Ahad, 28 Oktober 2018

Penghormatan terakhir buat Muhammad Sadikin

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 0kt – Bagi memberikan penghormatan terakhir kepada salah seorang anggota Angkatan Bersenjata Republik Singapura (SAF), Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah memberikan bantuan pengurusan, mengadakan solat jenazah termasuklah bacaan Surah Yasin dan Tahlil.
Allahyarham Pegawai Waran 3 (3WO) Muhammad Sadikin bin Hasban telah meninggal dunia pada pagi kelmarin akibat kecederaan yang dialami selepas dihempap oleh dahan pokok semasa menjalankan tugas di negara ini.
Hadir pada majlis itu ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.
Turut hadir sama ialah setiausaha-setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah, wakil-wakil pertahanan dari SAF dan ahli keluarga Allahyarham 3WO Muhammad Sadikin, serta anggota dan kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Solat jenazah berjemaah telah diimamkan oleh Ketua Jabatan Agama ABDB, Mejar Ariffin bin Amit yang seterusnya membacakan Doa Jenazah.
Jenazah Allahyarham Muhammad Sadikin akan dibawa balik ke Republik Singapura hari ini menggunakan pesawat tentera. Pada masa yang paling sukar ini, Kementerian Pertahanan dan ABDB ingin merakamkan ucapan takziah khususnya kepada keluarga dan rakan-rakan Allahyarham 3WO Muhammad Sadikin.
Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan menyertai jemaah yang lain menunaikan solat jenazah yang diimamkan oleh Mejar Ariffin, kelmarin.
- Media Permata Online