Selasa, 21 Februari 2017

Sambutan Hari Polis Diraja Brunei Ke-96 Tahun

GADONG, 18 Februari - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Inspektor Jeneral Polis Diraja Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Polis ke-96 tahun yang berlangsung di Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) Gadong.



Berangkat sama ke istiadat tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Timbalan Inspektor Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pesuruhjaya Kehormat Polis Diraja Brunei, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Komandan Polis Wanita dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Nor'ain, Timbalan Komandan Polis Wanita.



Keberangkatan KDYMM dijunjung oleh  Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd. Shah Al-Islam serta pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Brunei. KDYMM kemudiannya berkenan menerima tabik kehormat dari pasukan-pasukan kawalan kehormatan PDB terdiri dari pelbagai cabang perkhidmatan pasukan PDB semasa lagu kebangsaan dimainkan oleh Pasukan Pancaragam PDB. Baginda seterusnya memeriksa pasukan kawalan kehormatan terdiri dari dua kawalan. Kawalan pertama adalah terdiri dari anggota polis lelaki manakala kawalan kedua pula adalah dari polis wanita. 



Baginda seterusnya berkenan menaiki kenderaan khas bagi memeriksa beberapa kontinjen Pasukan Polis Diraja Brunei yang lain seperti Pasukan Polis Hutan, Bahagian Operasi Khas, Pasukan Simpanan Polis, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Kawalan Diraja dan Pasukan Polis Pencegah Rusuhan. Istiadat diteruskan dengan perbarisan lalu oleh pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.




Selesai sahaja upacara perbarisan lalu, KDYMM telah berkenan mengurniakan titah sempena ulangtahun Sambutan Hari Polis Diraja Brunei Ke-96. 



Acara kemuncak di istiadat tersebut ialah bacaan ikrar taat setia oleh Pasukan PDB yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Pengarah Gerakan, Penguasa Kanan Polis, Chipli bin Haji Mohammad.




Istiadat perbarisan berakhir dengan bacaan Doa Selamat yang telah dibacakan oleh Pemangku Pegawai Jenayah Daerah Polis Belait, Penolong Penguasa Polis Mohammad Amiruddin bin Haji Tunjang.



Baginda seterusnya berangkat bagi Majlis Pembukaan Rasmi Bangunan Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei yang baru.

- Sumber Gambar: Infofoto