Isnin, 20 April 2015

Wanita warga tempatan disiasat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri

    • BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Februari. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memberi perhatian serius terhadap tindakan beberapa individu dari negara-negara di rantau ini yang didapati telah menyertai kumpulan pengganas IS (Islamic State) di negara Syria dan Iraq. Trend terkini yang digunakan oleh individu-individu berkenaan melibatkan penggunaan negara-negara ketiga sebagai laluan alternatif dalam usaha bagi mengelakkan dari dikesan oleh pihak berkuasa. Dalam hal ini Negara Brunei Darussalam (NBD) juga tidak terkecuali dari digunakan sebagai salah satu laluan alternatif.
    • Berikutan perkembangan tersebut, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) mendapati penglibatan seorang wanita rakyat tempatan berumur 34 tahun dengan seorang lelaki warga asing yang berhasrat untuk menyertai aktiviti kumpulan pengganas. Atas penglibatan wanita tempatan berkenaan, JKDN telah mengenakan ke atas beliau Perintah Sekatan di bawah Bab 3(1)(b) Akta Keselamatan Dalam Negeri, Penggal 133 yang mula berkuat kuasa pada 4 Februari 2015.
      Hasil siasatan mendapati wanita tempatan berkenaan telah berhubung dengan lelaki tersebut sejak Ogos 2014 melalui laman sosial dan meneruskan perhubungan mereka meskipun mengetahui lelaki berkenaan mempunyai rancangan untuk menyertai kumpulan pengganas. Wanita berkenaan juga telah membantu kemasukan lelaki tersebut ke negara ini untuk mencari pekerjaan dan seterusnya merancang untuk berkahwin di negara ini. Perancangan ini akan memudahkan lelaki tersebut untuk tinggal lebih lama di NBD sebelu meneruskan perancangannya menyertai aktiviti kumpulan pengganas.
      Dalam perkara ini, tindakan mengenakan Perintah Sekatan ini diambil adalah sebagai langkah pencegahan awal dan atas dasar tidak bertoleransi pihak kerajaan ke atas sebarang elemen yang berhubung kait dengan aktiviti pengganasan di negara ini. Di waktu yang sama, tindakan ini juga menunjukkan tahap komitmen dan kerjasama yang tinggi di antara agensi perisikan dan penguatkuasaan dalam dan luar negara dalam memerangi sebarang aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keselamatan negara.
      Sehubungan ini, JKDN mengingatkan orang ramai untuk sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan berwaspada akan kehadiran individu atau warga asing yang mencurigakan khususnya yang menggunakan agama sebagai helah bagi mempengaruhi atau merekrut, menggunakan NBD sebagai transit atau laluan dan juga mengambil kesempatan untuk berkahwin atas nama 'perjuangan jihad' yang menyalahi ajaran syariat Islam yang sebenarnya.
      Dalam pada itu, JKDN juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa bersedia bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan negara serta memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dengan menyalurkan apa jua maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman orang awam di negara ini dengan menghubungi 'Hotline' JKDN melalui talian 133 atau terus ke mana-mana cawangan JKDN di negara ini.
  • Oleh:  Siaran Akhbar Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan