Rabu, 24 Jun 2015

KEBAWAH DYMM BERANGKAT KE SAMBUTAN ULANG TAHUN ABDB KE 54 TAHUN


PENANJONG GARISON, Ahad, 31 Mei 2015 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini berkenan berangkat ke Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke 54 tahun.
Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB bertema 'Generasi ABDB Berwawasan', di adakan di Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Padang Kawad, Institut Latihan ABDB, dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat dan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri  Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral ABDB.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan berangkat memeriksa Pasukan-pasukan Perbarisan seramai 1,154 anggota ABDB terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Institut Latihan (IL) ABDB, Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB dan Pasukan Askar Wanita di bawah Pemerintah Ketua Perbarisan, Leftenan Kolonel (L) Pg Mohamad bin Pg Haji Damit.

Selepas Kebawah DYMM memeriksa perbarisan, acara disusuli dengan perbarisan lalu dalam masa perlahan dan cepat oleh pasukan-pasukan perbarisan yang membawa Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Panji-Panji Pasukan ABDB diikuti perbarisan mara ke hadapan untuk diperhatikan semula.
Pada sambutan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia  berkenan mengurniakan titah.
Ini diikuti dengan laungan tiga kali 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' disembahkan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Selepas itu, bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Penolong Ketua Jabatan Agama  ABDB (JA'MAAT),  Kapten Ariffin bin Amit @ Hamid bagi memberkati upacara tersebut.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia sekali lagi disembahkan dengan Tabik Hormat Diraja yang diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat TUDB.
Selepas santap ringan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudiannya dijunjung berangkat untuk menyaksikan Persembahan Arena di Padang Kawad, Institut Latihan ABDB.
Kebawah DYMM dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya dijunjung berangkat ke Mini Stadium, Kolam Renang, Dewan Gerak Badan dan Padang Bola A dan B untuk menyaksikan Pameran Statik yang terdiri dari pelbagai kelengkapan dan keupayaan ketenteraan daripada unit-unit ABDB dan meninjau fasiliti-fasiliti yang dipamerkan oleh Kementerian Pertahanan.


Kebawah DYMM dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya dijunjung berangkat ke Mes Pegawai Waran/Staf Sarjan dan Sarjan bagi Majlis Ramah Mesra bersama Pegawai-pegawai Tidak Bertauliah (PTB) Kanan ABDB dan Persatuan Bekas Perajurit.
Di sini, Kebawah DYMM dan DYTM telah berkenan untuk bergambar ramai bersama PTB Kanan ABDB dan Persatuan Bekas Perajurit​. Kebawah DYMM dan DYTM seterusnya berkenan menerima pesambah berupa Cop Mohor Diraja yang disembahkan oleh PTB Kanan ABDB.
Sebelum berangkat balik, KDYMM dan DYTM berkenan untuk menerima junjung ziarah dari PTB Kanan ABDB dan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan.
Kebawah DYMM dan DYTM seterusnya dijunjung berangkat ke Dewan Makan, Institut Latihan ABDB bagi Majlis Ramah Mesra bersama Pegawai-pegawai Tidak Bertauliah (PTB) Rendah ABDB.
Di sini, Kebawah DYMM dan DYTM telah berkenan untuk bergambar ramai bersama PTB Rendah ABDB.
Kebawah DYMM  dan DYTM kemudiannya berkenan menerima pesambah berupa Boastwain Pipe yang disembahkan oleh PTB Rendah ABDB.
Sebelum berangkat balik, Kebawah DYMM  dan DYTM berkenan untuk menerima junjung ziarah dari PTB Rendah ABDB dan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan.
Sejurus tiba di Mes Pegawai Penanjong Garison bagi Majlis Santap, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung bagi Upacara Memotong Kek Hari Ulang Tahun ABDB.

Kebawah DYMM dan DYTM berkenan menerima pesambah berupa Digital Binocular yang disembahkan oleh Pegawai-pegawai ABDB.
Sebelum Majlis Santap Tengah Hari bermula, Doa Selamat dibacakan oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB (JA'MAAT), Kapten Ariffin bin Amit @ Hamid.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM dan DYTM dijunjung untuk menerima Junjung Ziarah dari pegawai-pegawai ABDB diikuti dengan menandatangani Lembaran Kenangan sebelum bergambar ramai.​

Sumber: www2.mindef.gov.bn