PEMERINTAH TUDB, Brigadier Jeneral (U) Haji Wardi bin Haji Latip memotong kek Hari Ulang Tahun TUDB Ke-48.
(Foto: Ihsan ABDB)
GADONG, Selasa, 24 Jun. - Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Ke-48 bagi Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) diraikan dengan pelbagai aktiviti yang acara kemuncak perbarisan yang berlangsung di Padang Kawad Markas TUDB.
Seramai 292 anggota TUDB terlibat di perbarisan itu yang diketuai oleh 551 Mejar (U)Abdullah bin Haji Sabtu.
Hadir menerima tabik hormat ialah Pemerintah TUDB, Brigadier Jeneral (U) Haji Wardi bin Haji Abdul Latip dalam ucapannya antara lain menekankan, mengenai tema Sambutan HUT Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) 'Generasi ABDB Berwawasan' untuk seharusnya diserapkan dan dijiwai oleh setiap warga TUDB di dalam mengatasi cabaran di setiap tugasan.
TETAMU kehormat memeriksa perbarisan terdiri dari 292 anggota TUDB. (Foto : Ihsan ABDB)
Beliau menambah, kepentingan bagi setiap warga TUDB agar menanamkan nilai-nilai teras TUDB - Cemerlang, Komited dan Berpasukan - dalam usaha untuk memantapkan lagi organisasi ini.
Semenjak 48 tahun penubuhannya, TUDB telah menyaksikan banyak perkembangan di dalam bentuk keupayaan yang termasuk projek penggantian pesawat helikopter dan perancangan dalam pemerolehan pesawat pengangkutan.
Tahun ini, TUDB melakar sejarah dengan bergerak maju mempermodenkan keupayaannya bila mana pesawat Sikorsky S70i dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos nanti.
MAJLIS Pelantikan Sarjan Mejar TUDB 11480 PW1 Muhd. Syahiran bin Haji Abu Bakar. (Foto : Ihsan ABDB)
Dalam menseimbangkan fasa permodenan tersebut, Bell 212 akan dihentikan operasinya setelah berkhidmat dan berjasa kepada negara selama 40 tahun, antara perancangan lain yang telah direncanakan selaras dengan langkah permodenan keupayaan TUDB melibatkan perancangan dalam memiliki pesawat pengangkutan C130J dan keupayaan 'Medium-Range Air Defence' yang kini giat di dalam proses perancangan.
Doa kesyukuran diadakan di Dewan Punai sejurus perbarisan dan diteruskan dengan Majlis Pelantikan Sarjan Mejar TUDB 11480 PW1 Muhd. Syahiran bin Haji Abu Bakar kini telah dilantik untuk memegang tampuk pimpinan tersebut.
Antara acara lain yang diaturkan di sepanjang sambutan HUT TUDB ialah Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja yang diadakan pada 23 Jun 2014, doa kesyukuran pada 24 Jun dan perlawanan golf pada 25 Jun 2014.
- Pelita Brunei Online.Khamis, 26 Jun 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan