KEBAWAH Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu’izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar’ Ali Saifuddien
Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,
Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja
Brunei (ABDB) ketika berkenan mengurniakan titah pada Sambutan Hari
Ulangtahun ABDB Ke-53, di Pengkalan Tentera Udara Rimba.
(Foto: Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali)
RIMBA, Sabtu, 31 Mei. -
Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang telah cukup usia 53 tahun
adalah satu-satunya tonggak pertahanan negara dan kerana itu, ABDB
perlu lebih mantap dan hebat serta tinggi
prestasi untuk menangani hambatan-hambatan semasa mahupun dalam
peranannya untuk menjalin kerjasama-kerjasama serantau dan antarabangsa.
Bertitah pada Sambutan Hari Ulang Tahun
ABDB Ke-53 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), di sini,
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali
Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi ABDB
menegaskan, segala usaha untuk meningkatkan keupayaan hendaklah
dirancang dengan lebih sistematik, berasaskan kepada prinsip ‘Raise,
Train and Sustain’, agar ABDB lebih yakin untuk melaksanakan
tanggungjawab operasi dengan berkesan dan efisien.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah
bahawa pertahanan merupakan satu keutamaan yang memerlukan sumber tenaga
dan perbelanjaan yang besar, namun apa yang lebih dipentingkan ialah
kesedaran mengawal peraturan kewangan dan 'financial accountability'
bagi menghindarkan pembaziran.
“Dalam makna, perbelanjaan dan perolehan
adalah perlu dibuat dengan bijaksana, bukannya dengan mengambil jalan
pintas melibatkan perbelanjaan yang sia-sia. Sebagai institusi besar dan
dinamik, adalah wajar bagi setiap bahagian dan unit
untuk terus peka dengan perancangan masing-masing dengan mengikut arus
pemikiran di peringkat strategik,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Menurut titah Kebawah DYMM, antara
langkah proaktif di peringkat pengurusan ialah pendekatan menyeluruh
melalui keadaan pensejajaran dan menjadikannya sebagai budaya kerja yang
mantap dan tidak lepas pandang terhadap wawasan dan tujuan pertahanan.
Baginda yakin, pensejajaran dan misi
yang jelas adalah mampu untuk menyuntik semangat dan tanggungjawab
dengan lebih berkesan di mana penglibatan ABDB di peringkat antarabangsa
adalah sebagai menghargai hubungan baik dengan negara-negara sahabat
iaitu satu dasar diplomasi pertahanan yang jitu.
Baginda menambah titah, negara juga
menyokong usaha kerjasama terutama dalam rangka ASEAN iaitu sebagai
meningkatkan lagi keyakinan dan jaminan untuk keselamatan bersama.
Dengan matlamat ini,
ABDB titah baginda akan maju setapak lagi dalam usahanya meningkatkan
kerjasama ketenteraan serantau iaitu apabila kelak negara menjadi tuan
rumah kepada Asia Pacific Chiefs of Defence Conference pada tahun ini.
Baginda melahirkan keyakinan akan
kemampuan ABDB setelah terlibat dalam operasi-operasi menjaga keamanan,
serantau dan antarabangsa seperti dalam visi pasukan pemantauan
antarabangsa di Mindanao, Republik Filipina dan pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon.
Terdahulu baginda bertitah, kita
bersyukur kerana dapat menikmati suasana keamanan yang menjadikan negara
lebih selesa dan giat membangun di mana tanpa keamanan, semua kebajikan
akan sukar dicapai.
“Inilah rahsia keamanan. Sayugia kita mesti menyayanginya. Sebagai kurnia Allah, kita wajib bersyukur memiliki tanah air yang aman, mantap lagi makmur. Tidak ada nikmat yang lebih besar dari ini,” titah baginda.
Namun di sebalik kesenangan yang ada,
titah baginda, terdapat cabaran-cabaran yang perlu dihadapi yang
berpotensi untuk mengganggu-gugat negara dan kehidupan.
Dalam hubungan ini, baginda bertitah
menegaskan kesedaran mestilah ditanam untuk menangkis segala gangguan
yang ada atau yang mungkin datang dengan tiba-tiba.
Mengakhiri titah, baginda turut
melahirkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala sumbangan bakti
yang dicurahkan oleh seluruh warga tentera di mana jua mereka berada
termasuk peranan perwira-perwira negara dalam menjaga dan memelihara
keselamatan serta terlibat secara aktif mengharumkan nama baik negara di
persada antarabangsa.
- Pelita Brunei Online. Ahad, 1 Jun 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan