaan dengan TLDB, di mana ia sejajar dengan dasar kedua-dua negara bagi menggalakkan perkongsian strategik dua hala.
ANTARA aksi Latihan PASSEX.
Kapal perang FNS VENDEMIARIE tiba di Negara Brunei Darussalam pada 14 November dalam rangka lawatan muhibah selama lima hari.
Dalam rangka aktiviti yang biasa dilaksanakan oleh kapal perang FNS VENDEMIARIE di Pasifik Selatan, kapal FNS VENDÉMIAIRE biasanya membuat perhentian singkat di pelbagai negara di seluruh dunia, termasuk Brunei Darussalam. Lawatan singkat di Negara Brunei Darussalam memupuk kerjasama maritim serta meningkatkan operasi bersama, terutama hubungan baik yang sedia terjalin di antara TLDB dan Tentera Laut Perancis.
Sebagai sebahagian dari lawatan mereka di Negara Brunei Darussalam, anak-anak kapal FNS VENDEMIAIRE juga mengadakan beberapa lawatan di sekitar Negara Brunei Darussalam termasuk tempat-tempat yang kaya dengan budaya bagi rakyat Brunei seperti Kampong Ayer, Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja, Muzium Brunei dan Muzium Maritim Brunei serta Pusat Kesenian dan Kraf Tangan Brunei.
Sukan interaksi juga turut diadakan di antara pegawai FNS VENDEMIAIRE dan TLDB dengan perlawanan persahabatan bola sepak.
Kapal perang FNS VENDEMIARIE mengakhiri lawatan muhibah ke negara ini kelmarin bagi meneruskan perjalanan mereka.
Hadir bagi mengucapkan selamat jalan ialah TLDB Komander, Sahibul Bahari bin Haji Zainal Abidin bersama-sama dengan pegawai-pegawai TLDB dan Pancaragam Tentera Laut.
- Siaran Akbar.
-Pelita Brunei Online. 20 November 2015.