KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji
Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam,
Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja
Brunei (ABDB) ketika berkenan menerima pesambah pada Sambutan Hari
Ulang Tahun (HUT) ABDB ke-53.
(Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor)
RIMBA, Sabtu, 31 Mei. -
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali
Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan
Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berkenan menerima beberapa pesambah
pada Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB Ke-53 yang diadakan di
Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), di sini.
Antara pesambah yang disembahkan kepada
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah replika Polo
Stick yang mana pihak Ahli Jawatankuasa Korperal Kelab ABDB memilih
replika Polo Stick sebagai pesambah memandangkan sukan Polo adalah salah
satu sukan kegemaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Selain itu, di atas replika Polo Stick tersebut dicetak lima bintang
dan nama Kebawah DYMM sebagai tanda penghormatan dan taat setia yang
tidak berbelah bahagi daripada Korperal Kelab kepada Pemerintah
Tertinggi ABDB.
Sukan
Polo adalah sukan yang memerlukan kemahiran di dalam menunggang kuda
yang mana kegiatan berkuda merupakan salah satu daripada aktiviti yang
digalakkan di dalam agama Islam dan ianya juga kegiatan yang digemari
oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
DULI
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran
Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri
Kanan di Jabatan Perdana
Menteri dan Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ketika berkenan
menerima pesambah pada Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB Ke-53.
(Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor)
(Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor)
Sementara, Duli Yang Teramat Mulia
Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee
Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan
Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan
Perdana Menteri dan Jeneral ABDB juga berkenan menerima pesambah berupa
replika Snooker Cue.
Pihak Ahli Jawatankuasa Korperal Kelab ABDB memilih replika Snooker Cue
sebagai pesambah memandangkan sukan Snuker adalah salah satu sukan
kegemaran Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.
Di samping itu, di atas replika Snooker
Cue tersebut dicetak empat bintang dan nama Duli Yang Teramat Mulia
sebagai tanda penghormatan yang tinggi kepada Jeneral ABDB yang setia
mengikuti jejak langkah ayahanda DYTM, selaku Khalifah Negara.
Sukan Snuker adalah sukan yang
memerlukan kemahiran di dalam menilai, meneliti dan mengatur pergerakan
bola yang mana ianya juga memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan
kebolehan berfikir.
KEBAWAH DYMM semasa berkenan menerima pesambah berupa Jaket Penerbangan berwarna hitam.
(Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali)
(Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali)
Selain itu, baginda dan DYTM juga
berkenan menerima pesambah dari Pegawai-Pegawai Tidak Bertauliah Kanan
ABDB berupa replika Pedang Sayidina Ali bin Abi Thalib.
Pedang yang bernama Zulfikar adalah
milik Sayidina Ali bin Abi Thalib, Khalifah Islam yang keempat yang mana
pedang tersebut pada mulanya dimiliki oleh Nabi Muhammad Sallallahu
Alaihi Wasallam semasa Peperangan Badar.
Pedang tersebut telah diberikan kepada
Sayidina Ali bin Abi Thalib semasa peperangan Uhud di dalam menegakkan
agama Islam yang mana pedang Bermata dua ini memiliki simbol jihad dan keberanian Sayidina Ali bin Abi Thalib di dalam menegakkan kebenaran.
Replika pedang dipilih sebagai pesambah
kerana pedang tersebut melambangkan keberanian baginda, selaku Khalifah
Islam yang bertanggungjawab di dalam menegakkan keadilan, kebenaran dan
undang-undang Islam.
DYTM semasa berkenan menerima pesambah berupa Jaket Penerbangan bewarna coklat terang.
(Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali)
(Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali)
Pada Sambutan HUT ABDB kali ini juga,
pihak ahli jawatankuasa peringkat pegawai ABDB memilih Jaket Penerbangan
berwarna hitam dijadikan sebagai pesambah untuk disembahkan kepada
Kebawah DYMM, manakala Jaket Penerbangan berwarna coklat terang
disembahkan kepada DYTM.
Memandangkan TUDB adalah Pengerusi bagi
tahun ini, ahli jawatankuasa secara keseluruhannya telah memberi
penghormatan dan memilih Jaket Penerbangan yang bernama Bomber Jacket sebagai pesambah berdasarkan kepada beberapa perkara.
Semenjak Perang Dunia Kedua, Bomber Jacket
merupakan pakaian seragam yang digunakan oleh juruterbang-juruterbang
pesawat pengebom semasa membuat penerbangan bagi mengatasi suhu dingin
terutama sekali di paras ‘altitude’ yang tinggi.
Di samping itu, jaket tersebut mempunyai
nilai yang tersendiri, yang penuh dibanggakan oleh
juruterbang-juruterbang pada ketika itu dan dihiasi dengan
lambang-lambang skuadron berserta kiraan tugas yang telah mereka jalani.
Nilai sejarah Bomber Jacket melambangkan
keberanian dan kegagahan yang terus dibanggakan hingga hari ini yang
digunakan oleh perajurit-perajurit terutama sekali semasa hari
memperingati jasa perajurit-perajurit yang berjuang semasa Peperangan
Dunia Pertama dan Kedua.
- Pelita Brunei Online. Ahad, 1Jun 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan