Khamis, 9 April 2015

Kena Perintah Sekatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Seorang wanita tempatan berusia 34 tahun telah dikenakan Perintah Sekatan di bawah Bab 3(1)(b) Akta Keselamatan Dalam Negeri, Penggal 133 yang mula berkuat kuasa pada 4 Februari lalu setelah dia didapati terlibat dengan seorang lelaki warga asing yang berhasrat menyertai aktiviti kumpulan pengganas.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, hasil siasatan mendapati wanita itu telah berhubung dengan lelaki tersebut sejak Ogos 2014 melalui laman sosial dan meneruskan perhubungan mereka meskipun mengetahui lelaki berkenaan mempunyai rancangan menyertai kumpulan pengganas.
Menurut JKDN, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memberi perhatian serius terhadap tindakan beberapa individu dari negara-negara rantau ini yang didapati menyertai kumpulan pengganas Islamic State (IS) di Syria dan Iraq.
“Trend terkini yang digunakan oleh individu-individu berkenaan melibatkan penggunaan negara-negara ketiga sebagai laluan alternatif dalam usaha bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
“Dalam hal ini Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali daripada digunakan sebagai salah satu laluan alternatif.
“Berikutan perkembangan tersebut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) mendapati penglibatan seorang wanita rakyat tempatan berumur 34 tahun dengan seorang lelaki warga asing yang berhasrat menyertai aktiviti kumpulan pengganas.”
Menurut JKDN lagi, wanita berkenaan juga telah membantu kemasukan lelaki tersebut ke negara ini untuk mencari pekerjaan dan seterusnya merancang untuk berkahwin di negara ini.
Perancangan ini akan memudahkan lelaki tersebut untuk tinggal lebih lama di Brunei Darussalam sebelum meneruskan perancangannya menyertai aktiviti kumpulan pengganas.
Dalam perkara ini, tindakan mengenakan Perintah Sekatan ini diambil adalah sebagai langkah pencegahan awal dan atas dasar tidak bertoleransi pihak kerajaan ke atas sebarang elemen yang berhubung kait dengan aktiviti pengganasan di negara ini, kata JKDN.
Pada waktu yang sama, tindakan ini juga menunjukkan tahap komitmen dan kerjasama yang tinggi di antara agensi perisikan dan penguatkuasaan dalam dan luar negara dalam memerangi sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Sehubungan itu, JKDN mengingatkan orang ramai untuk sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan berwaspada akan kehadiran individu atau warga asing yang mencurigakan khususnya yang menggunakan agama sebagai helah bagi mempengaruhi atau merekrut, menggunakan Brunei Darussalam sebagai transit atau laluan dan juga mengambil kesempatan untuk berkahwin atas nama ‘perjuangan jihad’ yang menyalahi ajaran syariat Islam yang sebenarnya.
Dalam pada itu, JKDN juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa bersedia bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan negara serta memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dengan menyalurkan apa juga maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini dengan menghubungi hotline JKDN ditalian 133 atau terus ke mana-mana cawangan JKDN di negara ini.
Sementara itu, agensi berita Bernama pada 18 Disember tahun lalu melaporkan, Polis Diraja Malaysia telah menahan seorang bekas jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kuantan, kerana dipercayai merancang untuk membuka laluan baharu kepada rakyat negara Malaysia menyertai kumpulan militan IS di Syria.
Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berusia 30 tahun itu yang berasal dari Terengganu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
“Polis percaya dia merancang untuk membuka laluan baharu bagi rakyat negara ini ke Syria dengan menjadikan Brunei sebagai transit.
“Suspek juga merancang untuk berkahwin dengan seorang gadis rakyat Malaysia yang bekerja sebagai guru yang menetap di Brunei, sebelum berlepas ke Syria,” katanya dalam satu kenyataan di Petaling Jaya, Selangor.
Beliau berkata, suspek berkenaan terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan di Syria selepas berinteraksi melalui Facebook dengan beberapa rakyat negara ini yang sudah ditahan polis.
Ini merupakan penangkapan kedua membabitkan suspek berkaitan IS dalam masa dua hari dan kedua-dua nya cuba menggunakan Brunei sebagai laluan mereka ke Syria.
- Media Permata. 15 Februari 2015.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan